LAPORAN Penilaian Global Mengenai Pengurangan Risiko Bencana oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2019 (GAR) mendapati, antara tahun 1997 dan 2017 sejumlah 88 juta penduduk dunia terkesan dengan bencana alam, dengan 76 juta terjejas akibat... Klik di sini untuk terus membaca

LAPORAN Penilaian Global Mengenai Pengurangan Risiko Bencana oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2019 (GAR) mendapati, antara tahun 1997 dan 2017 sejumlah 88 juta penduduk dunia terkesan dengan bencana alam, dengan 76 juta terjejas akibat banjir.

Di Malaysia, banjir besar 2021-2022 mencatatkan kerugian mencecah RM 6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

Justeru, bencana banjir tidak boleh dipandang enteng kerana impaknya yang ketara.

Terkini, fenomena La Nina menyebabkan rantau di barat Pasifik termasuk Malaysia menjadi lebih lembap, seterusnya taburan hujan boleh menjadi lebih tinggi berbanding kebiasaan yang berpotensi menyebabkan banjir. Pemanasan global memperkukuhkan kesan fenomena La Nina dengan peningkatan jumlah kelembapan di udara akibat peningkatan suhu dunia, menjadikan faktor perubahan iklim boleh menyumbang dan menjadikan keragaman cuaca meningkat.

Kajian di Kuala Lumpur membuktikan kekerapan dan intensiti hujan ekstrem meningkat 30 peratus sejak 30 tahun lalu berkemungkinan besar disebabkan pemanasan global yang bukan sahaja meningkatkan haba, tetapi kelembapan diperlukan untuk pembentukan perolakan dan ribut petir yang menyumbang kepada peningkatan banjir kilat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung. Perkara perlu dibimbangkan ialah jika berlaku luruan monsun atau kemunculan sistem tekanan rendah, ia akan menyebabkan hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF) ini memberi ketepatan cuaca hingga 85 peratus bagi penghasilan ramalan tiga hari sebelum kejadian dan 60 hingga 70 peratus bagi ramalan empat hingga tujuh hari awal. MetMalaysia turut menggunakan analisis model luar negara seperti Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMWF), Sistem Ramalan Global (GFS) dan Model Bersepadu Pejabat Meteorologi United Kingdom (UM) bagi meramal cuaca.

PENYELENGGARAAN INFRASTRUKTUR

Ini menjadikan MetMalaysia sebagai agensi utama berperanan membekalkan maklumat ramalan cuaca dan menyebarkan amaran cuaca kepada orang awam terutama melalui siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), laman web, media sosial dan media massa.

Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) di bawah kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang kini telah pun beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga perlu dirujuk bagi meramal dan mengeluarkan amaran banjir untuk membantu pasukan penyelamat dan orang ramai bersiap menghadapi banjir.

Namun, kejadian banjir khususnya banjir kilat sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.

Justeru, kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala perlu dilakukan sebagai kesiapsiagaan awal dalam memastikan ia berfungsi dengan baik.

Ini termasuk ban dan tebing sungai yang sememangnya harus dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta-merta dilaksanakan apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh.

Orang ramai juga perlu bekerjasama untuk tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang.

Paling utama, penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan berwaspada dan sentiasa peka di samping bersiap sedia menghadapi bencana banjir.

Mereka perlu mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi atau media sosial rasmi jabatan. Aplikasi myCuaca misalnya dapat membantu masyarakat memperoleh maklumat-maklumat berkaitan cuaca, gempa bumi dan amaran-amaran cuaca buruk serta amaran kemungkinan ancaman kejadian tsunami di kawasan negara.

Satu lagi aplikasi mudah alih yang boleh dirujuk bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat berguna adalah RakanMET. Ia adalah medium interaksi dua hala antara MetMalaysia dengan orang awam, sekali gus membantu mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada kerajaan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca