SHAH ALAM - Misteri penemuan air berwarna merah di dalam longkang yang mengalir ke Sungai Rambai, iaitu satu-satunya sungai tercemar yang berada pada Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan terjawab selepas laporan analisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Misteri penemuan air berwarna merah di dalam longkang yang mengalir ke Sungai Rambai, iaitu satu-satunya sungai tercemar yang berada pada Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan terjawab selepas laporan analisis makmal diperoleh.

Dua minggu tempoh masa diambil untuk menanti keputusan ujian sampel dan sebaik menerima keputusan ujian itu, ternyata lokasi mengalir air berwarna merah dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi manakala di Sungai Rambai berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tanah Merah Site A tidak dapat dikesan berkemungkinan ianya sudah terurai.

Penemuan longkang yang mengalir air berwarna merah

Tahap pencemaran sungai itu juga sangat tinggi di mana koliform najis di dalam sungai adalah sebanyak 6.4 juta colony forming unit (cfu)/100 mililiter (ml) iaitu nilai mengatasi Kelas Lima, Standard Kualiti Air Kebangsaan.

Nilai Bakteria Escherichia Coli (E. Coli) juga menjangkau 1.8 juta cfu/100ml dan langsung tidak sesuai untuk sentuhan manusia kerana nilai bakteria sangat tinggi dan boleh mendatangkan risiko patogenik kepada manusia.

Kehadiran DNA babi membuktikan Sungai Rambai tercemar dengan najis atau darah haiwan berkenaan walaupun ujian berkenaan belum diakreditasi mengikut keperluan ISO 17025 seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Makmal Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhamad Shirwan Abdullah Sani kepada kami.

ADA AKTIVITI PENYEMBELIHAN

Dr Muhamad Shirwan berkata, dengan adanya DNA babi di sungai tersebut juga membuktikan bahawa terdapatnya aktiviti penyembelihan dan pembuangan najis atau darah haiwan itu ke dalam sungai.

"Tidak dinafikan, dengan kehadiran DNA babi di dalam sungai itu, ia membuktikan terdapatnya aktiviti berkaitan babi termasuklah aktiviti penyembelihan.

Muhamad Shirwan

"Sepatutnya segala hasil penyembelihan tersebut perlu dirawat terlebih dahulu supaya jumlah atau kandungan pencemaran itu boleh dikurangkan,” katanya kepada Sinar Premium.

Pada Isnin, akhbar ini melaporkan Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Sejumlah 24 lagi sungai berdasarkan laporan itu berada di Kelas Tiga iaitu sederhana tercemar, merangkumi sungai di tujuh negeri di Pantai Barat Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Selangor/Kuala Lumpur.

Krew Sinar Premium yang turut lokasi di Tanah Merah Site A itu turut menemui longkang mengalir air berwarna merah selain pendedahan penduduk yang mendakwa lokasi di situ menjadi tempat penyembelihan babi secara haram selain turut dikawal oleh sekumpulan individu tertentu.

BAWA KE PIHAK ATASAN

Dalam pada itu Muhamad Shirwan menjelaskan, kehadiran DNA babi yang terdapat di sungai itu bagaimanapun hanya menentukan terdapatnya pencemaran daripada haiwan ternakan di kawasan berkenaan.

Beginilah keadaan Sungai Rambai selepas hujan.

"Namun, kandungan bahan-bahan pencemar lain yang tinggi daripada pelepasan babi atau kandang di situ yang akan menentukan sungai itu tercemar atau tidak,” katanya.

Pun begitu katanya, untuk mengesahkan lagi penemuan DNA babi itu, ujian berkenaan perlu diakreditasi mengikut keperluan ISO 17025.

"Oleh itu, sekiranya perkara ini perlu dibawa kepada pihak atasan, analisis makmal tersebut perlu disahkan (divalidasi) terlebih dahulu,” katanya.

Muhamad Shirwan menambah, biarpun kaedah analisis yang digunakan belum diakreditasi, enam parameter berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat membuktikan sama ada sungai itu tercemar atau tidak.

Sungai Rambai menghuni tangga teratas sungai tercemar di Malaysia apabila berada dalam Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tegasnya, berdasarkan Akta Alam Sekitar, terdapat parameter-parameter lain seperti Keperluan Oksigen Biokimia (BOD5), Ammoniacal Nitrogen (NH3-N), Pepejal Terampai (SS), Keperluan Oksigen Kimia (COD), nilai pH dan Oksigen Terlarut (DO) untuk digunakan sebagai rujukan dan dibandingkan dengan had akta serta peraturan alam sekitar.

"Sekiranya ia lebih daripada had yang ditetapkan, itu telah menunjukkan bahawa sungai tersebut telah tercemar,” katanya.

Muhamad Shirwan menegaskan, sebarang aktiviti penyembelihan haiwan di sepanjang sungai akan menyumbang kepada pencemaran sekiranya ia tidak dirawat sebelum dilepaskan di sungai.

"Ini kerana sebarang aktiviti penyembelihan haiwan akan menyebabkan pencemaran yang menaikkan had atau kandungan BOD, COD, NH3-N, dan lain-lain . Ini yang akan menyebabkan sungai tersebut dikira sebagai sungai yang tercemar,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca