SHAH ALAM - Beberapa langkah telah diambil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam usaha meminimumkan kes pencemaran sumber air. SPAN antaranya telah menetapkan Pelan Keselamatan Air untuk mengurangkan risiko pencemaran dari sumber... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa langkah telah diambil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam usaha meminimumkan kes pencemaran sumber air.

SPAN antaranya telah menetapkan Pelan Keselamatan Air untuk mengurangkan risiko pencemaran dari sumber ke pili air dan ia telah dijadikan salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) operator air.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) juga telah dicadangkan bagi mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan membabitkan aspek pencemaran.

"Sebagai langkah jangka masa panjang bagi melindungi sumber air mentah, SPAN turut mencadangkan pewartaan kawasan yang terletak di hulu muka sauk,” katanya kepada Sinar Premium.

Mohd Fazil menambah, pindaan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) diharap dapat membendung aktiviti pencemaran sungai dari terus berlarutan.

"Pindaan Akta 655 telah dicadangkan supaya ia selaras dengan isu-isu semasa setelah lebih dari 13 tahun akta ini dikuatkuasakan. Dasar baharu ini bertujuan untuk menambah baik industri perkhidmatan air.

"Antara pindaan tersebut adalah membolehkan pemegang lesen atau operator air mendapatkan semula kos yang ditanggung oleh mereka untuk membersihkan sistem bekalan air yang tercemar,” katanya.

Selain itu, pindaan tersebut juga mencadangkan agar kadar hukuman sedia ada ditingkatkan dan pelepasan kumbahan, efluen, benda atau bahan ke dalam mana-mana lurang dijadikan sebagai satu kesalahan.

Dalam pada itu, Mohd Fazil berkata, penyediaan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan semakin mencabar disebabkan oleh masalah pencemaran sumber air yang didapati dari sungai-sungai.

Katanya, ini kerana lebih daripada 80 peratus sumber air adalah dari sungai.

"Daripada tahun 2020 hingga 2021, sebanyak 13 kes pencemaran sumber air yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air di Selangor, dan satu kes di Pahang.

"Memandangkan gangguan bekalan air akibat pencemaran sumber air dari sungai adalah kerap, kerajaan telah mencadangkan sumber air alternatif iaitu dengan melaksanakan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) dan memperluaskan penggunaan air pulih guna yang dihasilkan oleh loji rawatan kumbahan khasnya untuk kegunaan industri,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca