SHAH ALAM - Proses pemulihan sungai amat penting untuk memastikan kualiti dan kuantiti air serta hidupan akuatik di dalamnya bebas daripada pencemaran.
Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Datuk Ir Jamil Shaari berkata, pendekatan bukan struktur Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) yang dilakukan oleh JPS dapat membantu pemeliharaan sungai di Malaysia.
"IRBM memastikan air mencukupi dan bersih, mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar. Namun, dalam merancang pembangunan, kesan terhadap kelestarian alam sekitar perlu diberi perhatian terutamanya sumber air yang sangat diperlukan negara untuk tujuan pembangunan dan kepelbagaian biologi,” katanya kepada Sinar Premium.
Menurutnya, sebanyak 25 pelan kajian IRBM telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) manakala sebanyak 25 lembangan sungai telah dirancang dalam tempoh RMK-12 2021-2025.
"Program-program membaik pulih sungai atau membersihkan sungai-sungai tercemar di Malaysia masih memainkan peranan yang penting sebagai langkah-langkah proaktif dalam menangani masalah pencemaran sungai.
"Namun, pemikiran penduduk setempat dalam menyayangi sungai perlu dipupuk sejak kecil sebagai langkah jangka panjang,” ujarnya.
Jamil berkata, setiap negeri mempunyai perundangan tersendiri berkaitan sumber air termasuk hal-hal berkaitan dengan larangan pencemaran di kawasan sumber air.
"Isu-isu utama seperti keterbatasan perundangan sedia ada turut mempengaruhi keberkesanan tindakan kawalan serta penguatkuasaan dan dalam memulihkan sungai tercemar, kos yang terpaksa ditanggung adalah sangat tinggi. "Oleh itu, penglibatan semua pihak sangat diperlukan terutamanya tidak membuang sampah dan bahan-bahan yang boleh mencemarkan air sungai,” katanya.