Kemangkatan Ratu Elizabeth II menjadi antara berita utama sama ada di media elektronik mahu pun media sosial. Mendiang satu-satunya pemimpin wanita paling lama di dunia menemui ajalnya pada usia 96 tahun. Sebagai insan, kita turut berduka.... Klik di sini untuk terus membaca

Kemangkatan Ratu Elizabeth II menjadi antara berita utama sama ada di media elektronik mahu pun media sosial. Mendiang satu-satunya pemimpin wanita paling lama di dunia menemui ajalnya pada usia 96 tahun. Sebagai insan, kita turut berduka.

Namun, sebagai pemimpin negara Britain dan ketua bagi negara-negara Komanwel, ramai warga dari India, Pakistan, New Zealand, Afrika Selatan, Malaysia serta 52 lagi warga negara-negara Komanwel mengingati mendiang sebagai seorang ketua penakluk dan perampas hasil mahsul serta kedaulatan negara dijajahnya.

Pandangan negatif terhadap Ratu Elizabeth II dikongsi melalui banyak bukti bergambar, tulisan dan video yang tular. Justeru, kita terima pemergian beliau seadanya tetapi tidak perlu hingga meratapi.

Jika tiada maklumat dan fakta yang dibongkar itu, sebahagian besar dalam kalangan kita akan berduka serta memuji-muji mendiang sebagai pemimpin negara ‘yang memberi kita kemerdekaan'.

Persoalannya sekarang, sudah sebegitu lama kita menganut kepercayaan bahawa British adalah ‘penjajah yang baik’ berbanding penjajah Portugis dan Belanda. Pemimpin kita pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan kita diberi kembali kedaulatan yang telah dirampas itu.

Begitu aman damai lagi harmoni kita menuntut kemerdekaan sehinggakan kita pandang segala-galanya molek. Dan kita melihatnya sebagai takdir tanpa berasa curiga dengan penjajah. Malah, kita dididik untuk menghormati pula penjajah secara berlebih-lebihan.

GILA EPL

Suatu ketika dahulu, ramai anak Malaysia memilih London sebagai tempat menyambung pelajaran. Ramai juga berimpian bercuti sambil beri makan merpati di Trafalgar Square.

Graduan Oxford dan Cambridge dianggap graduan hebat, padahal universiti itu yang kekal hebat kerana prestasi hingga ratusan tahun, sedangkan graduan yang lahir dari universiti hebat belum tentu hebat sehingga dia menunjukkan kehebatannya di universiti kehidupan pula.

Malah, hari ini English Premier League (EPL) menjadi liga luar negara pilihan, bukan Laliga Sepanyol atau Campeonato Brasileiro Brazil. Tidak mengapalah kita berminat dengan EPL berbanding liga bola sepak negara-negara lain.

Tetapi yang hendak dinyatakan adalah betapa pak cik-pak cik dan abang-abang kitalah yang menyukai EPL hinggakan kita terikut menjadikan liga English itu sebagai liga kegemaran.

Kita ada kelab-kelab peminat bola sepak seperti kelab penyokong Manchester United dan Arsenal tetapi tidak ramai ahli kelab penyokong pasukan Juventus, Itali atau Bayern Munich, Jerman. Padahal, kelab-kelab itu tidak kurang hebatnya. Inilah pengaruh dan pilihan generasi awal yang dipindahkan kepada generasi seterusnya.

Sejarah tidak berubah tetapi sudut pandang terhadapnya boleh beranjak sekiranya kita memperoleh maklumat baharu mengenainya. Begitu juga dalam banyak hal, pandangan kita terhadap sesuatu itu akan berubah kerana kemodenan.

MANUSIA KAYA

Sementelah kita telah merdeka selama 65 tahun, barangkali mungkin satu generasi (30 tahun) lagi kita akan dapat melupakan feel great pada British sebagai sebuah negara yang pernah menjadi ‘tuan’ kita.

Yang pasti, generasi hari ini mempunyai pandangan hebat terhadap individu dan bukan lagi negara. Maknanya, manusia seperti Elon Musk, Bill Gates dan Mark Zuckerberg akan lebih dikenali. Mereka dikenali sebagai manusia bisnes yang kaya.

Generasi akan datang tidak dapat menghormati tokoh dari segi kepimpinan sama ada pemimpin negara, pemikir atau lain-lain bidang kepakaran. Tiada nama individu hebat yang diperkatakan, selain daripada golongan bisnes. Kalau ada pun, mereka dalam kalangan selebriti sahaja yang diminati.

Tiada lagi imej negara hebat seperti The American Dream, The Great Britain atau Land of The Rising Sun bagi negara Jepun. Tiada negara yang akan dilihat hebat. Maknanya, generasi akan datang tiada rujukan untuk melihat kehebatan di depan mata kerana dunia akan ketandusan dari segi kehebatan negara mahupun ketokohan manusia.

Mereka hanya dapat inspirasi melalui kehebatan tokoh-tokoh dan keagungan empayar dalam sejarah. Sejarah adalah cerita semalam yang tidak lagi terbentang di depan mata. Soalnya, berapa ramai kini mampu melihat guna mata hati?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca