Pada 8 September 2022, Istana Buckingham di London telah mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth Alexandra Mary atau lebih dikenali sebagai Elizabeth II. Ratu Elizabeth II berusia 96 merupakan merupakan raja paling lama memerintah Britain... Klik di sini untuk terus membaca

Pada 8 September 2022, Istana Buckingham di London telah mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth Alexandra Mary atau lebih dikenali sebagai Elizabeth II. Ratu Elizabeth II berusia 96 merupakan merupakan raja paling lama memerintah Britain dan antara raja tertua di dunia.

Hanya seorang raja dalam sejarah telah memerintah lebih lama daripada Ratu Elizabeth II adalah Raja Louis XIV dari Perancis - yang memerintah selama lebih daripada 72 tahun antara 1643 dan 1715. Ratu Elizabeth II telah menaiki taktha selepas kemangkatan ayahandanya Raja George VI pada 6 Februari 1952, ketika baginda hanya berusia 25 tahun.

Ratu Elizabeth II kemudian telah ditabalkan pada bulan Jun 1953. Sepanjang pemerintahan Ratu Elizabeth II baginda telah menyaksikan seramai 15 perdana menteri berkhidmat di bawahnya. Winston Churchill adalah yang pertama, manakala Liz Truss adalah yang ke-15. Selain itu, termasuk Harold Wilson, Margaret Thatcher, John Major, Tony Blair, Theresa May dan Boris Johnson.

Pemerintahan Ratu Elizabeth II selama 70 tahun (1952-2022) telah menyaksikan perubahan suasana politik antarabangsa.

Semasa baginda ditabal dunia baru sahaja menghadapi Perang Dunia Kedua (1939-1945) Eropah termasuk Britain dan Asia sedang memulihkan ekonomi akibat perang dunia. Pemerintahan Ratu Elizabeth II berhadapan cabaran Perang Dingin (1945-1991) antara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet (USSR). Antaranya termasuk Perang Falklands pada 1982 yang melibatkan Britain dan Argentina.

Seterusnya pemerintahan Ratu Elizabeth II berdepan dengan cabaran-cabaran era pasca-Perang Dingin seperti serangan pengganas di London, pandemik Covid-19. Pemerintahan Ratu Elizabeth II juga menyaksikan kemerdekaan bekas tanah jajahan Britain di Afrika, Carribean dan Asia. Ini termasuk Malaya (1957), Ghana (1957), Nigeria (1960), Jamaica (1962), Fiji (1970), Bahamas (1973) dan Brunei Darussalam (1984).

MERAKYATKAN INSTITUSI RAJA

Pemerintahan Ratu Elizabeth II juga menyaksikan pemulangan Hong Kong ke pemerintahan Republik Rakyat China (RRC) pada 1997.

Antara legasi Ratu Elizabeth II adalah semasa pemerintahan baginda telah ‘merakyatkan’ institusi raja Britain di mana Ratu Elizabeth II mengutamakan hubungan erat dengan orang awam dengan menjadi penaung kepada organisasi serta projek kebajikan.

Selain itu, mengadakan lawatan ke tempat-tempat seperti rumah anak-anak yatim, hospital dan antara amalan kegemaran baginda adalah untuk berbual-bual dengan orang ramai sambil menerima jambak bunga daripada mereka. Ratu Elizabeth II yakin dalam era moden institusi diraja Britain perlu sentiasa rapat dengan orang ramai dan tidak boleh berdiri secara isolasi.

Justeru itu, keluarga kerabat diraja Britain seperti anakanda Raja Charles III, Putera Harry, Putera William turut mencontohi Ratu Elizabeth. Amalan Ratu Elizabeth II untuk sentiasa rapat dengan orang ramai turut menjadi sumber inprirasi kepada monarki lain di dunia.

Semasa pemerintahan Ratu Elizabeth II, baginda telah mengunjungi Malaysia sebanyak tiga kali. Lawatan pertama pada 1972 atas undangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-5 Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Di samping menghadiri upacara rasmi di Istana Negara, Ratu Elizabeth II turut melawat Makam Pahlawan dan baginda telah menanggalkan kasut dan memakai topi ketika memasuki perkarangan Masjid Negara sebagai tanda penghormatan.

Selain itu, Ratu Elizabeth II turut melawat ladang getah dan telah menggunakan pisau toreh untuk mencuba menoreh getah sendiri. Ratu Elizabeth II juga melawat negeri Sabah dan bertemu dengan penduduk pribumi. Lawatan kedua pada 1989 ketika Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Commenwealth (CHOGM).

Semasa lawatan tersebut Ratu Elizabeth II telah disambut oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-9 Tuanku Azlan Muhibbuddin Shah. Ratu Elizabeth II telah mengunjungi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan baginda turut mematuhi kod pakaian semasa berada di masjid.

Ratu Elizabeth II selaku Ketua Gereja England telah menunjukan sikap keterbukaan dan saling menghormati. Lawatan ketiga adalah pada 1998 semasa Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel. Ratu Elizabeth II telah disambut oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-10 Tuanku Ja’afar. Ratu Elizabeth II telah mengambil kesempatan untuk melawat Suria KLCC serta menaiki LRT ke Stadium Bukit Jalil.

TIGA LAWATAN KE MALAYSIA

Ratu Elizabeth II mempunyai kenangan manis melawat Malaysia. Perkara itu telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia Charles Hay semasa sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II pada 2022 di Galeri Antarabangsa Sime Darby.

Hay berkata telah mengadakan pertemuan dengan Ratu Elizabeth II ketika menerima watikah perlantikan sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia pada 2019, Ratu Elizabeth telah memaklumkan bahawa baginda mempunyai kenangan manis tentang tiga lawatannya ke Malaysia, khususnya untuk majlis penutupan Sukan Komanwel di Stadium Bukit Jalil pada 1998.

Perlu ditegaskan Ratu Elizabeth II juga mengundang dan menyambut Yang di-Pertuan Agong di Istana Buckingham. Kali terakhir adalah ketika kunjungan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 Tuanku Al-Sultan Abdullah pada Disember 2019.

Di samping, menjadi raja yang paling lama memerintah Britain, Ratu Elizabeth II juga merupakan satu-satu raja yang paling banyak mengunjungi negara lain dan berjumpa dengan pemimpin asing. Diharapkan anakandanya Raja Charles III akan meneruskan legasi ibuandanya dan hubungan antara Malaysia dan United Kingdom akan terus kukuh.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca