SHAH ALAM - Ratu Elizabeth II yang mangkat pada Khamis ialah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ratu Elizabeth II yang mangkat pada Khamis ialah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan Ratu Elizabeth II memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam memberi kemerdekaan kepada negara.

"Ini kerana sekurang-kurangnya perkara itu dimaklumkan kepada baginda bahawa tanah jajahan mereka ada memohon kemerdekaan.

"Ia bermakna kemerdekaan negara kita berada dalam pengetahuan baginda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kok Seong yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan mengikut perlembagaan, peranan Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara membolehkan baginda membuat keputusan sama ada bersetuju memberi kemerdekaan kepada negara dijajah atau sebaliknya.

"Dalam soal pemberian kemerdekaan kepada negara dijajah sudah tentu baginda akan dirujuk terlebih dahulu.

"Jadi baginda secara langsung atau tidak langsung ada memainkan peranan dalam soal pemberian kemerdekaan kerana baginda akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan British ketika itu tentang hasrat pemberian kemerdekaan kepada negara jajahan British," ujarnya.Jelasnya, dalam sistem raja berperlembagaan, baginda tidak diketepikan dalam membuat keputusan, selain mempunyai peranan untuk dirujuk bagi sesetengah perkara sebagai contoh pemberian kemerdekaan kepada negara dijajah.

Teo Kok Seong

"Sekiranya baginda tidak bersetuju mengenai soal pemberian kemerdekaan itu, maka akan berlakunya beberapa masalah dan mungkin melambatkan proses kemerdekaan negara jajahan British.

"Pihak British bersedia memberi kemerdekaan kepada negara kita atas beberapa faktor termasuk negara sekeliling kita telah merdeka, sekali gus menyebabkan British perlu beri kemerdekaan kepada negara dijajah sama ada cepat atau lambat.

"Walaupun tidak diberi kemerdekaan, namun rakyat pada masa itu tetap berusaha menuntut kemerdekaan dari British.

"Jadi menerusi pelbagai proses dan rundingan memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, akhirnya kita merdeka pada 31 Ogos 1957, kemudian penubuhan negara Malaysia yang menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada tanggal 16 September 1963," jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca