SHAH ALAM - Kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu memainkan peranan proaktif dalam menyelesaikan isu pencemaran Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan yang memegang status sungai tercemar Kelas Lima di Malaysia selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2019 dan 2020.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean menegaskan, agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan dan juga pentadbiran negeri sendiri harus segera bertindak.
"Sungai Rambai ini bukanlah sepanjang Sungai Rejang di Sarawak sehingga menyukarkan kita mencari punca pencemarannya. Puncanya boleh dengan mudah kita cari.
"Siapa ada kuasa untuk mencari punca pencemaran tersebut dan menyelesaikannya? Ada beberapa agensi kerajaan yang boleh berbuat demikian antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran dan pihak berkuasa tempatan selain kerajaan negeri sendiri,” ujar Damien kepada Sinar Premium pada Isnin.
Ujar Damien lagi, Jabatan Veterinar juga wajar tampil menangani isu pencemaran teruk di Sungai Rambai jika benar wujud ladang ternakan babi dan aktiviti penyembelihan babi secara haram di kawasan terbabit di mana sisa air kotor dan kumbahan dilepaskan terus ke dalam sungai tanpa melalui proses yang betul.
"Sungai Rambai dan penduduk sekitarnya menderita akibat ketidakcekapan agensi-agensi ini,” kata Damien.
TANGAN GHAIB?
Ditanya sama ada wujud tangan ghaib yang mungkin melindungi aktiviti menjurus kepada pencemaran teruk di Sungai Rambai, Damien menimbulkan satu persoalan.
"Siapa yang boleh membenarkan sisa kumbahan dari ladang babi dilepaskan tanpa diproses ke dalam sungai? Siapa dia? Susah sangatkah mahu mencarinya atau memang tidak berminat untuk mencari siapa dalangnya?
"Kalau jawapannya tidak berminat untuk mencari, kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab dalam agensi penguatkuasaan yang terlibat rasuah.
"Peka mahu mengajukan soalan ini terus kepada kementerian yang bertanggungjawab, mengapa nasib Sungai Rambai tidak mendapat pembelaan sepatutnya?
"Turun padang dan lakukan pemeriksaan. Gunakanlah peluang ini untuk memperbaiki keadaan Sungai Rambai.
"Jika terus dibiarkan, tidak mustahil semakin banyak spesies akuatik akan terancam, dan kemungkinan aliran Sungai Rambai boleh bercampur dengan sungai-sungai lain yang berhampiran.
"Negeri Sembilan bangga dengan keindahan pantai Port Dickson, namun sungainya tidak terjaga atau mungkin juga sengaja tidak dijaga?” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca