PETALING JAYA - Kanak-kanak yang tinggal dengan keluarga di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikenal pasti tergolong dalam kumpulan yang sering terabai dari segi emosi dan pendidikan.
Pengurus Besar Pusat Jagaan Kanak-Kanak Shelter, Chris Fan mendedahkan, keadaan itu berlaku disebabkan kurang perhatian diberikan oleh ibu bapa yang sibuk mencari nafkah.
Beliau berkata, kanak-kanak yang tinggal di PPR juga lebih berani untuk ponteng sekolah kerana beranggapan ibu bapa mereka tidak akan mengetahui perbuatannya itu.
"Ibu bapa sibuk bekerja, tidak ada orang jaga, malah mereka tidak tahu pun anak-anak sering ponteng sekolah,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa yang terlalu sibuk memberi kesan kepada perkembangan pembelajaran dan juga emosi anak-anak.
"Sebelum ini, kita pernah adakan projek di PPR Taman Medan, Petaling Jaya. Saya hairan kerana di tengah bandar raya ini masih ada murid sekolah yang tidak tahu buat pengiraan asas. Ada juga kes di Lembah Subang, seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun tidak tahu mengeja nama sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi isu penderaan kanak-kanak pula, Chris berpandangan, keadaan ekonomi keluarga yang tidak stabil terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) turut menjadi faktor peningkatan kes tersebut.
Ujarnya, anak-anak sering dijadikan tempat melepaskan kemarahan berikutan tekanan hidup dan masalah kewangan.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan penderaan fizikal dan emosi juga sangat tinggi bukan sahaja dalam kalangan B40, tetapi keluarga berpendapatan sederhana (M40) dan T20.
"Semua ini kita tidak nampak sebab keluarga M40 dan T20 mahu jaga muka. Malu kalau masyarakat tahu keadaan keluarga mereka yang teruk.
"Kita juga tidak tahu kerana ia tidak dilaporkan,” katanya sambil menjelaskan, kanak-kanak di bawah Pusat Jagaan Kanak-Kanak Shelter kebanyakan didera secara fizikal.
KEMISKINAN HAID
Dalam pada itu, kesedaran berhubung isu kemiskinan haid masih rendah dalam kalangan masyarakat terutama bagi kanak-kanak perempuan miskin di negara ini.
Pensyarah Kanan Sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Fatimah Al-Attas berkata, isu tersebut amat penting untuk diketengahkan kerana ia memberi impak kepada separuh daripada populasi masyarakat dalam negara ini.
"Isu kemiskinan haid ini mungkin lebih teruk dialami oleh kanak-kanak perempuan dan wanita golongan miskin akibat tekanan dari ekonomi itu sendiri.
"Maksudnya, mungkin mereka tidak ada akses kepada produk (penjagaan haid), akses kepada air yang bersih atau persekitaran infrastruktur yang baik.
"Ataupun mereka juga tidak ada akses kepada keupayaan mendapatkan ilmu yang betul tentang haid, jadi itu memberi impak kepada kefahaman dan penjagaan haid,” katanya ketika memberi ucapan dalam program ARBAtalk: Kemiskinan Kanak-Kanak di Malaysia di sini.
Klik di sini untuk terus membaca