Umpama orang mengantuk disorong bantal, begitulah kegembiraan kru Sinar Premium apabila berpeluang menemuramah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk segmen Profil Ternama kali ini.
Pertemuan di Kompleks Pejabat Nasional Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia di Kuala Lumpur, menjadi saksi betapa Tunku Puteri Intan Safinaz persis almarhum ayahandanya yang dikenali sebagai raja berjiwa rakyat.
Hampir satu jam bersama, dapat disimpulkan Tunku Puteri Intan Safinaz seorang 'people person 'yang mengamalkan prinsip memberi balik kepada rakyat menerusi kerja-kerja amal dan sukarelawan.
AKTIF SEJAK MUDA
Pasti ramai menyangka fungsi puteri raja hanya duduk di istana, namun persepsi itu sudah lapuk dan Tunku Puteri Intan Safinaz telah membuktikan dirinya aktif dalam bidang kemasyarakatan sejak muda.
Sebagai kerabat Diraja Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz mula menjinakkan diri dalam kerja sosial di peringkat negeri dengan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) untuk menaikkan taraf sosial aktiviti kemasyarakatan di sana.
Memilih Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) sebagai platform utama, Tunku Puteri Intan Safinaz mencurahkan khidmat bakti selama 25 tahun.
Beliau mengakui amat tertarik dengan badan bertaraf global itu kerana mempunyai rangkaian antarabangsa terbesar di dunia.
"Asalnya, sebagai anak Kedah, saya ingin memberi sumbangan kepada rakyat di negeri itu kerana banyak kawasan yang memerlukan sokongan di sana. Namun, penglibatan saya di tahap antarabangsa menjadi satu perjalanan hidup dalam aktiviti kemanusiaan.
"Saya mula berkecimpung dengan BSMM di Kedah sebagai Pengerusi.
"Saya telah berkhidmat dengan BSMM selama 25 tahun kerana ia sebuah badan kemanusiaan terbesar di dunia dengan rangkaian di 192 negara,” katanya.
Sebagai badan yang wujud sebelum merdeka, BSMM mengambil pelbagai langkah membantu Malaysia menghadapi pandemik serta meningkatkan aktiviti kemasyarakatan.
"Bermula tahun 2021 BSMM mengadakan program vaksinasi dari rumah ke rumah kepada golongan paling terkesan seperti mereka yang terlantar, gelandangan, pekerja asing dan kawasan pedalaman di kampung Orang Asli yang tidak mampu ke pusat pemberian vaksin.
"BSMM tidak bertanya tentang status seseorang tetapi melihat kepada masyarakat yang duduk di Malaysia.
"Kira-kira 65,000 orang telah menerima vaksinasi melalui program tersebut.
"Kami (BSMM) juga meneruskan aktiviti pemberian vaksinasi kerana kerajaan Australia melalui palang merah negara itu turut membantu menyalurkan sejumlah RM5 juta untuk vaksin.
"Baru-baru ini, BSMM melancarkan Tabung Bencana Pakistan selepas negara berkenaan dilanda banjir dahsyat sehingga menjejaskan lebih 33 juta orang,” katanya.
Untuk rekod, Tunku Puteri Intan Safinaz melakar sejarah apabila dipilih sebagai wanita pertama menerajui BSMM sebagai Pengerusi Kebangsaan BSMM menggantikan Tunku Shahriman Tunku Sulaiman.
Lebih membanggakan, beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pentadbiran Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Pertubuhan (IFRC), sekali gus merupakan salah seorang daripada lima wakil Asia yang dipilih bagi jawatan tersebut pada Perhimpunan Agung IFRC Ke-23 di Geneva, Switzerland.
"Tentunya semasa dipilih dan diundi oleh ahli-ahli, saya berasa bangga sebagai mewakili kaum wanita.
"Apatah lagi, menjadi wanita pertama menerajui badan yang sudah lama berada di Malaysia, selama 73 tahun.
"Saya rasa masanya telah tiba untuk lebih ramai kaum wanita menjadi pemimpin dalam persatuan bukan sahaja di agensi kerajaan, malah sebagai pemimpin kemasyarakatan.
"Saya juga bangga apabila adanya kesaksamaan jantina di antara perwakilan lelaki dan wanita buat pertama kalinya selepas IRFC ditubuhkan. Ini satu kebanggaan untuk kita semua," katanya.
KEDAH, TANAH TUMPAH DARAHKU
Sejarah telah melakarkah Kedah sebagai antara negeri terawal menerima Islam di Tanah Melayu dan gelaran Darul Aman dipakai sejak pengIslaman Sultan Mudzaffar Shah pada 1136 Masihi.
Ketika bertanya pada Tunku Puteri Intan Safinaz yang mewarisi darah negeri itu, beliau mengatakan Kedah merupakan tempat yang adanya ketenangan.
"Dari dulu Kedah dikenali sebagai a board of peace. Itu gambaran tepat dan satu perkataan yang terus terlintas di minda saya jika sebut tentang negeri Kedah,” katanya.
Pastinya ramai ingin mengenali 'tuan puteri' dari Istana Anak Bukit ini dengan lebih mendalam dan dengan teknologi terkini serta peralihan zaman, Tunku Puteri Intan Safinaz membuat keputusan untuk berinteraksi dengan rakyat melalui platform media sosialnya, Instagram.
Dilahirkan dalam keluarga diraja, pastinya gerak-geri seorang puteri akan diawasi dan beliau turut mengakui, membuka akaun media sosial bukanlah perkara mudah bagi dirinya yang mementingkan privasi.
Beliau sering tertanya-tanya keperluan untuk membuat akaun media sosial kerana 'segan' akan orang ramai melihat aktiviti kehidupannya. Namun setelah berfikir panjang, ada kebaikan juga yang boleh dikongsi.
"Ramai bertanya apa yang saya lakukan di Alor Setar, Kedah dan mengapa tidak duduk di bandar seperti Kuala Lumpur?
"Masyarakat berpersepsi hanya Kuala Lumpur tempat yang mana semua orang perlu berkumpul, walhal mereka tidak tahu banyak kelebihan negeri di luar bandar.
"Saya lahir di Kedah dan keluarga saya turut berada di sini.
"Untuk berpindah ke Kuala Lumpur sepenuh masa agak susah kerana saya juga sibuk melakukan kerja-kerja kebajikan di bawah YSB Kedah.
"Hatta, mungkin akaun media sosial saya boleh menjadi gambaran kehidupan saya di Alor Setar dan kenapa memilih untuk duduk di sana.
"Saya mahu masyarakat tahu diri ini bukan sekadar puteri yang hanya duduk di istana, namun aktif dalam program kemasyarakatan. Itu sebab saya aktif di media sosial dan bukan untuk meraih pengikut atau populariti,” kata beliau.
Jika kita amati akaun media sosial Tunku Puteri Intan Safinaz, selain gambar aktiviti kemasyarakatan yang disertai, dirinya juga gemar berkongsi gambar haiwan peliharaan.
Antara yang menarik minat ramai adalah seekor kura-kura besar yang diberi nama ‘Gucci’ kerana corak tempurungnya yang unik.
"Sejujurnya, saya tidak minat dengan haiwan semasa kecil, namun semakin membesar, saya tertarik dengan kucing.
"Saya juga menjaga kucing almarhum yang masih hidup serta sihat sehingga kini.
"Saya ada lapan ekor kucing dan seekor burung kakak tua,” katanya.
AYAHANDA SENTIASA TENANG
Sebagai anak, Tunku Puteri Intan Safinaz antara insan paling dekat yang dapat melihat bagaimana perjalanan hidup Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai ayahanda, Sultan Kedah dan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.
"Menjadi Sultan Kedah selama 59 tahun, kemudian Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, ia bukan satu tanggungjawab yang mudah.
"Kali pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1970 misalnya, cabarannya lain. Negara baharu lepas berdepan peristiwa 13 Mei 1969 dan almarhum berdepan situasi penstrukturan semula kerajaan selepas MAGERAN, bukan mudah waktu itu.Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein perlu menstabilkan semula negara.
"Namun sebagai seorang yang dididik dengan prinsip pentadbiran negeri di Universiti Oxford, almarhum mempunyai ilmu dan kefahaman bagaimana menjadi seorang pemimpin dan Raja Perlembagaan,” ujar Tunku Puteri Intan Safinaz.
Katanya, almarhum sentiasa pamer ketenangan dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
"Sebagai anakanda, tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi melihat dari luar. Almarhum bukan seorang yang banyak bertitah, sebaliknya berfikir tentang situasi negeri dan negara, mencari solusi masalah serta adil dalam setiap perkara,” akuinya.
Menariknya, Tunku Puteri Intan Safinaz mengungkap keistimewaan ayahandanya yang menurut jejak sultan Kedah terdahulu dengan menggunakan tulisan jawi apabila berurusan (menulis nota) kepada ahli kerajaan dan Exco Kedah.
"Apabila pegawai yang sudah berusia telah pencen dan tiada pegawai muda yang boleh membalas dengan tulisan jawi barulah almarhum menggunakan tulisan rumi,” ujarnya.
TIGA PESAN JADI PEGANGAN
Ditanya pula bagaimana kedua ayah bonda tercinta mempengaruhi kehidupannya, jawab Tunku Puteri Intan Safinaz, ada tiga pesanan yang tersimpan rapi dalam kotak ingatan.
"Jangan menjadi beban kepada orang lain, jalankan segala tugas yang diamanahkan dengan ikhlas hati dan bersungguh-sungguh serta hormat kepada orang lain.
"Saya belajar menerusi pengalaman dan pengamatan, bagaimana kedua-duanya amat mementingkan dan mengambil berat terhadap isu kebajikan rakyat dan selalu hadir ke acara badan-badan perkhidmatan sukarelawan yang menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beralih kepada momen paling diingati sepanjang bersama kedua Almarhum ayahanda dan bonda, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, selain ketika menunaikan ibadah haji, pengalaman paling bermakna adalah apabila berpeluang mengikuti lawatan ayahandanya selaku Yang di-Pertuan Agong ke luar negara.
"Daripada lawatan-lawatan tersebut, saya belajar tentang pentingnya nilai diplomasi untuk memastikan satu-satu acara berjalan lancar. Nilai-nilai diplomasi itu juga saya terapkan dalam BSMM dan juga urusan pentadbiran pelbagai NGO yang saya sertai.
"Kita perlu menghargai pendapat, menghormati mereka sebagai tanda penghargaan atas kerja-kerja yang dilakukan secara sukarela,” ujar Tunku Puteri Intan Safinaz.
TIGA PERKARA YANG ORANG TIDAK TAHU TENTANG TUNKU PUTERI INTAN SAFINAZ
Mengakhiri temu ramah, kami cuba mencungkil perkara menarik tentang diri Tunku Puteri Intan Safinaz yang mungkin orang ramai tidak tahu dan ternyata jawapannya sangat menarik.
Siapa sangka cita-cita sewaktu kecil, Tunku Puteri Intan Safinaz rupanya-rupanya adalah menjadi seorang pegawai tadbir diplomat.
"Teringin jadi diplomat kerana sejak kecil, saya memang seorang people person dan suka bergaul tanpa mengira lapisan umur tetapi kemudian, saya masuk bidang korporat sebelum ke bidang kemasyarakatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain meluangkan masa bersama keluarga tercinta sekiranya pulang ke Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz juga gemar melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti berbasikal, aktiviti pantai dan laut serta hiking sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Diminta berkongsi tiga perkara menarik tentang dirinya, Tunku Puteri Intan Safinaz pantas bercerita tentang minatnya terhadap muzik.
"Saya sedang belajar bermain ukelele menerusi YouTube, belum begitu mahir,” selorohnya.
Tunku Puteri Intan Safinaz juga mengakui, dirinya kadang-kadang agak tegas atau bak kata orang Kedah, ‘cengey’.
"Saya orang yang berpegang kepada prinsip, jadi sekiranya satu pentadbiran itu tidak betul, selalunya pentadbiran NGO, saya akan bersikap tegas,” ujarnya.
Ketiganya, Tunku Puteri Intan Safinaz menzahirkan hasrat menulis buku tentang nasihat dan kehidupan, satu hari nanti.
"Mungkin ada nilainya jika saya menulis tentang pengalaman, kehidupan saya di BSMM dan YSB untuk generasi akan datang,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca