SHAH ALAM - Bencana melibatkan haiwan ternakan khinzir di Negeri Sembilan bukanlah satu kejadian yang asing di negeri itu. Pada tahun 1999, sekitar 9.7 kilometer atau 10 minit perjalanan dari Sungai Rambai di Kampung Baru Site A, Tanah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bencana melibatkan haiwan ternakan khinzir di Negeri Sembilan bukanlah satu kejadian yang asing di negeri itu.

Pada tahun 1999, sekitar 9.7 kilometer atau 10 minit perjalanan dari Sungai Rambai di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson, terakam dalam lipatan sejarah negara tragedi meragut nyawa manusia angkara babi yang diternak di Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelanduk.

Virus itu diberi nama virus Nipah sempena penemuan virus baharu yang di kesan di Kampung Sungai Nipah.

Tragedi itu menjadi sejarah hitam negara membabitkan aktiviti penternakan babi yang menyaksikan 105 kematian manusia dengan sejuta ekor babi terpaksa dilupuskan.

Bahananya dirasai sehingga ke Singapura apabila 11 kes termasuk satu kematian berlaku dalam kalangan pekerja sembelihan yang terdedah kepada babi yang diimport dari ladang Malaysia.

Penyebaran virus Nipah daripada kelawar kepada babi dipercayai berlaku akibat peningkatan pertindanan antara kawasan habitat kelawar dengan kawasan ternakan babi di Semenanjung.

Tidak hanya di situ, Kampung Baru Site A juga digemparkan dengan kes pertama virus demam babi Afrika (ASF) pada April lalu.

Dua kes positif itu disahkan telah menjangkiti babi di sebuah ladang yang tidak berlesen dan dipercayai dibawa dari Perak. Susulan itu, sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti ASF telah segera dilupuskan.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, penyakit ASF berpunca daripada virus famili Asfaviridae iaitu penyakit demam berdarah akut yang menyerang babi ternakan serta babi liar.

Ia berupaya menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari pada babi yang dijangkiti.

Walaupun kedengaran agak menggerunkan, penyakit ini tidak berbahaya kepada manusia kerana ia tidak bersifat zoonotik. Penyakit itu tidak menular daripada haiwan kepada manusia.

Namun, kemasukan penyakit ASF ke Malaysia akan memberi kesan negatif terhadap industri babi negara yang menyumbang 13 peratus daripada keseluruhan nilai industri penternakan di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM5 bilion. Penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) porsin atau babi pada satu sampel air Sungai Rambai, ditambah dengan tahap pencemaran tertinggi di sungai itu memberi gambaran awal bahawa lokasi di Kampung Baru Site A kini ibarat bom jangka yang pada bila-bila masa boleh mencetuskan gelombang baharu virus yang mungkin meragut nyawa manusia.

Jika tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti kejadian virus Nipah, pihak berkuasa perlu bertindak segera memandangkan penduduk di kawasan itu memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa terdapat aktiviti penyembelihan haram 1,000 ekor babi sehari dan sisa sembelihan termasuk darah haiwan itu dibuang ke dalam sungai, menjadikan sungai itu semakin kotor, berwarna hitam serta berbau busuk.

Klik di sini untuk terus membaca