SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mungkin 'berkubur' dan tidak menang sebarang kerusi Parlimen, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika permohonan mereka mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) ditolak. Malah,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mungkin 'berkubur' dan tidak menang sebarang kerusi Parlimen, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika permohonan mereka mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) ditolak.

Malah, penganalisis politik berpandangan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri tidak mampu mempertahankan kerusi Parlimen Muar, tanpa sokongan padu dari rakan kongsi dari PH, pada PRU15 nanti.

Ini kerana secara dasarnya Muda tidak mempunyai penyokong akar umbi yang kuat dan ramai seperti gabungan parti lain seperti PH, BN mahu pun Perikatan Nasional (PN).

Muda sebelum ini meletakkan sasaran mahu bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU15 nanti.

Felo Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir melihat peluang Muda menang kerusi Parlimen pada PRU15 tanpa sokongan PH terutama PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) amat tipis kerana mereka adalah sebuah parti berasaskan idealisme anak muda semata-mata dan tiada kekuatan di peringkat akar umbi.

"Muda hanya bergantung harap sokongan anak muda semata-mata. Mana-mana parti politik yang bergantung kepada sokongan orang muda tidak akan dapat menang PRU15 kerana dari segi profil demografi pengundi di Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

"Biarpun sebahagian besarnya pengundi adalah terdiri daripada anak muda namun sesebuah parti tidak mengabaikan sokongan golongan berusia 30 hingga lebih 80 tahun kerana mereka juga adalah penentu kemenangan seseorang calon pada PRU15 nanti. Kalau Muda hanya bergantung kepada idealisme golongan muda semata-mata saya rasa mereka tidak boleh pergi jauh dan menang banyak kerusi pada PRU15 nanti.

"Ini bermakna parti Muda tidak boleh bergerak sendiri dan menang sebarang kerusi pada PRU15 tanpa dokongan daripada parti dalam PH. Muda seharusnya ingat bahawa mereka menang satu-satu kerusi DUN dalam PRN Johor tempoh hari adalah kerana sokongan padu penyokong PH khususnya PKR dan Amanah bukannya atas kekuatan jentera dan penyokong sendiri," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Justeru, Jeniri berkata, Presiden Muda perlu menilai sendiri kekuatan parti itu apabila meletakkan sasaran mahu bertanding di 15 kerusi Parlimen, pada PRU15 nanti.

Jeniri berkata, tindakan Syed Saddiq mengumumkan Muda hanya akan bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU15 menunjukkan kepimpinan parti diketuai oleh Ahli Parlimen Muar berkenaan tidak yakin dengan kekuatan jentera parti dan akar umbi dimiliki mereka sendiri.

"Tambahan pula, saya tidak fikir Muda mempunyai jumlah penyokong ramai dan mendapat sambutan hangat dari pengundi di seluruh negara hanya tertumpu di kawasan tertentu di bandar sahaja, selain jentera akar umbi yang lemah dan tidak memiliki sumber atau dana politik yang kukuh.

"Justeru, berdasarkan faktor di atas saya 'skeptikal' bahawa Muda akan memenangi satu jumlah kerusi Parlimen yang boleh memberi sumbangan bermakna pada PRU15 nanti," katanya.

Malah, Jeniri meramalkan kedudukan Syed Saddiq selaku penyandang kerusi Parlimen Muar juga dijangka tergugat jika beliau bertanding atas tiket Muda tanpa sokongan PH terutamanya undi penyokong PKR dan Amanah.

"Jika berlaku perpecahan dalam kalangan parti PH dan PN maka ia akan memberikan kelebihan kepada BN untuk merampas kembali kerusi Parlimen Muar daripada Syed Saddiq, pada PRU15 nanti," katanya.

Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat pula, menegaskan Muda dan PKR mungkin sama-sama akan menghadapi kerugian besar jika parti pimpinan Syed Saddiq itu tidak menyertai gabungan PH dalam PRU15 nanti.

Chin Hua

Beliau berkata, ini kerana Muda dan PKR berciri seakan-akan sama pelbagai etnik, lebih bersifat bandar dan pimpinan Melayu berkongsikan kumpulan sasaran yang sama.

Katanya, ini berlainan dengan idea Khemah Besar yang cuba membawa bersama parti-parti yang berlainan orientasi.

"Dengan melawan PH/PKR, Muda mungkin akan kalah kecuali di satu dua kawasan. Tetapi PKR yang juga lemah berbanding dengan 2018 juga akan menerima padah jika berlaku pertembungan beberapa penjuru," katanya.

Berikutan itu, Chin Huat berpandangan PH dan Muda harus segera duduk semeja bagi membincangkan kemasukan mereka ke dalam gabungan pembangkang dan peraturan untuk menentukan calon yang boleh merampas kembali kerusi dimenangi parti lawan, pada PRU 2018 lalu.

"Parti yang mempunyai peluang banyak untuk menang harus diberi peluang untuk bertanding. Daripada berbalah pasal bilangan kerusi, baik berbicara pasal peraturan mengagihkan kerusi secara terbuka (tiada penyandang PH)," katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan bahawa PH mungkin sukar menerima penyertaan Muda ke dalam gabungan parti pembangkang berikutan wujud penolakan kuat daripada PKR.

Anwar Ibrahim

Malah, Anwar yang juga Pengerusi PH juga menzahirkan rasa sangsi terhadap niat dan hasrat Muda khususnya membabitkan pemimpinnya mahu menyertai gabungan itu.

"Kita harus berlapang dada. Sentimen (penolakan) dalam PKR tak mudah. Dia bagi contoh pemimpinnya, dulu mari kita lawan 1MDB. Kemudian bangkit sokong (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), tapi bila giliran saya tidak sokong saya.

"Tapi tidak semua jemaah Muda. Orang boleh berubah, orang boleh taubat. Konklusinya, biarlah pimpinan (PH) teliti, bincang bawa dalam sidang, apa kebaikannya, apa kemungkinannya," katanya ketika menjadi panel pada Sesi Townhall Pentas Interaksi Anak Muda di Pusat Alumni Universiti Malaysia (PAUM) di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Klik di sini untuk terus membaca