Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) mendakwa Rusia berkemungkinan membeli jutaan peluru meriam dan roket dari negara komunis, Korea Utara untuk menambah simpanan senjatanya yang bakal habis akibat menyerang Ukraine sejak 24 Februari lalu.
Maklumat itu didedahkan pada Selasa lalu oleh jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby kepada pemberita manakala akhbar New York Times pula memetik sumber yang tidak dinamakan bahawa Rusia cuba membeli peralatan ketenteraan bagi kegunaan pada masa depan.
Kirby membuat kenyataan berdasarkan maklumat daripada pihak perisikan AS yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia namun menegaskan pembelian itu masih belum lagi selesai.
Sebelum ini, pihak perisikan AS turut menyatakan bahawa Ukraine akan diserang tentera Rusia dan maklumat itu diberitahu kepada Presidennya, Volodymyr Zelenskyy namun akhirnya serangan itu benar-benar terjadi walaupun pada awalnya, Rusia berulang kali menafikan ia akan berlaku.
Pendedahan maklumat itu menunjukkan tentera Rusia terus mengalami kekurangan bekalan peralatan ketenteraan yang teruk di Ukraine sebahagiannya adalah disebabkan oleh kawalan eksport dan sekatan dikenakan oleh AS serta sekutu-sekutunya.
SIMPANAN BESAR PELURU
Maklumat itu didedahkan selepas pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mengesahkan bahawa tentera Rusia menerima penghantaran dron buatan Iran pada Ogos lalu untuk digunakan di medan perang di Ukraine.
Rumah Putih berkata pada minggu lalu bahawa Rusia telah menghadapi masalah teknikal dengan dron Mohajer-6 dan Shahed buatan Iran yang digunakan dalam perang tersebut.
Korea Utara sebelum ini mempunyai sejarah panjang mengeksport senjata-senjata buatannya dibina berdasarkan kepada reka bentuk Kesatuan Soviet sebelum ia dibubarkan dan kini dikenali sebagai Rusia.
Negara itu menyediakan Rusia dengan pelbagai jenis senjata-senjata kecil konvensional, kata beberapa pakar.
Menurut seorang penganalisis pertahanan Rusia, Pavel Luzin, negara itu kemungkinan akan mengalami masalah kehabisan peluru artileri menjelang akhir tahun ini.
Persoalannya sekarang ialah apakah Korea Utara berupaya membekalkan senjata-senjata kepada Rusia jika negara tersebut benar-benar membuat pembelian itu untuk perang Ukraine?
Bekas penyelaras untuk sebuah panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memantau sekatan ke atas Korea Utara, Hugh Griffith pernah berkata bahawa negara komunis itu mempunyai simpanan besar peluru artileri dan roket pada era Kesatuan Soviet yang bermula sejak tahun 1950-an lagi.
Negara komunis itu mempunyai simpanan sistem artileri dan roket agak primitif yang sebahagian daripadanya adalah jenis sama digunakan oleh tentera Rusia untuk membedil bandar-bandar dan pekan-pekan Ukraine.
Bagaimanapun, Korea Utara juga mempunyai teknologi peluru berpandu yang lebih baharu dan canggih serta sistem artileri lebih mudah berdasarkan kepada reka bentuk Kesatuan Soviet.
PELURU BERPANDU PALING BERKUASA
Sebahagian artileri milik negara komunis itu didapati tidak berkesan dengan mengambil contoh kegagalan pelancar roket berganda 122 milimeter (mm) atau lebih dikenali sebagai MRL menepai sasaran semasa Korea Utara melancarkan serangan ke atas Pulau Yeonpyeong milik Korea Selatan pada tahun 2010.
Menurut Korea Selatan, pihak tentera Korea Utara melepaskan kira-kira 170 peluru menggunakan pelancar roket MRL namun hanya sebahagiannya mengenai pulau itu manakala kira-kira 25 peratus lagi gagal meletup.
Menurut laman web 38 North yang menganalisis tentang Korea Utara, kadar kegagalan tinggi itu menunjukkan bahawa sejumlah artileri buatannya terutamanya MRL mengalami sama ada kawalan kualitinya lemah semasa pembuatan atau keadaan penyimpanan serta piawaiannya yang buruk.
Bagaimanapun, Korea Utara mempunyai sistem roket yang boleh melawan Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi M142 (HIMARS) yang diberikan oleh AS kepada Ukraine.
Sistem roket milik negara komunis itu dikenali sebagai KN-25 Korea Utara dianggap sebagai salah satu peluru berpandu paling berkuasa dalam simpanan senjatanya.
Ia boleh bergerak sejauh kira-kira 380 kilometer iaitu lebih jauh daripada roket HIMARS.
Namun, sebarang penjualan senjata ke Rusia oleh Korea Utara akan menjadi pelanggaran terhadap resolusi PBB yang melarang Pyongyang daripada mengeksport atau mengimport senjata dari negara lain.
Sejurus berita tentang Rusia kemungkinan membeli peluru dan artileri dari Korea Utara, Moscow menolak dakwaan itu dan menyatakan ia adalah maklumat palsu.
Penafian itu dilakukan oleh Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia baru-baru ini yang menyatakan beliau tidak pernah mendengar maklumat penjualan tersebut.
Setakat ini masih belum ada penafian dikeluarkan oleh Korea Utara berhubung maklumat perisikan AS itu.
Namun begitu, Presiden Rusia, Vladimir Putin berikrar akan meningkatkan hubungan lebih serius dengan negara komunis tersebut menerusi penghantaran nota kepada rakan sejawatannya dari Korea Utara, Kim Jong-un dan pada bulan lalu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca