Dalam bukunya The Wisdom of Crowds, James Surowiecki (1967) melontarkan pendapat bahawa keputusan dibuat oleh ramai orang walaupun mereka bukannya terdiri daripada orang pintar, masih lebih baik jika dibandingkan dengan keputusan dihasilkan oleh beberapa orang pintar.
Itu kalau beberapa orang. Jika yang buat keputusan hanya seorang yang pintar, sudah tentulah hasilnya lebih teruk. Apatah lagi, jika dia hanya perasan pintar.
Pendapat Surowiecki itu sesungguhnya selari dengan apa dinyatakan oleh Gustave le Bon dalam The Crowd: A Study of Popular Mind (1895) yang disifatkan sebagai pelopor dalam bidang crowd psychology.
Dalam buku itu, le Bon mengatakan seseorang itu tidak dapat melakukan hal yang luar biasa secara bersendirian dan kerana itu dia perlu bekerja bersama dalam organisasi untuk membentuk suatu fikiran yang kolektif. Dengan bahasa mudahnya, seseorang itu akan menjadi lebih baik jika dia melakukan sesuatu dalam kumpulan yang ramai.
Pada masa dahulu, apa-apa juga yang melibatkan kumpulan orang ramai sudah tentu memerlukan kehadiran fizikal. Anda tidak melaung dari pondok durian sebesar tandas awam memberitahu jiran yang anda sedang sibuk melayan ramai orang. Tidak siapa akan percaya melainkan anda jenis orang yang membela jin, hantu dan sebagainya.
Kumpulan orang ramai (crowd) selalunya dibentuk hasil daripada niat yang sama. Bermula dari situ, muncullah pertubuhan, persatuan, grup dan sebagainya yang diwujudkan atas niat dan tujuan bersama.
Seperti le Bon, semua ahli psikologi sosial berpandangan kumpulan yang ramai bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kualiti kerja tetapi juga menjadikan kualiti hidup bertambah baik.
Apabila berada dalam kumpulan orang banyak seperti itu, watak seseorang lazimnya sedikit sebanyak akan berubah. Dia akan lebih menjaga tingkah lakunya, cara berfikir, penampilan dirinya dan lain-lain. Hidupnya kerap kali akan menjadi lebih teratur berbanding orang yang menyendiri, yang kadang-kadang berurus niaga dalam talian sambil berkemban atau mencungkil gigi.
Besarnya peranan kumpulan orang yang ramai dalam kehidupan dapat dilihat daripada keupayaannya mengubah model ekonomi dunia, dahulunya berasaskan individu dan korporat, kepada apa yang dinamakan crowd-based capitalism atau kapitalisme berasaskan orang ramai. Dan model ekonomi itulah yang sedang berkembang pesat di dunia baharu sekarang ini.
PENIAGA BERTANGGUNGJAWAB
Pemangkinnya adalah teknologi komunikasi. Kemajuan berterusan bidang itu telah memudahkan manusia saling berhubung dan kemudian berkongsi minat serta kehendak hampir tanpa batasan. Ia membolehkan terbentuknya crowd secara virtual dengan jumlah boleh dikatakan tidak terhad. Dari situlah model ekonomi berasaskan crowd atau disebut juga ekonomi kolaboratif muncul.
Menurut Dr Arun Sundararajan, seorang profesor di Universiti New York, di bawah model itu, sumber bekalan sama ada dalam bentuk barang, modal mahupun tenaga kerja berasal daripada kumpulan orang ramai yang terdesentralisasi dikumpulkan pada satu platform bersama (shared platform) untuk diakses dan dimanfaatkan oleh konsumer. Antara contoh diberi ialah Uber, Airbnb dan Amazon.
Katanya, model ekonomi itu akan menyebabkan penciptaan nilai beralih daripada syarikat menjalankan perniagaan jual produk fizikal kepada syarikat menawarkan perkhidmatan dan kepakaran. Sundarajan juga menjangkakan dalam banyak sektor, syarikat-syarikat besar berkemungkinan akan bertukar menjadi platform berasaskan orang ramai.
Selain lebih mudah berurusan, model ekonomi akan melahirkan peniaga lebih bertanggungjawab. Mereka perlu lebih profesional dan berhati-hati kerana sebarang kesilapan memungkinkan mereka yang berkenaan ‘dihukum’ oleh kumpulan orang ramai tersebut.
Model ekonomi itu pada dasarnya bersifat mesra kepada semua peringkat, daripada firma besar sehinggalah kepada peniaga kecil perseorangan. Ia membolehkan sesiapa sahaja berniaga tanpa memerlukan modal banyak, pekerja ramai dan pejabat besar.
Yang perlu dilakukan hanyalah mengenal pasti apa yang anda mahu niagakan, kemudian carilah platform bersesuaian yang mempunyai crowd. Lebih ramai, lebih baik. Daftar di situ, penuhi syarat dan berniagalah.
Zaman sekarang mudah, berniagalah apa pun, tidak susah hendak mendapatkan pembeli sebab manusia ramai. Jadi juallah apa sahaja yang boleh tetapi elakkanlah daripada menjual tiga perkara – maruah, harta pusaka dan harta benda orang lain. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca