RUMAH sepatutnya adalah keperluan asas kepada manusia. Bukan sebagai barang niaga atau pelaburan. Setiap rakyat perlu memiliki rumah sendiri untuk berteduh. Bukannya seperti kata pepatah, dalam rumah membuat rumah.
Baru-baru ini Sinar Harian ada melaporkan tentang fenomena rumah lelong. Sepatutnya tidak ada atau wujud rumah lelong. Rumah bukan untuk dilelong. Ia keperluan asas kepada rakyat dalam membina keluarga bahagia dan anak-anak membesar dengan cemerlang. Tanpa rumah tidak sempurnalah hidup, ibarat makan nasi tanpa lauk.
Memiliki banyak rumah bertujuan untuk berniaga dengan memberi sewa juga sepatutnya tidak wujud. Rumah patut dimiliki setiap orang, sama ada secara percuma atau dengan bayaran minimum.
Kalau perlu membayar untuk memiliki rumah, hendaklah diuruskan oleh kerajaan sendiri, bukannya dengan meminta rakyat membuat pinjaman bank yang tidak berhati perut. Meminjam sehingga 30 tahun dengan bayaran bunga tinggi amat membebankan rakyat.
Pada masa sama, tidak boleh memiliki banyak rumah. Hanya boleh memiliki rumah untuk keperluan hidup dan tempat berlindung. Orang memiliki rumah banyak juga sebenarnya tidak berhati perut.
Membeli rumah lelong, umpama mengambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain. Orang yang sepatutnya memiliki rumah tetapi kerana tidak mampu membayarnya, dilelong pula oleh bank, datang orang tidak berhati perut, sanggup membelinya.
Apabila seseorang itu membeli rumah dengan hasil titik peluhnya, bekerja siang dan malam, namun akhirnya bak kata pepatah, basah kuyup mandi peluh, tanam padi lalang yang tumbuh. Kerana tidak dapat membayar, dilelongnya rumah, dirampas oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sepatutnya kerajaan hendaklah memberi perlindungan kepada rakyat supaya dapat membayar ansuran rumah walaupun kehilangan kerja atau tidak mampu membayarnya apabila pihak bank menaikkan bunganya.
HAK MEMILIKI KEDIAMAN
Perlu dikekalkan akan kepemilikannya, bukan merampasnya atau melelongnya. Hak setiap keluarga mempunyai satu rumah untuk mereka hidup sempurna. Individu yang memiliki banyak rumah dan berniaga dengan menyewakan rumah, patutnya dirampas rumah itu oleh kerajaan untuk diberi kepada mereka tidak mampu. Pembelian banyak rumah oleh seseorang individu patutnya tidak berlaku dan dikekang.
Tidaklah patut bersenang-lenang di atas kedukaan orang lain. Mengutip hasil daripada rumah lelong, sedangkan mereka yang dilelong rumahnya hidup merana. Sepatutnya kerajaan memikirkan keadaan itu.
Apabila kerajaan mengambil alih perniagaan rumah tersebut, maka rakyat akan terlindung. Pihak bank tidak sewenangnya-wenangnya merampas rumah rakyat yang tidak dapat membayar hutang pinjaman.
Lambakan rumah yang tidak dapat dijual juga akan dapat diselesaikan. Rumah lelong tidak akan wujud lagi. Begitulah sepatutnya langkah patut diambil kerajaan.
Setiap orang ada hak memiliki rumah walaupun muflis. Seorang kawan saya, setelah membayar rumahnya dengan menggunakan wang hasil titik peluhnya termasuk daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi disebabkan diberhentikan kerja, akhirnya rumahnya telah dilelong.
Bank mengaktifkan klausa menaikkan riba. Kawan saya tidak mampu untuk membayar sewa bulanan kerana amaun semakin tinggi. Rumah dilelong, duit KWSP habis, akhirnya meninggal dunia dalam keadaan menderita.
Apa guna buat rumah kos rendah dan pelbagai lagi rumah yang katanya untuk rakyat tetapi tidak dapat dimiliki oleh rakyat. Kalau yang dapat memilikinya pula, apabila ditimpa kecelakaan, dilelongnya pula rumah yang merupakan keperluan asas masa kini.
Bagi mereka yang membeli rumah lelong atau membeli banyak rumah dan berniaga dengan menyewakan kepada orang lain, hendaklah ingat – jangan mengambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain.
Orang yang tidak berasakan apa-apa terhadap kesusahan orang, malah gembira dan bangga pula kononnya mereka ini orang ‘ada-ada’ kerana memiliki banyak rumah, dengan goyang kaki sahaja mengutip sewa bak kata pepatah, umpama anjing makan muntahnya.
Maka ingatlah pepatah ini pula, takkan pasangnya selalu, di mana surut senantiasa.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca