Seramai 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor kini menjadi usahawan berjaya dan memiliki perniagaan sendiri hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selain mengikuti program usahawan asnaf anjuran Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).... Klik di sini untuk terus membaca

Seramai 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor kini menjadi usahawan berjaya dan memiliki perniagaan sendiri hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selain mengikuti program usahawan asnaf anjuran Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

Perkara itu didedahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) baru-baru ini berdasarkan statistik dari tahun 2013 hingga 2021.Kira-kira 60 peratus usahawan yang berjaya itu terbabit dalam industri makanan sama ada memiliki kedai makan, makanan sejuk beku atau makanan sedia dimakan.

Ada juga antara mereka yang mengeluarkan produk seperti sabun, perabot, pembersihan rumah, perkhidmatan van sekolah dan urutan. Jika dahulu mereka menerima zakat, sekarang mereka menjadi pengeluar zakat pula.

Ikuti kisah mereka yang dibawakan wartawan Sinar Ahad, NURFARDLINA IZZATI MOKTAR, MOHAMMAD KHAIRIL ASHRAF MOHD KHALID dan MUKHRIZ MAT HUSIN.

SHAH ALAM - Jika dahulu hanya memperoleh pendapatan RM900 sebulan, bekas penerima bantuan zakat bulanan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mampu membuktikan dia mampu meraih pendapatan lebih dari RM5,000 sebulan menerusi tekad dan usaha bersungguh-sungguh.

Kamal Shafiee, 40, berkata, dahulu dia merupakan penerima bulanan zakat sejak 2017 kerana pendapatannya sebagai pembantu kebun di sebuah sekolah di Rawang, Selangor tidak mencukupi untuk menyara isteri dan anak-anaknya.

"Selepas itu saya sekeluarga berpindah ke Sabak Bernam untuk memulakan kehidupan baharu di sana. Semasa itu masih lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan semasa itu.

"Bermula dari situ, saya terfikir rumah sewa di kampung mempunyai tanah yang luas dan sesuai untuk melakukan kerja-kerja penanaman bunga.

"Jadi saya mula memohon bantuan daripada pusat zakat untuk mendapatkan bantuan modal bagi mengusahakan penanaman bunga. Alhamdulillah, pusat zakat memberi bantuan modal sebanyak RM6,000 dan ia cukup untuk memulakan perniagaan nurseri tanaman bunga dan menjual baja pokok serta tanah kompos," katanya kepada Sinar Ahad.

Tambahnya, tanaman bunga diusahakan bersama isterinya itu termasuk pokok bunga kertas, pokok kembang pagi, pokok keladi yang dijual di hadapan rumahnya.

Antara pokok-pokok bunga yang dijual di hadapan rumah Kamal Shafiee di Sabak Bernam, Selangor.

"Saya berniaga di tepi jalan betul-betul depan rumah saya. Selain pelanggan tempatan, pengguna yang lalu lalang di jalan tersebut akan singgah berhenti untuk membeli pokok bunga, baja pokok dan sebagainya.

"Sambutan amat mengalakkan dan saya boleh meraih pendapatan RM5,000 hingga RM,6000 sebulan dan sangat bersyukur tentang hal tersebut," ujarnya.

Bapa enam anak itu berkata, dia tidak lagi menerima bantuan zakat sejak awal tahun ini kerana sudah mempunyai kewangan yang kukuh dan stabil.

"Saya tidak perlu lagi terima bantuan itu sebab saya dah mampu untuk menyara keluarga dam terima kasih pusat zakat kerana selama ini sudah banyak menolong sehingga berjaya.

"Nasihat saya kepada orang susah yang berada di luar sana agar mencari peluang untuk berusaha memperbaiki kehidupan kerana banyak peluang yang ada cuma kita sendiri yang tak tahu dan mencarinya sendiri," jelas Kamal.

JADI USAHAWAN BAKERI

Dalam pada itu, Norlelawati Bahari, 41, yang juga pernah melalui zaman sukar sewaktu menjadi ibu tunggal turut tidak patah semangat untuk berusaha mengubah nasib dirinya menerusi perniagaan bakeri.

Norlelawati, bekas penerima bulanan zakat yang kini menjadi usahawan bakeri.

Perniagaan itu diusahakan di sebuah rumah sewa di Kampung Sungai Udang, Klang.

Kata Norlelawati, dia bertekad untuk terus berjaya pada masa hadapan bagi menyara ibu dan anak perempuannya yang kini sudah berusia 17 tahun.

"Dahulu saya pernah menjadi guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dengan gaji sebanyak RM1,000 sebulan. Saya yang mempunyai bakat untuk membuat roti dan pastri membuat keputusan mengusahakan perniagaan itu secara sepenuh masa pada tahun 2017.

"Jadi saya mohon bantuan perniagaan untuk asnaf di bawah

Program Transformasi Usahawan Asnaf anjuran Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan berjaya menerima modal sebanyak RM1,000 serta bantuan mesin membuat roti.

"Selain itu saya menjalani kursus perniagaan secara berfasa selama setahun dan banyak manfaat diperoleh menerusi bantuan yang diberikan oleh pusat zakat selain turut menerima bantuan bulanan zakat sebanyak RM400," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Antara roti yang dijual oleh Norlelawati Bahari di kedai bakeri miliknya bernama Ella Sunshine Bakery.

Norlelawati menambah dia membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan bulanan zakat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak Disember tahun lalu kerana sudah berkemampuan selain tidak lagi berkelayakan untuk menerima bantuan itu yang diberikan khusus kepada golongan asnaf.

"Alhamdulillah walaupun tidak lagi menerima bantuan, saya bersyukur rezeki datang dalam pelnagai cara dan kini saya yang juga membuat kelas membuat roti menerima peserta dari seluruh Malaysia.

"Saya tak sangka menerima sambutan yang begitu mengalakkan. Saya percaya rezeki itu datang tepat pada waktunya," jelasnya yang memiliki perniagaan bakeri bernama Ella Sunshine Bakery.

Anak kelahiran Klamg itu juga menasihati golongan asnaf untuk berani mencuba sesuatu benda baharu yang boleh menjana pendapatan selain meningkatkan taraf hidup.

"Jangan takut untuk keluar dari kemiskinan dan terlalu berharap kepada bantuan. Jika kita berusaha Insya-ALLAH, ada ganjarannya nanti," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca