SHAH ALAM - Dahulu pernah hidup susah sehingga terpaksa merempat akibat ditipu rakan niaga namun Muhamad Burhan Salikon, 55, bangkit semula menerusi perniagaan yang diusahakan sejak 14 tahun lalu di Kuala Selangor.
Demikian kisah seorang penerima asnaf yang bangkit kembali untuk berjaya dalam hidup.
Beliau berkata, ketika itu dia tidak mempunyai duit untuk menyara hidup di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan pulang semula ke kampung halaman di Kuala Selangor.
"Sebelum saya memulakan semula perniagaan cendol pada tahun 2008, saya pernah kerja sebagai penjual baju bundle di Gombak dan seterusnya ambil keputusan untuk balik ke kampung.
"Saya juga ada memohon bantuan modal daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk berniaga cendol.
Ujarnya lagi, dia pernah menerima bantuan zakat daripada LZS dengan bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan serta barang-barang keperluan asas lain termasuk beras dan tepung sejak tahun 2006.
"Saya membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan zakat daripada LZS kerana sudah berkemampuan untuk menyara hidup.
"Bermula pada tahun 2009, saya sudah mula membayar zakat dan tidak lagi menerima sebarang bantuan daripada pusat zakat.
"Sebenarnya membayar zakat bukanlah satu bebanan malah kita yang sudah berkemampuan ini dapat menolong orang yang kurang mampu selain mendapat pahala berganda dan rezeki menjadi lebih murah,” tuturnya.
Jelasnya lagi, kesusahan yang dialami serta usaha gigih yang dilakukan membuahkan hasil apabila sekarang dia mampu menyara keluarganya selain membesarkan perniagaan cendol miliknya dengan membuka restoran cendol di Kuala Selangor.
KEGIGIHAN IBU TUNGGAL 8 ANAK
Dalam pada itu, perjalanan seorang ibu tunggal lapan anak ini bermula daripada tiada apa-apa, akhirnya berjaya bangkit membina kehidupan lebih baik menerusi perniagaan aiskrim yang diusahakan sejak empat tahun lalu di Taman Sri Serdang, Seri Kembangan, Selangor.
Rosyani Mohamed Razalli, 42, yang dahulunya penerima bantuan zakat bulanan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kini menarik nafas lega selepas jerih perih dan pengorbanannya akhirnya membuahkan hasil apabila perniagaan aiskrim dikenali sebagai 'Aiskrim Madinah’ mendapat tempat di pasaran.
Dia kini menjadi pembekal produk aiskrim di tujuh cawangan pasar raya Lesong Mart di sekitar Selangor.
Menceritakan perjalanan hidupnya sebelum berjaya, Rosyani berkata, dia kehilangan suami yang meninggal dunia akibat penyakit kronik pada tahun 2017 selain perlu menyara anak-anak yang masih kecil.
"Sebelum arwah suami meninggal dunia, dia ada menjual aiskrim secara kecil-kecilan namun setelah dia tiada, saya meneruskan menjual aiskrim memandangkan saya baru sahaja bersalin anak yang kelapan selain tidak mempunyai pekerjaan pada masa itu.
"Nak harap pada jualan aiskrim secara kecil-kecilan ia tidak mampu nak tanggung kos perbelanjaan lapan anak yang sudah bersekolah dan masih kecil. Jadi saya tergerak hati untuk mohon bantuan modal daripada LZS pada Mei 2018.
"Alhamdulillah saya berjaya mendapat bantuan modal daripada pusat zakat berjumlah RM5,000 selain dihantar menjalani kursus perniagaan selama dua hari. Modal itu digunakan untuk membeli mesin membuat aiskrim dengan kuantiti lebih banyak berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Ahad.
Ujarnya lagi, walaupun perniagaannya mengalami detik-detik kejatuhan dan mencapai jalan buntu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, dia bangkit semula dengan mengubah rekaan pembungkusan aiskrim dengan meletakkan pelekat bagi menampakkan produknya lebih segar, baharu dan berjenama.
"Saya bersyukur kerana pasar raya Lesong Mart melihat potensi dan perkembangan daripada produk aiskrim yang saya hasilkan. Sejak itu saya membekalkan produk aiskrim ke beberapa cawangan pasar raya tersebut,” jelasnya.
Rosyani menambah kini dia berjaya membuka sebuah kedai aiskrim di Pasar Awam Taman Sri Serdang dengan menyewa RM120 sebulan bermula Januari 2021. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut berterima kasih kepada LZS.
Selain bantuan diterima sebanyak RM750 sebulan, dia juga mendapat bantuan mesin membuat aiskrim dan peti sejuk beku bersaiz lebih besar setelah LZS melihat potensinya dalam perniagaan aiskrim buatan anak tempatan.
Pesan Rosyani kepada asnaf lain: "Jangan terlalu harapkan bantuan, kita kena bangkit dan berusaha untuk berdikari. Apa-apa pun jangan pernah berputus asa dan berusaha bersungguh-sungguh, insya-ALLAH ada jalan penyelesaiannya.”
Klik di sini untuk terus membaca