SEJAK beberapa dekad lalu, Pulau Aegean yang memisahkan Turkiye dan Greece telah menjadi punca utama pertelingkahan antara kedua-dua negara tersebut yang berpotensi mengakibatkan perubahan kepada geopolitik sekitar timur Mediterranean jika... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK beberapa dekad lalu, Pulau Aegean yang memisahkan Turkiye dan Greece telah menjadi punca utama pertelingkahan antara kedua-dua negara tersebut yang berpotensi mengakibatkan perubahan kepada geopolitik sekitar timur Mediterranean jika perang tercetus.

Konflik kembali meningkat sejak akhir bulan lalu selepas kedua-dua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tersebut melancarkan perang retorik hingga mencetuskan kebimbangan jika perang baharu mungkin berlaku di tengah-tengah krisis Rusia-Ukraine.

Perbalahan antara Ankara dan Athens bermula selepas Turkiye menuduh Greece ‘mengganggu’ misi tentera mereka yang disifatkan sebagai tindakan bermusuhan yang tidak boleh diterima.

Menurut Kementerian Pertahanan di Ankara, sistem misil antipesawat S-300 buatan Rusia yang ditempatkan di Pulau Crete telah ‘mengunci’ jet pejuang mereka sebagai sasaran selain ‘gangguan’ terhadap pesawat mereka ketika menyertai misi NATO di timur Mediterranean.

Athens bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka dan mendakwa Ankara yang sebenarnya melanggar ruang udara negara itu.

Turkiye dan Greece kemudiannya mengemukakan aduan kepada NATO yang ketika ini berdepan ‘ancaman lebih besar’ dan dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika Moscow memperluaskan kempen ketenteraan mereka.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dengan lantang memberi amaran kepada Greece ketika ulang tahun ke-100 memperingati kekalahan Greece dalam peperangan yang tercetus selama tiga tahun pada 1922.

Erdogan berulang kali menuduh Athens ‘menduduki’ Pulau Aegean walaupun statusnya telah diselesaikan menerusi perjanjian pasca perang.

Erdogan lantang memberi amaran kepada Greece sejak akhir-akhir ini.

"Angkatan tentera kami boleh datang pada bila-bila masa dan lakukan apa yang perlu,” tegasnya menerusi kenyataan provokasi yang mencetuskan kemarahan seteru lama mereka yang berikrar untuk mempertahankan kedaulatan negara tersebut.

Menteri Luar Greece, Nikos Dendias kemudiannya meminta NATO, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengecam kenyataan yang didakwa keterlaluan serta agresif tersebut menerusi surat dikemukakan kepada tiga badan antarabangsa berkenaan.

"Ia adalah satu bentuk penghinaan kepada rakyat dan negara ini,” ujar kandungan surat yang ditandatangani oleh Dendias.

Beberapa penganlisis politik berpendapat Erdogan meningkatkan perang retorik ke atas Athens sebagai cubaan untuk memancing undi menjelang pilihan raya pada tahun depan yang dijangka paling sukar dihadapi beliau setelah memegang kuasa selama dua dekad.

"Jika Greece melangkaui batas, mereka akan berdepan akibat yang buruk,” kata Erdogan merujuk kepada kejatuhan bandar Izmir pada tahun 1922 yang membawa kepada kemusnahan kota itu dan pembunuhan beramai-ramai penduduk etnik Yunani.

JEJAS PERPADUAN NATO

Pertelingkahan terbaharu antara Ankara dan Athens itu berlaku ketika NATO memfokuskan usaha untuk menentang Rusia dan kempen pencerobohan ke atas Ukraine.

Ketika ini, pakar bimbang jika ketegangan tersebut semakin memuncak ke tahap permusuhan yang boleh mencetuskan peperangan yang mungkin menyebabkan Moscow mengambil peluang untuk memecahbelahkan perikatan tentera itu yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

"Keadaan boleh menjadi porak-peranda jika negara lain menggunakan NATO sebagai 'senjata’ untuk menyakiti yang lain. Perpecahan dalam kalangan negara anggota NATO berpotensi dieksploitasi oleh Rusia ketika ketibaan musim sejuk.

"Eropah sudah terkesan apabila Moscow memotong bekalan eksport gas ke blok berkenaan dan ia kini sedang mencari sumber alternatif,” jelas bekas Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS mengenai Dasar Eropah dan NATO, Jim Townsend.

Baru-baru ini, Erdogan turut menuduh negara Barat sengaja memprovokasi Rusia selepas siri sekatan dikenakan mereka akhirnya memakan diri sendiri.

"Ankara berikrar untuk meneruskan dasar yang tidak berat sebelah antara Moscow dan Kiev. Rusia bukanlah sebuah negara yang boleh dipandang remeh.

"Lihat apa yang jadi apabila ia memotong bekalan gas ke Eropah. Tidak semena-mena harga gas melambung tinggi. Semua penduduk di blok itu kini sedang memikirkan bagaimana mereka mahu menghadapi musim sejuk nanti,” katanya lagi.

Persoalannya kini, adakah peperangan antara Turkiye dan Greece boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun Athens cuba memastikan saluran komunikasi sentiasa terbuka untuk menyelesaikan sengketa itu.

Pulau Aegean terus menjadi punca utama pertelingkahan antara Ankara dan Athens.

Beberapa pengkritik politik percaya Erdogan mungkin akan melancarkan perang bukan kerana mahu menuntut Pulau Aegean, sebaliknya sebagai cubaan untuk menangguhkan pilihan raya akan datang yang berpotensi menyebabkan kekalahan besar kepadanya.

"Bagi Erdogan, cetuskan perang baharu dengan Greece adalah pilihan akhir untuk menyelamatkannya,” ujar felo kanan di American Enterprise Institute (AEI), Dr Michael Rubin. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca