SHAH ALAM - Cadangan pemberian moratorium khas untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dilihat sebagai langkah tepat bagi membantu golongan berkenaan pulih akibat situasi tidak menentu ketika ini. Penganalisis ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan pemberian moratorium khas untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dilihat sebagai langkah tepat bagi membantu golongan berkenaan pulih akibat situasi tidak menentu ketika ini.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid bagaimanapun berkata, ia merupakan langkah bersifat jangka pendek.

Justeru, beliau berpandangan, langkah strategik perlu dibuat untuk mengembalikan mereka kembali ke landasan asal selain terus memajukan golongan berkenaan.

"Langkah yang boleh dibuat, antaranya membina rantai nilai yang komprehensif dan mantap dengan membantu mereka mencari barangan mentah, melatih tenaga kerja, menyediakan platform pemasaran, sokongan kewangan serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Terdapat pelbagai agensi kerajaan termasuk kumpulan perbankan memfokuskan kepada sektor PMKS ini. Ia sudah baik tetapi mungkin perlu diangkat lagi ke beberapa aras yang tinggi terutama dari segi pertindihan fokus dan melahirkan usahawan telah berjaya dengan membantu usahawan baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Ahad, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor PMKS.

Beliau berkata, ini kerana sektor berkenaan masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah pula dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Ini menyebabkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi selain mengambil masa lebih lama untuk pulih.

"Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan,” kata Muhyiddin dalam catatan di laman Facebook pada Ahad.

Sementara itu, Aimi Zulhazmi menambah, koordinasi dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dilakukan bagi menyokong PMKS menembusi pasaran antarabangsa.

"Kita boleh mencontohi GLC dan PMKS di negara-negara maju seperti Jerman dan Korea Selatan yang menerapkan semangat ini dari segi perniagaan selain mengembangkan langkah mereka di persada dunia,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, PMKS adalah sektor yang amat penting dan perlu dilindungi oleh semua pihak.

"Walaupun sumbangannya hanya sekitar 30 peratus ke 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara namun ia merupakan kumpulan ekonomi paling besar menjadi majikan kepada keseluruhan tenaga buruh negara iaitu 60 peratus.

"Ia juga merupakan hampir 90 peratus daripada jumlah syarikat-syarikat berdaftar di Malaysia,” katanya.

Jelas Aimi Zulhazmi, banjir besar melanda Lembah Klang telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan sebahagian besar perniagaan yang terjejas ialah penjaja kecil dan mikro, sektor restoran dan sebagainya.

"Oleh itu, cadangan memberikan moratorium khas kepada kumpulan PMKS adalah sesuatu yang baik bagi membantu meringankan beban golongan tersebut ketika waktu terdesak ketika ini,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca