KOPITIAM Kita terbaca sebuah rencana minggu lalu yang mengatakan tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mesra Muslim. Rungutan tersebut bermula disebabkan kebanyakan tandas di KLIA telah diubah suai untuk... Klik di sini untuk terus membaca

KOPITIAM Kita terbaca sebuah rencana minggu lalu yang mengatakan tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mesra Muslim.

Rungutan tersebut bermula disebabkan kebanyakan tandas di KLIA telah diubah suai untuk menggantikan paip getah kepada bidet di dalam mangkuk tandas, yang memancutkan air dari dalam mangkuk tandas.

Penulis berpendapat bahawa bidet di dalam mangkuk tandas mendatangkan kesusahan kepada golongan warga emas dan kanak-kanak yang tidak pandai menggunakan kemudahan tersebut.

Pihak KLIA menukar reka bentuk tandas kerana terikut dengan budaya luar negara tanpa mempertimbangkan budaya majoriti masyarakat Malaysia.

Soalan pertama Kopitiam Kita, apakah definisi tandas mesra Muslim? Adab paling utama semasa memasuki tandas dalam Islam adalah istinjak iaitu pembersihan qubul dan dubur dengan air selepas membuang air kecil atau besar.

Seterusnya, adab-adab Islam ketika masuk tandas yang lain termasuk penjimatan kegunaan air dan memastikan tandas bersih untuk kegunaan orang lain.

Pada pendapat Kopitiam Kita, istilah mesra Muslim telah dicipta untuk merujuk secara am kepada perkara-perkara yang diterima atau dibolehkan dalam ajaran Islam. Asalkan reka bentuk tandas mempunyai sumber air untuk istinjak, ia mesra kepada pengguna beragama Islam.

Malah, penggunaan bidet dalam mangkuk tandas adalah lebih bagus kerana memenuhi ketiga-tiga adab yang disebutkan.

Kebanyakan tandas awam di Malaysia menyediakan paip getah atau paip keluli tahan karat di tepi mangkuk tandas.

BAZIR AIR

Namun, bidet atau paip di luar mangkuk tandas lebih membazirkan air kerana pili air yang biasa dipasang tidak mempunyai ciri-ciri aliran rendah untuk kecekapan air.

Selain itu, lantai tandas dibasahkan dan ia menyusahkan pengguna seterusnya. Malah, lantai tandas yang basah membahayakan orang tua dan kanak-kanak yang mungkin jatuh tergelincir.

Tambahan pula, cuaca di Malaysia yang lembap menyebabkan lantai tandas yang basah susah kering dan tandas-tandas awam perlu dipasangkan kipas atau mesin angin untuk memastikan tandas tidak kotor dengan kesan-kesan tapak kasut yang hitam.

Kopitiam Kita setuju dengan penulis rencana tersebut bahawa golongan orang tua dan kanak-kanak mendapati sukar mengemudi bidet di dalam mangkuk tandas yang canggih.

Hal itu kerana golongan berkenaan memerlukan bimbingan daripada anak-anak atau ibu bapa untuk mempelajari penggunaan bidet di dalam mangkuk tandas.

Teknologi baharu sememangnya susah tetapi jika diajar tentang penggunaannya, pengguna akan dapat menyesuaikan diri dan menyedari kebaikan menggunakan teknologi tersebut.

Kopitiam Kita ada bertanya kepada kawan-kawan berumur 50 tahun ke atas sama ada mereka menyukai penggunaan bidet di dalam mangkuk tandas.

Salah satu jawapan yang menarik ialah - "Ini merupakan perasaan yang paling ‘best’, malah saya nak duduk lagi lama untuk basuh punggung!”

SESUAIKAN DIRI

Proses itu sama seperti mengajar warga emas atau kanak-kanak menghadiri kelas dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Norma baharu memaksa kita menyesuaikan diri dengan cara hidup yang lain daripada rutin harian.

Rutin baharu mendatangkan ketidakbiasaan tetapi lama-kelamaan manusia dapat menyesuaikan diri.

Tempoh penyesuaian untuk golongan berkenaan lebih lama daripada golongan lain tetapi jika penggunaan teknologi itu mendatangkan manfaat dari segi penjimatan air dan kebersihan tandas, ia patut digalakkan.

Kesimpulannya, Kopitiam Kita berpendapat pihak KLIA telah mengambil tindakan betul dengan menukar reka bentuk tandas kepada bidet di dalam mangkuk tandas.

Tindakan itu bukan hanya menghormati budaya Muslimin dan Muslimat di Malaysia tetapi turut menghormati budaya-budaya lain yang suka memastikan lantai tandas kering dengan penggunaan tisu atau bahan-bahan lain.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca