SHAH ALAM - Pakar perundangan berpendapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara di atas kesalahan penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd mungkin sukar mendapat pengampunan Yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar perundangan berpendapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara di atas kesalahan penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd mungkin sukar mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, perkara itu berdasarkan beberapa alasan yang menyebabkan Ahli Parlimen Pekan itu akan kekal menjalani hukuman penjara buat masa ini.

"Faktor pengampunan yang diambil kira oleh Agong sama ada hendak memberi pengampunan penuh, separuh, atau menolak. Pelbagai perkara yang akan menjadi pertimbangan, kena ingat Najib bukan sahaja didapati bersalah oleh mahkamah terakhir berhubung kes SRC, tetapi dia masih menghadapi pertuduhan di mahkamah berhubung perbicaraan 1MDB, perbicaraan salah laku laporan audit negara dan belum lagi perbicaraan kes International Petroleum Investment Co (IPIC) yang akan bermula April tahun hadapan.

"Pokoknya Lembaga Pengampunan akan mengambil kira fakta yang sudah ada dan yang sudah wujud dalam fikiran rakyat dan kelompok antarabangsa, Najib masih menghadapi pertuduhan kes lain jadi bagaimana hendak diberikan pengampunan. Lembaga juga akan fikir kekhuatiran rakyat yang akan menganggap pengampunan sebagai jenaka sekiranya Najib diberi pengampunan tetapi masih perlu berulang alik ke mahkamah," katanya kepada Rasuah Busters baru-baru ini.

Mohamed Haniff Khatri - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Najib pada 2 September lalu sudah memfailkan permohonan pengampunan Agong, iaitu dalam tempoh 14 hari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes itu.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

"Secara jujur, kalau lembaga memberi pengampunan juga ia perlu memberi penjelasan kepada rakyat alasan-alasan munasabah perkara itu dilakukan," katanya.

Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan mengurangkan hukuman membabitkan kesalahan yang dibicara dan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri Negeri (dalam kes Najib Menteri Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong).

Klik di sini untuk terus membaca