HAKIKATNYA, kejayaan sesuatu matlamat hidup bergantung kepada sejauh mana seseorang itu dapat menangani proses kehidupan mereka dengan baik. Terdapat pelbagai matlamat hidup dalam kalangan individu. Bagi penganut Islam, matlamat hidup... Klik di sini untuk terus membaca

HAKIKATNYA, kejayaan sesuatu matlamat hidup bergantung kepada sejauh mana seseorang itu dapat menangani proses kehidupan mereka dengan baik.

Terdapat pelbagai matlamat hidup dalam kalangan individu. Bagi penganut Islam, matlamat hidup paling utama adalah untuk menjadi hamba ALLAH SWT yang terbaik, sebagaimana diperintahkan oleh-Nya dan memanfaatkan kehidupan demi kesejahteraan manusia serta alam sejagat. Tentunya matlamat terakhir adalah menjadi penghuni syurga.

Namun, bagi memenuhi matlamat hidup, setiap individu akan melalui proses kehidupan yang berbeza sejak dilahirkan sehingga tibanya ajal.

Pendek kata, proses kehidupan adalah naik dan turun sejajar dengan usia serta persekitaran hidup.

Pada hemat saya, kekhilafan yang paling besar berkaitan dengan pemahaman proses kehidupan adalah kekuatan hidup hanya diperoleh sekiranya kita mengharungi kesusahan dan kegelapan hidup sepanjang proses tersebut, manakala kesenangan dan kekayaan hidup adalah impian perlu dicapai oleh semua orang.

Walhal, tidak semua individu yang susah akan menjadi kuat dan tidak semua yang senang akan selamanya senang. Justeru, setiap proses kehidupan, walau apa juga keadaan sudah tentu mempunyai cabaran tersendiri dan perlu ditangani secara hikmah.

Sebetulnya, kita bukan sahaja perlu melalui ujian, namun perlu ada kemahiran untuk menangani ujian tersebut. Jadi, persiapan dari segi fizikal, mental, emosi dan spiritual untuk mengharungi proses kehidupan amat diperlukan.

Sebagai contoh, bagi memenuhi matlamat menjadi hamba ALLAH SWT yang terbaik dan manusia bermanfaat, bukan semudah apa yang disebut dan dicita-citakan.

Sebaliknya, sepanjang proses kehidupan kita perlu belajar mengikhlaskan diri dalam beribadat.

Berkaitan dengan sifat ikhlas, menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Peribadi Hebat - "Bagi tubuh adalah nyawa yang memberikan kehidupan, Jika nyawa tidak ada lagi, matilah tubuh. Bagi peribadi, ikhlaslah yang menjadi nyawanya. Peribadi yang tidak memiliki keikhlasan adalah peribadi yang mati.”Itu bermakna, keikhlasan diri dapat membantu mengenali erti hidup dengan lebih luas dan tidak tergamak untuk melabelkan diri kita amat hebat serta terbaik berbanding orang lain.

IKHLAS BERDOA

Selain itu, keikhlasan berdoa secara berterusan kepada ALLAH SWT, insya-ALLAH akan dikurniakan hikmah dalam menangani segala cabaran hidup.

Menurut hadis daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah RA bercerita: "Rasulullah SAW pernah masuk menemuiku ketika aku sedang solat. Ketika itu baginda sedang memiliki hajat dan aku tidak segera menemuinya, lalu baginda bersabda, ‘wahai Aisyah hendaknya engkau membaca doa yang mencakup dan menghimpunkan semuanya’. "Maka usai solat aku bertanya doa apakah yang mencakup lagi menghimpun, wahai Rasulullah?”

Maka baginda menjawab: "Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepadaMu segala kebaikan yang disegerakan mahupun yang tertunda, baik yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui, dan aku berlindung kepadaMu daripada semua keburukan yang disegerakan mahupun tertunda, baik yang aku ketahui mahupun tidak aku ketahui, dan aku memohon kepadaMu syurga dan segala jalan mendekatkan diriku kepadanya, baik berupa ucapan ataupun perbuatan.

"Dan aku berlindung kepadaMu daripada seksa neraka dan segala perkara yang dapat mendekatkan diriku kepadanya, baik berupa ucapan atau perbuatan, dan aku memohon kepadaMu dengan semua yang pernah diminta oleh hambaMu dan NabiMu Muhammad SAW.

"Dan aku berlindung kepadaMu daripada semua permohonan perlindungan yang pernah diminta oleh hambaMu dan NabiMu Muhammad SAW, dan jadikanlah daripada segala ketentuan takdir yang Engkau tetapkan untukku berakhir dengan kebaikan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Sesungguhnya, individu yang berhikmah tidak akan berasa hebat dan juga lemah. Mereka sentiasa bersederhana dalam segalanya.

* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca