Masalah murtad adalah polemik yang benar-benar berlaku di Malaysia. Ia bukanlah suatu rekaan pihak tertentu bagi meraih kepentingan-kepentingan tertentu. Bagi sesetengah orang murtad berlaku secara senyap sama ada dengan berpegang dengan... Klik di sini untuk terus membaca

Masalah murtad adalah polemik yang benar-benar berlaku di Malaysia. Ia bukanlah suatu rekaan pihak tertentu bagi meraih kepentingan-kepentingan tertentu. Bagi sesetengah orang murtad berlaku secara senyap sama ada dengan berpegang dengan agama lain ataupun melakukan upacara yang terpesong daripada akidah Islam.

Atas sebab-sebab tertentu golongan ini tidak mahu dikenalpasti dan hanya melakukan aktiviti keagamaan mereka secara senyap senyap sahaja. Namun ada juga yang mahu menzahirkan kemurtadan mereka kepada umum.

Bagi menjaga agama Islam sebagai agama negara mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlakuan-perlakuan di atas tidak dengan sendiri menjadikan seseorang itu sebagai tidak Islam. Individu atau kumpulan tersebut perlu mendapat perakuan daripada pihak berkuasa agama bagi mengesahkan mereka tidak lagi beragama Islam.

Di Malaysia undang-undang mengenai murtad terdapat di dalam beberapa bentuk iaitu sebagai kesalahan cubaan murtad sebagaimana yang terdapat di dalam Enakmen Jenayah Syariah beberapa negeri seperti Perak Melaka Kelantan Sabah dan Negeri Sembilan.

Mahkamah Syariah juga diberi bidang kuasa secara spesifik untuk mengisytiharkan seseorang itu tidak lagi beragama Islam. Manakala memurtadkan orang Islam pula telah dijadikan suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam.

Kesalahan di bawah enakmen ini pula dibicarakan di mahkamah sivil. Gaya hidup yang tidak memberi penekanan hidup beragama telah mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap ALLAH itu akan terhakis dari masa ke semasa.

Kemuncak krisis keyakinan terhadap ALLAH ini ialah tindakan seseorang ke arah murtad. Sebahagian orang Islam pula seolah-olah sudah tidak lagi sensitif kepada orang Islam yang mahu murtad.

Malah terdapat sebilangan yang ‘membantu’ orang Islam murtad atas nama kebebasan beragama. Apabila kepekaan dalam isu murtad ini sudah tidak lagi wujud di dalam diri orang Islam, lama-kelamaan murtad ini akan dilihat sebagai suatu norma yang biasa berlaku di negara kita.

Apabila tahap ini telah menjadi lumrah, umat Islam sudah terlambat daripada menggunakan segala usaha bagi mengembalikan orang yang telah murtad itu ke jalan yang sebenar.

Murtad adalah suatu dosa yang amat besar dan kesalahan yang sangat serius. Mendakwa murtad merupakan hak kepada orang Islam merupakan suatu yang begitu jauh tersasar daripada agama Islam itu sendiri.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila jenayah riddah ini telahpun dijadikan suatu kesalahan dan termasuk di dalam kategori kesalahan besar dalam Islam.

Berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan dengan mendabik dada mengatakan hak asasi manusia membenarkan seorang Islam itu murtad juga sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada mana-mana orang menganut dan mengamalkan agamanya. Perkara 11(1) tersebut hanya mengatakan orang Islam berhak menganut dan mengamalkan agama Islam.

PERTUKARAN AGAMA

Begitu juga penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian bebas menganut dan mengamalkan agama mereka. Perkara 11(1) tidak memberi hak kepada mana-mana orang bertukar-tukar agama.

Pertukaran agama hendaklah dilakukan mengikut agama itu sendiri dan juga undang-undang yang berkuatkuasa. Tiada hak yang diberikan oleh mana-mana undang-undang bersifat mutlak. Sudah tentu setiap hak yang diberikan mempunyai batasannya tertentu. Malah hak itu sendiri kebiasaannya diimbangi dengan tanggungjawab.

Isu murtad ini tidak boleh dilihat secara berasingan dari agenda menggasak agama Islam dari segenap sudut. Malah beberapa tindakan berangkai sekarang ini boleh menjurus kepada menjauhkan umat Islam dari sebarang bentuk tindakan atau organisasi agama di Malaysia.

Lama kelamaan umat Islam akan hidup jauh daripada agama dan 'dibebaskan' daripada Islam dan institusinya. Pada ketika itu nanti murtad sudah menjadi norma kehidupan dan tidak lagi diperkatakan.

Pengukuhan akidah, ibadah dan akhlak boleh diterap kepada umat Islam melalui undang-undang dan pendidikan. Keduanya harus berjalan seiring bagi mempastikan keberkesanan dakwah Islam.

Sebarang usaha yang dilakukan untuk menyelamat orang Islam daripada murtad mestilah

dipuji walaupun tindakan tersebut menghasilkan kejayaan yang sedikit. Apa yang penting ialah memantapkan usaha. Sudah bukan masanya lagi umat Islam bertelagah cara atau manhaj mana yang terbaik dilakukan untuk mengekang gejala murtad.

Perkara yang menjadi kesalahan bukanlah bagaimana usaha itu dilakukan tetapi perkara yang menjadi kesalahan sebenarnya ialah tidak melakukan apa-apa bagi menghalang murtad dari terus berleluasa.

Dalam hal ini masing-masing mahu digelar juara dan menafikan peranan orang lain yang tidak bersama mereka. Mereka sahaja yang betul dan sesiapa yang tidak menyertai organisasi mereka dianggap penentang. Inilah wabak yang sedang dihadapi umat Islam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca