Apabila ditanya mengenai inflasi, kerajaan sering mengatakan kadar inflasi negara rendah dan dalam kawalan. Tetapi di pihak yang lain pula, pengguna bersungut mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Betul kadar inflasi tidak tinggi... Klik di sini untuk terus membaca

Apabila ditanya mengenai inflasi, kerajaan sering mengatakan kadar inflasi negara rendah dan dalam kawalan. Tetapi di pihak yang lain pula, pengguna bersungut mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Betul kadar inflasi tidak tinggi kalau dibandingkan dengan negara-negara maju dan dengan sesetengah negara jiran.

Misalnya inflasi bulan Jun naik 3.4 peratus daripada 123.2 mata bulan yang sama tahun lalu kepada 127.4 mata.

Mengapakah orang ramai bersungut harga barang dan perkhidmatan naik sedangkan kerajaan mengatakan ia naik sedikit saja dan memberikan perangkaan bagi membuktikannya?

Jawapannya ialah orang ramai dan kerajaan bercakap mengenai dua perkara yang agak berlainan.

Orang ramai bercakap mengenai harga barang dan perkhidmatan harian seperti makanan dan pengangkutan. Kerajaan bercakap mengenai harga barang dan perkhidmatan secara keseluruhannya.

Apa yang tidak diuar-uarkan malah seolah-olah cuba disembunyikan adalah angka tunjuk atau indeks barang dan perkhidmatan yang banyak digunakan seperti makanan dan pengangkutan.

Kita ambil contoh inflasi bulan Jun. Walaupun indeks keseluruhan naik 3.4 peratus, tetapi indeks makanan naik 6.1 peratus, pengangkutan 5.4 peratus dan restoran serta hotel naik lima peratus.

Kalau dilihat dari sudut lokasi pula, lagi tinggi pendapatan purata sesebuah negeri atau wilayah, lagi tinggi kadar inflasinya.

Misalnya kadar inflasi Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah 8.1 peratus diikuti oleh Selangor 4.3 peratus, Johor 3.7 peratus dan Pulau Pinang 3.4 peratus.

Kita tahulah yang pengguna Putrajaya mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan semua barang keperluan dibawa masuk dari negeri-negeri lain.

Tetapi timbul persoalan, dengan begitu ramai kakitangan awam, termasuk yang mempunyai kuasa penguatkuasaan, mereka masih tidak mampu menyekat kenaikan harga yang berpunca daripada kegiatan membuat keuntungan berlebihan atau mereka tidak peduli sebab mereka ada cukup duit.

Bahayanya mereka ini menjadi penanda aras kuasa membeli kakitangan awam dan kuasa membeli kakitangan awam sering dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga dan perkhidmatan secara menyeluruh.

KOS PENGELUARAN NAIK

Dulu, kalau gaji guru naik, semua pengguna akan dipanggil cikgu dan harga dinaikkan secara automatik. Akibatnya, guru dapat kenaikan gaji, semua pengguna terpaksa bayar harga lebih tinggi.

Gambar hiasan

Dalam konteks semasa, ia diburukkan lagi oleh kerajaan sendiri dengan terus menggula-gulakan kakitangan awam tetapi pada masa yang sama menarik balik subsidi dan menaikkan kadar pinjaman bank.

Kenaikan berulang kali kadar faedah bank oleh Bank Negara, atas alasan mengawal inflasi, akan memburukkan lagi nasib pengguna, khususnya yang mempunyai pinjaman sama ada untuk membeli hartanah, melabur atau berniaga.

Misalnya, berikutan pengumuman Bank Negara itu, Maybank menaikkan kadar asas pinjaman (BLR) daripada 5.65 peratus setahun kepada 5.90 peratus.

Walaupun kadar faedah yang lebih tinggi mungkin menggalakkan orang ramai menabung tetapi mereka juga akan terjejas jika kadar pinjaman yang lebih tinggi itu menyebabkan kos pengeluaran naik. Apabila kos pengeluaran naik, harga pengguna pun naik.

Setakat ini belum nampak bukti yang jelas dan nyata bahawa langkah-langkah reaktif kerajaan, khususnya "jihad” melawan inflasi yang diheboh-hebohkan itu, telah mula membuahkan hasil.

Sebaliknya asas ekonomi negara nampak seolah-olah semakin menurun seperti yang dipamerkan oleh kejatuhan kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan mata wang utama dunia serta kemerosotan rizab antarabangsa Bank Negara bagi bulan Julai.

Kesimpulannya, antara peluang terbaik kerajaan memperbetulkan keadaan dan memperkukuhkan semula asas ekonomi adalah melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan bulan depan walaupun jangkaannya adalah kerajaan kekurangan hasil yang teruk. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca