SELEPAS latihan untuk beberapa lagu pementasan Broadway, dua minggu lalu, ibu saudara memujuk saya untuk melihat koir terbaharunya – para penyanyi secara tiba-tiba menyanyikan lagu kebangsaan sebelum bersurai.
Apabila suara-suara soprano, alto, tenor dan bes secara spontan mengharmonikan sebuah lagu amat dikenali, ia menghasilkan bunyi amat menakjubkan terutama apabila emosi yang dicetuskan oleh kebebasan badan kehakiman terpancar dengan jelas.
Dalam ucapan saya ketika sambutan ulang tahun ke-12 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang diadakan di luar kebiasaan pada bulan Ogos berbanding Februari sempena ulang tahun kelahiran Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, saya berulang kali menyatakan misi kami untuk mengembalikan dan merealisasikan janji sebuah negara demokratik.
Ia berasaskan prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan dengan gambaran keseluruhan aktiviti kami sepanjang dua tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif kami, Dr Tricia Yeoh telah memberikan gamba-ran lebih jelas tetapi saya amat gembira untuk menyatakan bahawa laman sesawang kami, www.ideas.org.my juga adalah menyeluruh, diletakkan semua penerbitan dan butiran pembiaya kami.
Tan Sri Rafidah Aziz memulakan ucapan beliau dengan kenangan peribadi bersama Perdana Menteri pertama negara sebelum menepati jangkaan wajar rakyat Malaysia yang ingin melihat negara kita makmur tanpa rasuah.
Dalam satu kejutan istimewa, Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh menyampaikan puisi-puisinya yang merangkum melalui metafora tepat, perjalanan berliku yang perlu diteruskan oleh negara kita ke arah kesusilaan.
Sementara itu, kugiran Astra Band dengan cemerlang telah menyajikan persembahan bertenaga dengan memainkan lagu-lagu klasik pop Malaysia daripada Tan Sri P Ramlee sehinggalah Datuk Sheila Majid.
Sudah tentu, matlamat majlis pada malam itu bukan sekadar untuk berseronok tetapi untuk menunjukkan sokongan rakyat Malaysia – sama ada individu perseorangan, rakan-rakan, masyarakat sivil atau syarikat korporat serta organisasi antarabangsa dan komuniti diplomatik adalah penting bagi membolehkan pasukan cemerlang di IDEAS menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara lebih baik.
Bagaimanapun, acara terbesar seterusnya dalam kalendar adalah pertunjukan semangat patriotik tanpa rasa segan dan malu. Selepas berehat selama dua tahun, sambutan Hari Kebangsaan kembali diadakan.
Beribu-ribu orang seperti yang telah dijangka berbaris di jalanan di sekitar padang ketika saya menyertai keluarga saya di atas podium diraja di Seremban, Negeri Sembilan.
Pertama, satu detasmen daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dalam pakaian istiadat mereka telah diperiksa oleh Yang di-Pertuan Besar, diiringi oleh nyanyian lagu negeri yang indah.
BERSEMANGAT
Lagu Negaraku dinyanyikan dengan penuh bersemangat sebelum Menteri Besar memimpin bacaan Rukun Negara – saya percaya hal itu sesuatu yang unik kepada Negeri Sembilan - diselingi ledakan meriam seolah-olah menekankan isi setiap ikrar yang sering dicoretkan di dalam buku latihan sekolah.
Satu persembahan lagu dan tarian yang berbilang bangsa serta silang generasi mendahului perarakan sebenar. Semua itu tidak pernah membosankan.
Setiap seorang yang berarak kelihatan bangga dapat melakukannya terutama jika mereka adalah pembawa bendera mewakili pelbagai institusi bermula dari sekolah, agensi kerajaan, syarikat persendirian atau mungkin unik dalam perarakan di Negeri Sembilan, suku mereka dalam sistem adat kami.
Terdapat sekumpulan pengayuh basikal (diketuai oleh basikal penny farthing!) dan kumpulan pemain rekoder yang memenangi anugerah. Kemudian selepas lakonan semula dramatik tembak menembak pasukan polis, datang pula kenderaan polis, bomba dan tentera.
Dengan setiap penerangan tentang pentingnya kenderaan sedemikian untuk mempertahankan kedaulatan negara kita, saya tertanya-tanya sama ada kita membelanjakan jumlah wang yang munasabah untuk kenderaan tersebut atau sama ada artileri itu telah menjadikan beberapa menteri dan isteri mereka kaya.
Namun, tidak semua orang meraikan keraian tersebut. Ramai rakyat Malaysia yang sedang bergelut dari segi ekonomi dan ketidakadilan terhadap golongan minoriti serta golongan terpinggir masih berleluasa.
Di media sosial, nampaknya seolah-olah demografi perarakan utama tidaklah pelbagai seperti di Seremban.
Di sebalik semua itu, pengulas mengingatkan kita bahawa tidak ada kepastian tentang masa depan dan konfigurasi kepimpinan negara kita yang seterusnya masih menjadi teka-teki.
Tetapi, masih ada nilai dalam acara sedemikian kerana ia memfokuskan fikiran kita – adakah perayaan kita tulen atau direka-reka.
Dan, jika kita merasai apa yang patut diraikan, sudah tentu kita boleh menyusun strategi ke arah hasil lebih baik pada masa hadapan.
Terdapat satu pembaharuan yang saya terlepas dalam senarai saya petik pada majlis makan malam IDEAS.
Selain menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pemilih automatik, menghalang ahli Parlimen daripada melompat parti, pembaharuan pembiayaan politik serta memperkenalkan had penggal bagi individu memegang jawatan Perdana Menteri, menteri undang-undang kini turut berusaha untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya.
Sesungguhnya, hal itu adalah sesuatu yang selayaknya diraikan walaupun dengan cara menyanyikan lagu Negaraku secara spontan!
* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS
Klik di sini untuk terus membaca