Pilihan Raya Umum adalah cabang pendemokrasian. Pengundi adalah penentu pada hari pilihan raya. Menang dan kalah adalah adat kepada yang bersedia untuk bertaruh di gelanggang pilihan raya. Jawatan dan pangkat tidak menjanjikan kemenangan... Klik di sini untuk terus membaca

Pilihan Raya Umum adalah cabang pendemokrasian. Pengundi adalah penentu pada hari pilihan raya. Menang dan kalah adalah adat kepada yang bersedia untuk bertaruh di gelanggang pilihan raya.

Jawatan dan pangkat tidak menjanjikan kemenangan automatik. 19 timbalan menteri dan lapan menteri gagal bersama dengan beberapa menteri besar semasa PRU ke-14. Sentimen dan emosi pengundi boleh mempengaruhi pilihan mereka. Ini bergantung kepada isu, calon dan parti.

Ada yang suka ‘gosok’ secukupnya sehingga pengundi keliru yang mana mahu disokong terutama dalam kalangan pengundi ‘atas pagar’. Ada juga yang suka ‘cium’ supaya pengundi kekal taat pada parti mereka ataupun calon.

Menarik juga untuk melihat bagaimana ada yang ‘gasak’ pengundi tertentu untuk memenangi yang ‘gosok’ dan ‘cium’ tadi. Misalnya, isunya boleh dikaitkan dengan majlis perkahwinan, bersalin, sakit atau kematian andaikata calon tidak pernah cuba mendekati pengundi di majlis yang disenaraikan ini. Skandal tidak terkecuali.

Ada juga berharapan agar ketokohan dinilai dan bukan pada wang ringgit. Ada pula mengharapkan hubungan persanakan. Ada yang memainkan isu agama dan etnik untuk mempengaruhi sokongan.

Pendekatan, apa sahaja yang boleh membawa ‘undi’, kesemua itu dilihat aset untuk menang. Kependudukan dan ilmu alam amat penting untuk dinilai. Pada PRU lalu, 39 kerusi bandar dimenangi oleh PH berbanding BN satu dan Pas dua.

Kerusi separa bandar melihat PH menang 45, BN enam, Pas empat dan Warisan satu. Kerusi luar bandar masih didominasi oleh BN dengan 72 manakala PH 29, Pas 12 dan Warisan tujuh. Felda melihat 27 kerusi oleh BN, PH 20 dan Pas lima.

Perpecahan undi Melayu kepada UMNO, Pas, PKR, Amanah, Bersatu, Pejuang dan Gerakan Tanah air akan mempengaruhi PRU kali ini. Pada PRU lepas, BN mendapat 46 peratus sokongan pengundi Melayu; 26 peratus PH dan Pas 28 peratus.

Pengundi Cina jauh mendahului PH dengan 93 peratus dan bakinya adalah BN dan lain-lain. 63 peratus pengundi India unjur kepada PH dan 26 peratus kepada BN.

Hatta, apa yang kita lihat hari ini adalah pengurusan persepsi ke atas pola pengundian PRU15. Ketika BN tewas majoriti kerusi pada PRU lepas, Bukit Gantang dimenangi bersama tiga kerusi DUN di bawahnya. Kemenangan 4-0; luar biasa.

PRESTASI

Daripada 54 kerusi yang dimenangi oleh UMNO, 53 kerusi adalah kerusi sebagai penyandang manakala satu-satunya kerusi yang dirampas daripada pembangkang adalah Bukit Gantang.

Bagaimana ia berlaku? Ketokohan serta karakter Datuk Syed Abu Hussin dan jentera adalah kuncinya beserta dengan kekuatan pemikiran seorang tokoh korperat yang berorientasikan ‘keputusan akhir’.

Beliau menebus kemenangan dengan mengurus kekalahan parti sebelum ini; menyatukan semua di bawah kepimpinannya; agihan fungsi; menjunjung peranan cawangan dan bahagian; DUN Sepetang diambil dengan konsep pengundi Cina ‘zero’; menukar kerusi tersebut dengan Gerakan kepada UMNO.

Begitu juga dengan kewibawaan Wanita UMNO dan MIC; pemindahan pengundi di bawah ‘Ops Burung’; war room dalam war room; Ops Cari pengundi kategori hitam; dan propaganda media sosial.

Menang menjadi intaian setiap yang bertanding tetapi YB Bukit Gantang menunjukkan satu pakej ‘keajaiban’ tatkala yang lain kalah. Kupasan mengenai ‘Menang 4-0 Ketika Ramai Yang Kalah’ boleh dibaca dalam penulisan buku Dr Baharudin Ali Masrom Al-Haj.

Walau gosok, cium dan gasak menjadi tatapan sebahagian tokoh politik dan penyokong mereka, seorang calon perlu menjadi ‘pemikir politik’. Lihat apa yang berlaku di Bukit Gantang. Jadikan ia sebagai kajian kes untuk menang dengan bergaya.

PRU pasti datang dalam jangka masa terdekat ini. Persiapan rapi penting tetapi tanpa komitmen dan kesiapsiagaan yang berstrategi, ia sukar. Kenali setiap suara, Pastikan dinamika politik dirasionalkan dengan naratif pemasaran dan penjenamaan yang hormati pengundi. Jangan lupa hampir 70 peratus memilih tidak berkepartian.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca