NEGARA-NEGARA kuasa dunia lazimnya digambarkan sebagai sebagai negara-negara yang memiliki kekuatan industri pertahanan serta angkatan tentera berkemampuan tinggi. Memiliki senjata nuklear yang merupakan satu kriteria wajib pada suatu masa... Klik di sini untuk terus membaca

NEGARA-NEGARA kuasa dunia lazimnya digambarkan sebagai sebagai negara-negara yang memiliki kekuatan industri pertahanan serta angkatan tentera berkemampuan tinggi.

Memiliki senjata nuklear yang merupakan satu kriteria wajib pada suatu masa dahulu untuk bergelar kuasa dunia, tidak lagi menjadi monopoli negara Barat atau China sahaja.

Negara-negara seperti India, Pakistan dan Korea Utara turut memiliki senjata nuklear, namun kedua-duanya tidak dianggap sebagai kuasa dunia memandangkan kemampuan industri pertahanan yang masih pada tahap asas.

Perang nuklear sebenarnya adalah perkara terakhir dimahukan negara-negara kuasa nuklear, terutamanya di Eropah Barat, Rusia mahupun Amerika Syarikat. Ini kerana sekiranya senjata nuklear diguna pakai, negara-negara maju di Eropah yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi bakal menerima padah amat dahsyat sekali.

Peliknya negara-negara kuasa dunia ini juga adalah pihak paling lantang menyatakan kebimbangan mengenai pelbagai konflik yang berlaku di serata dunia. Ini disuarakan mereka di badan antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Malang bagi negara global yang lain, laungan kedamaian dan jeritan keamanan sejagat oleh kuasa-kuasa besar ini sebenarnya bersifat ‘talam dua muka’ dan polisi atau formula menyelesaikan konflik juga mempunyai sifat ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’.

Hipokrasi mahukan keamanan tetapi menjaja kemusnahan global amat nyata sekiranya kita melihat kepada apa yang dilakukan mereka di pasaran senjata global saban tahun.

Mengikut institut kajian konflik, persenjataan dan kawalan senjata atau SIPRI berpangkalan di Sweden, sejak tahun 2017 hingga 2021, Amerika Syarikat, Rusia dan Perancis menduduki tiga tangga teratas pengeksport sistem persenjataan dunia, manakala China pula di tangga keempat.

Sememangnya memiliki senjata nuklear adalah sesuatu yang memberikan prestij dan kekuatan, namun ia ibarat hanya mampu dijadikan tangkal azimat kerana sifatnya yang bakal memusnahkan bukan sahaja musuh tetapi juga pemiliknya.

PERLUMBAAN CIPTA SENJATA

Oleh kerana sifat senjata nuklear sedemikian, kuasa-kuasa nuklear kini giat mencari aset baharu dianggap pilihan lebih baik, mampu memusnahkan tetapi tidak turut sama musnah jika musuh bertindak balas.

Trend terkini perlumbaan mencipta senjata bukan nuklear tetapi mempunyai sifat kemusnahan strategik ialah pembangunan sistem peluru berpandu hipersonik.

Sistem ini merupakan sistem peluru berpandu pintar yang mempunyai kelajuan amat tinggi sehingga sukar dipintas oleh sistem antiroket atau peluru berpandu yang wujud hari ini.

China dan Rusia adalah dua negara kuasa besar yang secara rasmi mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mencipta dan melancarkan prototaip peluru berpandu hipersonik. Pada 18 Mei tahun ini, China mengumumkan bahawa mereka berjaya menguji prototaip sistem peluru berpandu hipersonik berkelajuan 6,174 km/jam atau lima kali ganda lebih laju daripada kelajuan bunyi.

Ia berkemampuan memusnahkan sebuah kenderaan sedang bergerak. Sistem ini dijangka bakal diperkenalkan pada tahun 2025 sekiranya ia tidak menghadapi apa-apa masalah teknikal.

Dua minggu kemudian, Rusia mengumumkan berjaya melancarkan sistem peluru berpandu hipersoniknya dinamakan Zicron dengan jarak operasinya menjangkau lebih 1000 kilometer. Selain dilancarkan dari platform daratan, ia juga dikatakan telah berjaya dilancar dari kapal selam.

Pada April sebelumnya, Rusia juga telah berjaya melancarkan dua peluru berpandu hipersonik dikenali sebagai Khinzal terhadap dua sasaran di Ukraine. Sistem ini dilancarkan dari platform udara dengan jarak antara 1,500 hingga 2,000 kilometer.

Tidak mahu dilihat sebagai ketinggalan dalam sistem membangunkan sistem persenjataan baharu, Amerika Syarikat pada Julai tahun ini turut mengumumkan telah berjaya melancarkan prototaip peluru berpandu hipersoniknya dekenali sebagai ARRW.. Dibawa dengan pesawat pengebom B-52, peluru berpandu ini mempunyai jarak efektif menjangkau 6,200 kilometer.

Trend yang dipamerkan oleh kuasa-kuasa besar ini selaras dengan agenda mereka untuk terus menghasilkan sistem bukan-nuklear yang mempunyai jarak jauh serta kemusnahan dahsyat yang sebelum ini hanya dimiliki oleh sistem peluru berpandu balistik yang membawa peledak bahan nuklear.

Tentunya konflik-konflik global yang berlaku di serata dunia adalah makmal uji kaji paling sesuai untuk menilai kemampuan hakiki senjata baharu mereka tanpa perlu risau sekiranya ia menghadapi masalah dan memusnahkan sesuatu yang bukan sasarannya.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca