Cadangan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan pasukan petugas khas jihad menangani inflasi berikutan pengumuman kenaikan kadar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM)... Klik di sini untuk terus membaca

Cadangan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan pasukan petugas khas jihad menangani inflasi berikutan pengumuman kenaikan kadar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa hari lalu sangat mengelirukan.

Menurut Pengerusi DAP itu, pasukan petugas khas yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa "tidak berkesan, tidak cekap dan tidak relevan” kerana Bank Negara terpaksa menaikkan OPR bagi membendung inflasi.

Guan Eng menganggap tindakan ini secara tidak langsung menunjukkan usaha antiinflasi Annuar tidak berkesan kerana BNM terpaksa menggunakan OPR untuk membendung inflasi.

Kenyataan terbaharu Guan Eng ini mengesahkan lagi syak wasangka ramai orang bahawa beliau tidak berupaya memahami isu-isu makro ekonomi negara, seperti mana kegagalan beliau memimpin Kementerian Kewangan sepanjang 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan.

Walaupun kenaikan OPR sering kali dikaitkan dengan usaha membendung inflasi, namun ia bukanlah satu-satunya faktor dalam menentukan kenaikannya. Antara faktor lain yang lebih utama ialah kerendahan OPR boleh menyebabkan pelabur asing menarik keluar pelaburan jangka pendek mereka.

Dalam pelaburan asing ada berbentuk jangka pendek dan ada bentuk jangka panjang. Pelabur bentuk jangka panjang ialah pelaburan dalam industri dan perniagaan. Pelabur asing datang melabur dalam pembinaan infrastruktur, kilang, pembukaan pejabat serantau dan lain-lain bentuk yang memerlukan masa panjang untuk mendapat semula modal dan keuntungan.

Manakala pelaburan asing jangka pendek selalunya dalam bentuk simpanan tetap, saham dan bon-bon jangka pendek. Pelaburan jangka pendek ini agak volatile. Salah satu penentu utama pelaburan ini ialah OPR. Kadar ini yang menjadi garis panduan bank mengenakan pinjaman, penawaran kadar faedah simpanan tetap, bon dan lain-lain.

OPR negara selalunya berada antara 3 hingga 3.5 peratus sebelum Covid-19. Namun berikutan pandemik dan sekatan perjalanan lebih setahun, kadar OPR negara diturunkan sehingga 1.75 mata. Ini bertujuan mengurangkan beban sebahagian rakyat yang mempunyai pinjaman disandarkan dengan kadar pinjaman asas. Sejak pandemik lalu, OPR kita turun sebanyak 125 mata.

Bagaimanapun apabila ekonomi mula menunjukkan pemulihan Bank Pusat Amerika Syarikat (AS) mula menaikkan kadar faedah mereka. Pada tahun ini sahaja AS telah beberapa kali menaikkan OPR dengan peningkatan 0.75 peratus setiap kali kenaikan termasuk yang terbaharu September ini.

Dilema Malaysia apabila Bank Pusat Amerika Syarikat mula meningkatkan kadar faedah, ramai pelabur jangka pendek ini mula mengalihkan pelaburan mereka ke negara tersebut.

PEMULIHAN

Pengeluaran pelaburan jangka pendek ini menyebabkan permintaan penukaran ringgit kepada dolar AS. Kesannya akan berlaku penyusutan rizab asing BNM, kejatuhan nilai mata wang ringgit dan indeks Bursa Malaysia.

Dalam keadaan ini pilihan Malaysia untuk terus kekal destinasi pilihan kepada pelabur asing jangka pendek dan nilai mata wang ringgit boleh dipertahankan adalah dengan memastikan OPR negara berada pada tahap kompetitif.

Namun kenaikan ini bukan sekadar semberono. Pencapaian ekonomi negara juga menunjukkan pemulihan ketara dengan penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 18.3 peratus bagi suku kedua 2022, dan kadar pengangguran menurun kepada 3.7 peratus (Ogos 2022). Justeru tindakan BNM menormalisasi semula OPR kepada kadar yang kompetitif kepada pasaran antarabangsa bukanlah satu yang luar biasa.

Sebagai bekas Menteri Kewangan, Guan Eng sepatutnya lebih arif tentang tugas dan peranan BNM berbanding Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Pasukan ini ditubuhkan oleh kementerian terbabit (tanpa sebarang perbelanjaan tambahan), bagi mengawal inflasi yang memberi kesan langsung kepada rakyat berpendapatan rendah seperti harga ayam, telur dan minyak masak yang naik mendadak sejak tahun lepas.

Manakala pelaksanaan dasar monetari oleh BNM adalah bersifat bebas dan tidak boleh kelihatan ada campur tangan kerajaan.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca