ISU pembangunan tanah wakaf sering menimbulkan pelbagai isu dan persoalan. Antara isu yang wujud adalah tanah wakaf terbiar dan tidak dibangunkan dengan baik.
Umum mengetahui bahawa kebanyakan tanah wakaf yang terbiar dan tidak dibangunkan adalah jenis wakaf khusus yang terhad kepada pembangunan masjid, sekolah atau tanah perkuburan, sedangkan dari sudut manfaat berdasarkan lokasi tanah tersebut jauh lebih besar berbanding tujuan wakaf tanah itu dilaksanakan.
Masyarakat Islam di Malaysia mempunyai orientasi pemahaman, persepsi dan sikap yang menganggap bahawa wakaf untuk masjid, kubur serta sekolah agama memberi ganjaran pahala yang lebih daripada mewakafkan tanah untuk tujuan am.
Prinsip asas tentang ganjaran pahala sebenarnya adalah ketetapan oleh ALLAH SWT dan selagi harta yang diwakafkan masih boleh digunakan serta dimanfaatkan oleh masyarakat Islam, selagi itulah pahala wakaf akan terus diterima oleh pewakaf tersebut.
Ia adalah satu kekeliruan yang besar dalam pengertian sebenar maksud wakaf. Masyarakat seharusnya diberikan penerangan lebih jelas dengan skop lebih tepat dan luas.
Pembangunan tanah wakaf secara produktif memerlukan pendekatan strategik dan mampu memberikan pulangan atau faedah yang dapat dinikmati secara berterusan.
Konsep pembangunan tidak boleh dilihat dalam skop kecil seperti penyewaan tanah yang tidak melibatkan pembangunan tanah sepenuhnya tidak dianggap sebagai satu pelaburan yang menguntungkan.
Sebaliknya, tanah-tanah wakaf itu terutama tanah wakaf am harus diusahakan dan dimajukan kepada pembangunan berdasarkan konsep kegunaan tertinggi dan terbaik.
Sebelum ini penulis sempat melawat beberapa tapak pembangunan tanah wakaf yang dikelola oleh sebuah organisasi di Indonesia yang berorientasikan perniagaan dan diuruskan oleh nazir.
Pelaksanaan pengurusan tanah wakaf secara korporat yang diamalkan di sana mampu memberi pulangan lebih daripada nilai tanah wakaf itu sendiri, antaranya sebidang tanah wakaf yang diwakafkan digunakan untuk menjalankan usaha kawasan agropelancongan.
Hasil keuntungan tersebut setelah ditolak kos operasi digunakan untuk tujuan wakaf seperti pembangunan masjid, sekolah, hospital dan klinik dan pengurusan jenazah. Malah, sebahagian hasil keuntungan itu juga ditarik, dilaburkan kepada pelbagai segmen perniagaan yang mampu menjana pulangan lebih baik.
Apa yang dapat dilihat di sini, pihak nazir yang diuruskan secara korporat memberi impak positif dalam pe-ngurusan harta wakaf. Sebahagian besar ulama berpendapat pihak nazir boleh membuat pinjaman, hutang atau liabiliti kewangan bagi memastikan manfaat daripada harta wakaf boleh disalurkan kepada penerima manfaat.
Pelantikan nazir secara korporat yang mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk memajukan serta membangunkan tanah wakaf harus dilaksanakan sebaiknya, sekali gus mampu memaksimumkan potensi tanah tersebut.
Secara ringkas idea itu kelihatan normal, namun agak jarang kedengaran amalan begini dilaksanakan di Malaysia. Sinergi antara pengurusan harta dan pengurusan korporat dalam membangunkan harta tanah wakaf di Malaysia perlu diberi perhatian secara lebih serius.
Sudah banyak kajian yang telah mengemukakan cadangan agar isu tanah wakaf dapat diselesaikan dalam konteks yang besar. Isu-isu teknikal seperti perundangan dan punca kuasa perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.
Juga kesedaran umum masyarakat Islam perlu diubah dalam melaksanakan wakaf tanah agar tidak tertumpu kepada satu tujuan sahaja. Paradigma perlu selari dengan perkembangan ilmu dalam kepakaran orang Islam bagi menguruskan tanah wakaf dengan lebih efisien dan mampu memberi impak secara makro kepada masyarakat Islam secara keseluruhannya.
*Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur UiTM Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca