KETIKA ini bila tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) paling kerap ditanya. Walaupun bahangnya sudah lama terasa, persiapan parti politik dan institusi yang mendukungnya juga sudah berada di tahap optimum.
Selain itu, soalan sering ditanya juga adalah siapa yang bakal menang PRU15? Soalan tersebut sering ditanya berdasarkan beberapa perkara.
Pertama, keadaan semasa yang memperlihatkan saingan kembali terbuka setelah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjara, selain perkembangan kes-kes mahkamah pemimpin UMNO.
Kedua, pembongkaran skandal penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) telah membuka mata umum terhadap keperluan kembali melihat pilihan raya sebagai wadah menghalang amalan kleptokrasi daripada berulang seperti skandal 1MDB pada tahun 2018.
Ketiga, kemunculan parti-parti baharu dan usaha mereka membentuk jajaran serta pakatan sebelum pilihan raya akan memberikan pengundi masalah dalam memilih, kalaupun tidak melihatnya dari sisi positif bahawa mereka ada alternatif pilihan.
Secara realistik, memang sukar meramalkan siapa atau parti mana bakal menang. Mengambil kira suasana, keadaan dan latar belakang yang melatari sesebuah pilihan raya, keputusannya tidak pernah memberikan hasil sama.
KOTAK UNDI
Angkubah paling mudah untuk melihat siapa bakal menang sudah tentulah pengundi itu sendiri. Tingkah laku, reaksi dan persepsi merekalah yang bakal mencorakkan keputusan di kotak undi. Mana-mana parti yang menguasai pengundi, maka merekalah akan menjuarai.
Namun, sifat pengundi yang dinamik dan reaksionis sukar untuk dibaca, apatah lagi diduga. Sesuai dengan alami manusia, mereka sentiasa berubah dan tidak pernah melakukan sesuatu secara tetap serta berkala.
Ketika ramai meramalkan keputusan PRU15 bakal menghasilkan keputusan yang terpecah dan kebarangkalian wujud kerajaan campuran, pemahaman tentang corak tingkah laku serta pola sokongan pengundi itu sendiri wajar diperhatikan.
Mengapa perlu? Ia bukan sekadar memberikan parti politik ruang untuk membuat culaan dalam merangka strategi kempen, bahkan memberikan pemahaman asas kepada pengundi untuk menyedari apakah sebenarnya berlaku ketika mereka mengundi pada pilihan raya.
Terdapat pelbagai faktor mempengaruhi tingkah laku dan sokongan pengundi pada pilihan raya. Namun, secara teorinya, tiga faktor ini sering menjadi kerangka asas memahaminya.
Pertama, teori identifikasi parti. Teori itu merujuk kepada ikatan dan kesetiaan terhadap sesuatu parti sama ada melalui proses sosialisasi politik ataupun pengaruh persekitaran.
Kedua, teori sosiologi. Teori tersebut merujuk kepada bagaimana aspek sosiologi tertentu (kaum, agama, budaya, demografi, sosioekonomi) membentuk pembudayaan dan penerimaan terhadap sikap, persepsi atau orientasi politik kepada parti-parti tertentu.
Ketiga, teori pilihan rasional. Teori itu merujuk kepada penilaian kendiri pengundi itu sendiri sebagai individu yang rasional.
FAKTOR AKAR UMBI
Berbanding dua teori sebelumnya yang memerlukan proses sosialisasi dan pembudayaan berterusan, teori tersebut melihat pengundi bak pengguna yang menggunakan pertimbangan konsumerisme ketika mengundi atas pertimbangan untung rugi dalam mengundi parti tertentu.
Kekuatan parti yang memiliki reputasi dan tradisi seperti UMNO serta Pas dilihat cenderung ke arah identifikasi parti. Faktor akar umbi, kaderisasi dan pengaruh keluarga menjadi asas kepada perkara tersebut.
Hal itulah menjadikan kedua-dua parti tersebut antara pilihan utama pengundi terutamanya kelompok Melayu. Bagaimanapun, belenggu budaya kepartian yang konservatif dan feudal, masalah persepsi serta pe-rubahan generasi perlahan menghakis kekuatan tersebut.
Kemunculan pengundi baharu yang ‘bebas parti’, rasional dan berpendidikan memperlihatkan mereka kritikal terhadap undi yang dibuang.
Kelompok itu membentuk ciri-ciri sosial yang utilitarian dan ekonomikal dalam tingkah laku semasa pilihan raya.
Justeru, tidak hairanlah mengapa lebih banyak parti baharu muncul sebagai pilihan alternatif kepada mereka berbanding sebelumnya.
Persoalannya, adakah dengan hal tersebut, pelebaran kelompok berkenaan kelak benar-benar akan menghasilkan keputusan seperti diramalkan?
Kalau ia benar, maka apakah kita sudah bersedia dengan segala kemungkinan?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca