PAKAR kualiti air menilai Sungai Rambai sebagai sungai paling tercemar di Malaysia kerana tahap bakteria dan ammonia yang sangat tinggi sehingga boleh menjejaskan kehidupan akuatik serta mendatangkan risiko patogenik kepada manusia.
Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air, Ir Dr Zaki Zainudin berkata, keputusan dua sampel air sungai yang dihantar Sinar Premium kepada makmal ALS (Australian Laboratory Services) Technichem Malaysia menunjukkan sampel air Sungai Rambai mengandungi bakteria dan ammonia melepasi Kelas lima, Standard Kualiti Air Kebangsaan.
"Nilai bakteria di Sungai Rambai menjangkau berjuta-juta dan pada kebiasaannya menunjukkan ia adalah pencemaran berpunca daripada najis, sama ada najis manusia atau haiwan.
"Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan nilai keperluan oksigen biokimia (BOD) dan ammonia yang menjangkau Kelas Lima Standard Kualiti Air Kebangsaan,” katanya kepada Sinar Premium.
Dr Zaki menambah, apabila nilai bakteria terlalu tinggi dan jauh daripada nilai disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), air sungai itu tidak sesuai untuk sentuhan kulit manusia serta boleh memberi risiko kesihatan kepada penduduk setempat.
"Bagi sentuhan sekunder untuk air tawar, koliform najis yang disyorkan KKM adalah 1,000 colony forming unit (cfu) /100ml. Namun, daripada keputusan makmal ini, koliform najis di dalam sungai adalah 6.4 juta cfu/100ml iaitu jauh lebih tinggi daripada nilai disyorkan KKM. Nilai Bakteria Escherichia Coli (E. Coli) juga menjangkau 1.8 juta cfu/100ml.
"Oleh itu, air ini langsung tidak sesuai untuk sentuhan kerana nilai bakteria sangat tinggi dan boleh mendatangkan risiko patogenik kepada manusia,” katanya.
Dr Zaki berkata, nilai ammonia yang tinggi juga akan memberi kesan kepada hidupan akuatik di dalam sungai tersebut.
"Ammonia adalah toksik terhadap banyak ikan dan hidupan akuatik. Jika nilai ammonia mencecah Kelas Lima, selalunya ikan yang betul-betul kuat sahaja boleh hidup di sungai tersebut seperti ikan keli,” katanya.
Jelas Dr Zaki, faktor menyumbang kepada pencemaran sungai tersebut adalah najis kerana nilai ditunjukkan oleh sampel air sungai itu sangat tinggi seolah-olah air Sungai Rambai menerima sisa kumbahan tidak terawat.
"Nilai koliform najis daripada air kumbahan biasanya melebihi 500,000 cfu per 100 mililiter (ml). Sekiranya nilai koliform najis mencecah jutaan seperti di Sungai Rambai, ia adalah nilai yang membimbangkan.
"Kemungkinan punca pencemaran sungai berkenaan daripada najis, namun dari mana najis itu datang masih jadi tanda tanya. Sisa kumbahan yang sudah terawat atau separuh terawat biasanya lebih rendah nilainya daripada keputusan yang diperoleh,” katanya.
KELEMAHAN PENGUATKUASAAN
Dr Zaki turut serta meninjau lokasi Sungai Rambai baru-baru ini selepas meneliti laporan ujian makmal diberikan Sinar Premium yang disifatkannya amat tercemar.
Di lokasi, Dr Zaki melakukan ujian kandungan oksigen dan mendapati ia semakin ber-kurangan, menghampiri lokasi mengalirnya air yang berwarna merah.
Dalam pada itu, katanya, tindakan dan penguatkuasaan yang boleh dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa kumbahan ke dalam sungai adalah bergantung kepada perundangan kawalan punca pencemaran di negeri yang berbeza.
"Pertama sekali, kita harus pastikan dari mana datangnya punca pencemaran sungai itu. Di Malaysia, dari segi perundangan kawalan punca pencemaran, ia melibatkan pelbagai agensi dan setiap agensi mempunyai bidang kuasa berlainan berdasarkan punca pencemaran.
"Dari segi pelepasan punca, JAS amat jelas dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bahawa mereka mengawal lima punca pencemaran iaitu punca industri, kumbahan, tapak pelupusan sampah, industri getah dan industri sawit,” katanya.
Namun, Dr Zaki berkata, antara kelemahan perundangan alam sekitar di Malaysia adalah jika pencemaran bukan berpunca daripada salah satu kategori di atas, bidang kuasa pengawalan sisa penternakan masih menjadi tanda tanya sehingga kini.
"Sekiranya ia di Selangor, kita mempunyai enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 untuk mengawal punca sedemikian.
"Namun, negeri lain masih menjadi ‘grey area’ dan tiada enakmen khusus yang mengawal sisa penternakan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca