SHAH ALAM - Biarpun ringgit merosot dengan nilai tukaran semasa RM4.50 bagi dolar Amerika Syarikat (AS$1) dan terus mencatatkan momentum penurunan sejak minggu lepas, namun nilai mata wang negara masih kukuh. Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun ringgit merosot dengan nilai tukaran semasa RM4.50 bagi dolar Amerika Syarikat (AS$1) dan terus mencatatkan momentum penurunan sejak minggu lepas, namun nilai mata wang negara masih kukuh.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, ekonomi asas negara masih kukuh berbanding kebanyakan negara lain di dunia, tetapi kekuatan dolar AS telah menumpulkan aspek ini.

"Sejak awal tahun ini, ringgit jatuh berbanding mata wang dolar AS sebanyak 7.24 peratus, tetapi jika dibandingkan dengan mata wang utama dunia lain, nilai ringgit lebih kukuh berbanding pounds sterling (6.13 peratus), euro (2.87 peratus), yen Jepun (9.26 peratus) dan yen China renminbi (CNY).

"Selain itu, mata wang asing lain juga jatuh berbanding ringgit seperti won Korea (KRW) (5.91 peratus) dan dolar New Zealand (NZD) (6.23 peratus). Ini bermaksud ringgit semakin kuat berbanding KRW dan NZD,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, perbezaan dasar monetari antara AS dan serata dunia yang sangat ketara dari masa ke masa juga merupakan punca mengapa ringgit kelihatan semakin merosot.

"Nilai ringgit masih kukuh tetapi jika kita mahu bandingkan dengan dolar AS, semua mata wang asing akan tampak lebih lemah. Ini berlaku kerana dasar monetari AS serta dunia sangat berbeza sejak awal tahun ini dan menjadi masalah yang besar.

"Sekiranya dolar AS semakin kuat, satu dunia akan terkesan kecuali negara seperti Singapura dan Hong Kong kerana dasar monetari untuk menstabilkan dasar pertukaran wang asing mereka berbeza dengan negara Malaysia yang lebih kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan harga,” katanya.

Selain itu, pembukaan ekonomi ke arah pasca pandemik yang berbeza-beza bagi setiap negara turut menyumbang kepada nilai mata wang dunia.

"AS membuka negara lebih awal kerana kadar vaksinasi lebih cepat berbanding negara-negara lain. Semakin cepat sesebuah negara membuka ekonomi dan sempadan antarabangsa, semakin awal ekonomi berkembang.

"Harus diingatkan banyak lagi negara yang masih berhadapan dengan situasi lockdown dan sektor perkilangan yang masih belum dibuka, jadi penawaran akan kurang dari permintaan. Apabila permintaan lebih tinggi, maka inflasi akan meningkat,” katanya.

Jelasnya, kebarangkalian trend yang sama akan berlaku sekiranya AS meningkatkan kadar faedah lebih tinggi.

"Sekiranya AS menaikkan Kadar Dana Persekutuan sebanyak 75 mata asas pada September, maka kadar faedah negara itu akan meningkat dan ada aliran wang masuk ke AS.

"Namun, situasi ini akan reda bila AS merasakan kadar faedah mereka terlalu tinggi dan akan menyebabkan kemelesetan ekonomi atau inflasi mereka akan turun balik kepada dua peratus berbanding sekarang ini,” katanya.

Firdaos Rosli berpandangan, kadar faedah negara masih lagi berada dalam keadaan yang akomodatif iaitu masih lagi rendah berbanding pandemik.

"Memang ada kenaikan harga barang, tetapi kerajaan beri subsidi harga minyak dan kawalan harga barangan keperluan asas. Oleh itu, apabila dasar monetari bergerak, dasar fiskal yang dibuat oleh kerajaan juga harus memainkan peranan.

"Sama seperti tahun 2020 lepas, apabila kita menurunkan kadar faedah kita kepada 1.75 peratus, kerajaan perlu memainkan peranan dengan memberi pelbagai insentif dari dasar fiskal untuk mengelakkan ekonomi negara daripada merudum teruk,” katanya.

KRISIS

Dalam pada itu, Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, antara faktor kedudukan ringgit Malaysia semakin rendah adalah krisis geopolitik dan inflasi.

"Krisis geopolitik yang berlaku di Ukraine-Rusia juga memberi kesan kerana kita tahu Rusia adalah antara pengeluar terbesar minyak dan Ukraine adalah pengeluar gandum, jagung dan sebagainya.

"Inflasi atau kenaikan harga barang yang tidak terkawal juga memberi kesan ke atas nilai mata wang Malaysia yang semakin lama semakin mengecil. Inflasi negara berada di tahap 4.4 peratus dan nilai ini lebih tinggi berbanding sebelumnya pada 3.8 peratus. Politik negara yang tidak stabil juga boleh mengundang kedudukan mata wang ringgit Malaysia,” katanya.

Mohamad Fazli yang juga merupakan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia berkata, semua bentuk simpanan dalam keadaan nilai mata wang semakin merosot sekarang ini adalah baik namun ia bergantung pada keselesaan, kedudukan kewangan peribadi dan objektif simpanan itu kepada individu.

"Jika seseorang itu hendak melabur untuk jangka masa panjang, emas adalah pelaburan sesuai tetapi jika mereka mahukan pulangan tinggi namun berisiko tinggi, mereka dicadangkan melabur dalam saham,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca