LONDON - Tanggal 10 September Charles III secara rasmi diisytiharkan sebagai raja baharu Britain oleh Majlis Penaklukan dalam upacara penuh bersejarah di Istana St. James di London selepas kemangkatan bondanya Ratu Elizabeth II pada Khamis lalu.
Charles yang berusia 73 tahun secara rasmi melafazkan ikrarnya sebagai raja baharu berkata, baginda akan sentiasa mencontohi bondanya, berkhidmat sepanjang hayat kepada seluruh penduduk Britain.
Charles Philip Arthur George dilahirkan pada 1948 di Istana Buckingham menunggu selama tujuh dekad sebagai waris, secara automatik menjadi raja selepas bondanya meninggal dunia.
Isteri beliau, Camilla kini merupakan Queen Consort dan akan mengambil peranan baharu yang lebih menonjol di samping suaminya itu.
SEJARAH RINGKAS CHARLES
Mengimbas sejarah ringkas Charles, baginda adalah anak sulung kepada pasangan Ratu Elizabeth II dan Putera Phillip selain cucu kepada Raja George IV dan Permaisuri Elizabeth Bowes-Lyon.
Semasa berusia tiga tahun datuknya, Raja George IV telah mangkat pada usia 56 tahun akibat kanser paru-paru dan bondanya Puteri Elizabeth secara rasminya telah ditabalkan sebagai Ratu Great Britain.
Pertabalan Ratu Elizabeth sebagai Ratu Great Britain sekaligus meletakkan Charles sebagai pewaris takhta Great Britain yang seterusnya dengan memegang gelaran Putera Wales sebelum dilantik menjadi raja.
Sebagai putera sulung, Charles secara automatik turut menerima dan memegang gelaran Duke Of Cornwall, Duke Of Rothesay, Earl Of Carrick, Baron Of Renfrew, Lord Of The Isles, dan Prince And Steward Of Scotland.
PERKAHWINAN CHARLES DENGAN PUTERI DIANA DAN CAMILLA
Perkahwinan pertama dengan Puteri Diana berlangsung pada 29 Julai 1981 selepas pasangan ini bertemu pada tahun 1977 semasa diundang ke Istana Balmoral untuk berjumpa dengan keluarga Charles.
Majlis Perkahwinan diraja ini mendapat liputan secara meluas dari dalam mahupun luar negara dan pernah digelar media sebagai 'fairytales wedding' dan 'wedding of the century' kerana sambutan kemeriahan ditampilkan serta dipertontonkan secara langsung di kaca televisyen di seluruh dunia.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini mempunyai dua cahaya mata lelaki iaitu Putera William yang dilahirkan pada tahun 1982 manakala adiknya Putera Henry pada tahun 1984. Putera William kini bakal digelar Duke of Cornwall, gelaran untuk pewaris pertama takhta selepas ayahandanya dimahkotakan sebagai raja.
Namun, hubungan Charles dengan Diana tidak bertahan lama apabila mereka mengumumkan bercerai pada tahun 1996, selepas 15 tahun bersama.
Penceraian pasangan ini mendapat liputan meluas media seluruh negara sehingga menyebabkan Puteri Diana sering dikejar paparazi dan membawa kepada kematiannya di Perancis pada 31 Ogos 1997 ketika menaiki kereta bersama rakannya, Dodi Al-Fayed.
Kemudian pada 9 April 2005, Charles dan Camilla iaitu kekasih lamanya mengumumkan untuk berkahwin dan majlis yang dilangsungkan di Windsor Guidhall. Camilla mendapat gelaran The Duchess of Cornwall dan merupakan perkahwinan kali kedua mereka.
HOBI DAN SUMBANGAN
Sebagai Putera Wales, Charles terkenal dengan kerja-kerja kebajikannya terutama sekali dengan badan kebajikannya sendiri iaitu 'The Prince's Trust'.
Jadi tidak hairanlah jadual baginda dipenuhi tugas diraja yang diambil alih dari kedua-dua ayahanda dan bondanya.
Selain itu, Charles dikatakan seorang yang gemar bermain sukan polo, selam skuba dan belayar serta melukis lukisan atas kanvas serta menyertai acara amal serta mendermakan hasil jualan lukisan kepada Yayasan Amal The Prince of Wales.
Baginda juga meluangkan masanya degan aktiviti berkebun di kebun organik yang terletak di Highgrove dan ladang seluas 900 ekar di Gloucestershire.
Justeru tidak hairanlah, Charles membekalkan hasil organik untuk jenama Waitrose Duchy Organic manakala kebun di Highgrove yang dibuka untuk dikunjungi orang awam telah direkodkan pernah menerima hampir 40,000 pengunjung untuk menyaksikan kesuburan tanaman hasil tangan baginda sendiri. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca