SHAH ALAM - Biarpun Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai ekosistem semula jadi yang indah, negara ini tidak terkecuali mempunyai sungai-sungai yang kotor dan memberi kesan jangka panjang yang kronik kepada pencemaran sungai seperti bahan pencemar yang akan mendap di dalam sedimen.
Sedimen ialah bahan seperti lumpur, pasir, kelikir dan sebagainya yang dibawa dan ditinggalkan oleh air, angin atau ais di permukaan tanah, endapan.
Pakar Pencemaran Alam Sekitar, Felo Akademi Profesor Malaysia, Kluster Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Prof Dr Mohamad Pauzi Zakaria berkata, apabila sedimen dan mendapan diganggu, bahan pencemar akan dimobilisasikan oleh air banjir, aktiviti manusia serta hidupan air.
"Untuk kelangsungan hidup, flora dan fauna memerlukan kualiti air sungai yang bebas daripada bahan pencemar serta air yang mengandungi oksigen terlarut yang tinggi. Selain itu kehidupan akuatik memerlukan ekosistem yang bebas dari bahan pencemar organik dan bukan organik,” katanya kepada Sinar Premium.
Ujarnya, punca pencemaran sungai di Malaysia terbahagi kepada dua jenis iaitu punca titik dan punca tidak bertitik.
"Punca titik adalah pencemaran yang boleh dikenal pasti seperti pembuangan air sisa dari kilang. Efluen (sisa buangan cecair) dari setiap kilang boleh dipastikan jika sampel air diambil pada paip sisa efluen sebelum dilepaskan ke aliran sungai.
"Punca tidak bertitik adalah pencemaran yang tidak boleh dikenalpasti seperti air aliran dari pasar basah, sampah tempat pembuangan haram dan pembasuhan kenderaan, pertanian dan sisa domestik,” katanya.
Jelas beliau, mengenal pasti punca pencemaran tidak bertitik adalah rumit kerana bahan pencemar telah bercampur dengan multiple difffuse sources (pelbagai sumber serapan) bersama air di dalam sungai.
"Punca tidak bertitik adalah punca pencemaran terbesar di Malaysia kerana setakat ini tidak ada pengawasan bagi kategori ini. Air aliran bandar perlu dikumpulkan dalam kolam rawatan agar tidak dialirkan terus ke dalam sungai.
"Efluen dari pasar basah perlu dikumpulkan dan dirawat sebelum dilepaskan ke dalam sungai. Begitu juga sisa minyak hitam dari bengkel motor perlu dikawal selia dengan rapi agar sisa tersebut tidak mengalir ke dalam sungai,” katanya.
Mohamad Pauzi yang juga Ahli Bersekutu, Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Universiti Malaya berkata, musibah banjir juga boleh menyebabkan air sungai semakin tercemar.
"Bahan-bahan pencemar termasuk antibiotik yang berpunca dari tapak pemeliharaan ayam, air resapan dari tapak pelupusan sampah, minyak hitam terpakai dari bengkel dan racun perosak.
"Air banjir juga boleh menyebabkan bahan pencemar yang tersimpan di dasar sungai terhakis dan tersebar ke kawasan hilir sungai dan seterusnya ke estuari dan laut,” katanya.
Beliau berpandangan kesungguhan politik adalah satu sikap yang sangat diperlukan di Malaysia sama ada dari segi pengawalan, bajet pemuliharaan alam sekitar dan fokus kepada keberkesanan undang-undang serta akta berkait dengan alam sekitar.
"Program membersihkan sungai secara holistik boleh dilakukan dan ia hendaklah datang dari inisiatif kerajaan pusat, negeri dan tempatan serta badan bukan kerajaan (NGO).