SHAH ALAM - Rata-rata pengguna pengangkutan awam terutama di sekitar Lembah Klang berharap kerajaan meneruskan inisiatif pemberian pas perjalanan tanpa had My50 atau seumpamanya dalam Bajet 2023 sebagai usaha meringankan beban rakyat.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata pengguna pengangkutan awam terutama di sekitar Lembah Klang berharap kerajaan meneruskan inisiatif pemberian pas perjalanan tanpa had My50 atau seumpamanya dalam Bajet 2023 sebagai usaha meringankan beban rakyat.

Ketika rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini, inisiatif berkenaan dilihat mampu mengurangkan beban sebilangan golongan masyarakat yang menggunakan pengangkutan awam sebagai kenderaan harian.

Malah, ada juga antara mereka yang mahu kerajaan menyalurkan dana secukupnya kepada pengendali pengangkutan awam bagi memudahkan pihak berkenaan menambah baik kemudahan infrastruktur serta perkhidmatan.

Pekerja swasta, Syafikha Mohamad, 35, mengakui pas perjalanan tanpa had My50 memberi penjimatan sehingga RM150 sebulan kepadanya yang merupakan pengguna kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT).

"Saya menetap di Cheras dan setiap hari memang naik LRT untuk ke tempat kerja di Bangsar. Pilihan paling efektif adalah dengan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT.

"Pas My50 beri banyak penjimatan kepada saya kerana kalau ikutkan perbelanjaan sebenar, sehari saya akan keluarkan RM10, sebulan hampir RM200. Jadi saya boleh gunakan RM150 untuk keperluan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Syafikha turut berharap perkhidmatan tren dapat ditambah baik bagi memudahkan pengguna untuk ke destinasi pilihan.

"Kalau hujan pada waktu pagi, perkhidmatan tren selalunya akan ‘sangkut’, kadangkala akan berhenti di stesen yang sesak untuk tunggu gerabak lain ambil penumpang. Situasi ini akan makan masa lama, jadi lambat sampai tempat kerja. Saya harap pihak bertanggungjawab dapat memperbaiki situasi ini,” katanya.

Penjawat awam, Syamsiah Mohamed, 38, berharap, pengendali komuter iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dapat menambah kekerapan tren di laluan utama kawasan Lembah Klang.

"Kalau boleh tambah baik tempoh ketibaan tren, tidaklah terpaksa tunggu sehingga satu jam,” katanya.

Bagi Mohamad Azizi Adnan, 29, hentian bas antara Transit Aliran Bas (BRT), bas henti-henti Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT perlu diperbanyakkan terutama di kawasan Lembah Klang agar lebih ramai pengguna dapat menggunakan perkhidmatan awam itu.

"Hentian bas awam perlu banyak sebab tidak semua lokasi yang bas berhenti ada penumpang. Jadi kemudahan ini tidak sampai kepada pengguna sepatutnya,” katanya.

Peniaga, Haida Abu, 30, berpandangan, kerajaan perlu memperluaskan penggunaan pas perjalanan tanpa had My50 kepada semua jenis pengangkutan awam bagi memastikan setiap golongan yang memerlukan mendapat faedah daripada inisiatif tersebut.

Katanya, rakyat tidak akan memilih menggunakan pengangkutan awam jika perkhidmatan tersebut murah, selamat dan selesa.

"Cuma lebih bagus jika penggunaan pas My50 diperluaskan untuk semua jenis pengangkutan awam yang ada di negara ini termasuk perkhidmatan teksi dan sebagainya di sekitar Lembah Klang.

"Mungkin kerajaan boleh meningkatkan jumlah bayaran, tetapi boleh digunakan di banyak jenis kenderaan awam,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar, Aidil Aqmal Ezani, 20, berharap, kekerapan perkhidmatan bas dapat ditingkatkan terutama laluan dalam bandar dan luar bandar selain penggunaan pas tanpa had diperluas ke luar Lembah Klang.

"Saya harap kerajaan dapat memperluaskan penggunaan pas tanpa had ke luar Lembah Klang khususnya kepada pelajar institut pengajian tinggi, mungkin ke destinasi daerah dalam Selangor pula bagi memudahkan kami ke kuliah.

"Bukan semua pelajar tinggal berhampiran kawasan universiti. Ada yang terpaksa tinggal di luar daerah kerana harga rumah sewa lebih murah. Jadi kami akan pilih pengangkutan awam sebagai alternatif penjimatan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca