ELIZABETH Alexandra Mary Windsor atau dikenali dalam kalangan ahli keluarga diraja Britain dengan panggilan manja, Lilibet dilahirkan di Mayfair, London pada 21 April 1926.
Puteri sulung Raja George VI dan Ratu Elizabeth itu menjadi pewaris takhta ketika baru berusia 10 tahun dan seterusnya menjadi Ratu England pada 6 Februari 1952 ketika berusia 25 tahun sementara pertabalan rasmi berlangsung pada 2 Jun 1953 di Westminster Abbey.
Bermula detik itu, Lilibet bergelar Ratu Elizabeth II sekali gus memikul tanggungjawab besar selama 70 tahun sebagai ketua negara United Kingdom (UK) dan juga Ketua Komanwel.
Hasil perkahwinan dengan Putera Philip Mountbatten of Greece dan Denmark, Ratu Elizabeth II memiliki empat orang cahaya mata iaitu Putera Charles, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward.
Selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II di Balmoral, Scotland pada Khamis, secara automatik putera sulungnya menjadi Raja England yang baharu dengan gelaran Raja Charles III.
Sepanjang tujuh dekad menjadi simbol monarki Britain, hampir pasti Ratu Elizabeth II telah melalui pelbagai pengalaman, suka-duka selain mencipta rekod dan sejarah tersendiri.
Berikut disenaraikan antara rekod dipegang Ratu Elizabeth II sepanjang hayatnya:
1. Selain menjadi monarki paling lama memerintah dalam sejarah British, Ratu Elizabeth II juga memegang Rekod Dunia Guiness selaku Ratu British paling tua. Pemerintahannya bertahan selama 70 tahun, 214 hari (6 Februari 1952 - 8 September 2022).
Kedua-dua rekod tersebut sebelum ini dipegang Ratu Victoria yang memerintah selama 63 tahun, 216 hari dan hidup sehingga usia 81 tahun, 244 hari.
2. Pada usia 96 tahun, Ratu Elizabeth II juga adalah ketua negara tertua di dunia.
3. Perkahwinan Ratu Elizabeth II bertahan selama 73 tahun, sebelum suaminya, Putera Philip meninggal dunia April tahun lalu pada usia 99 tahun.
4. Sejumlah 15 Perdana Menteri Britain berkhidmat di bawah Ratu Elizabeth II. Yang pertama adalah Winston Churchill (1952-1955) dan terakhir, Liz Truss, yang baru dilantik 6 September lalu.
5. Ratu Elizabeth II memegang rekod untuk mata wang paling banyak menampilkan individu yang sama. Wajahnya berada pada mata wang di lebih 30 negara.
6. Monarki British itu juga memegang rekod selaku Ratu terkaya di dunia. Kekayaannya termasuk koleksi seni halus, barangan kemas dan hartanah di England dan Scotland serta banyak lagi.
7. Semasa pemerintahannya, Ratu Elizabeth II dilaporkan telah melawat lebih 100 negara serta melakukan lebih 150 lawatan ke negara-negara Komanwel termasuk Kanada sebanyak 22 kali dan Perancis 13 kali.
Lawatan luar negara paling lama adalah 168 hari bermula November 1953 hingga Mei 1954 di mana Ratu Elizabeth II melawat 13 buah negara.
8. Pada tahun 1986, Ratu Elizabeth II menjadi monarki British pertama melawat China.
9. Ratu Elizabeth II pernah menghantar mesej ke Bulan. Sebagai ucapan tahniah kepada angkasawan Apollo 11 untuk pendaratan pertama di Bulan pada tahun 1969, satu mesej (pra-rakam) daripada Ratu Elizabeth II dihantar ke Bulan dalam sebuah bekas besi.
10. Ratu Elizabeth II (sebelum menjadi Ratu) pernah menawarkan diri menjadi pemandu trak dan mekanik ketika Perang Dunia Kedua sekali gus menjadikannya wanita pertama dari Keluarga Diraja yang berkhidmat dalam tentera.
11. Selaku Ratu paling lama memerintah, Ratu Elizabeth II menyaksikan pelbagai perubahan besar politik seperti dekolonisasi Afrika, penurunan kuasa di UK, penubuhan Kesatuan Eropah dan tindakan UK melaksanakan Brexit.