SHAH ALAM - Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff tidak bersetuju dengan cadangan untuk menghapuskan cukai jalan kenderaan.
Menurut beliau, cadangan itu akan membebankan kerajaan untuk mencari peruntukan bagi proses penyelenggaraan jalan raya.
"Saya tidak setuju hapuskan (cukai jalan), ini akan memberi beban kepada kerajaan untuk memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik demi keselamatan pengguna.
"Yang penting rakyat kena faham kenapa cukai tersebut diperkenalkan iaitu untuk memastikan infrastruktur jalan raya dapat diselenggara dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip pada Selasa mencadangkan agar kerajaan menghapuskan cukai jalan kenderaan bagi meringankan beban rakyat memandangkan sistem cukai kenderaan yang diguna pakai pada ketika ini berkonsepkan ‘cukai atas cukai'.
Ahmed Razman berkata, penyelenggaraan yang dijalankan hasil kutipan cukai itu dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan di atas jalan raya.
"Sebenarnya, ia memang membantu kerajaan dari segi mengelakkan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan akibat jalan raya yang berlubang.
"Saya bimbang jika rakyat tidak bayar cukai, lebih banyak jalan raya yang berlubang seterusnya meningkatkan risiko kemalangan. Kos untuk membaiki kenderaan lebih tinggi daripada bayaran cukai kenderaan setiap tahun,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan MDS Consultancy iaitu firma perunding bidang pengangkutan, trafik dan logistik, Dr Rosli Khan berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan penghapusan cukai jalan kenderaan dalam Bajet 2023 atas empat sebab utama termasuk pemilikan kenderaan persendirian bukan dianggap sebagai keperluan asas seperti makanan, rumah atau pakaian.
Bagaimanapun, katanya, pemilikan motosikal berenjin rendah di bawah 250cc, adalah dianggap keperluan asas untuk golongan B40, yang mana pelbagai cukai sedia ada perlu diubah dan dibaiki.
"Faktor kedua, cukai jalan adalah menjadi asas kepada cukai pemilikan kenderaan kepada pengguna-pengguna yang sengaja tidak mahu menggunakan pengangkutan awam dalam jadual perjalanan mereka setiap hari.
"Sebab ketiga pula kerana pendapatan cukai jalan ini yang lebih dari RM3 bilion setiap tahun harus disalurkan kepada pembinaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh di seluruh pelosok negara," katanya.
Rosli memberitahu, ia termasuk pembinaan kemudahan asas untuk bas sekolah dan sebagainya di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak serta tidak hanya terhad untuk pengguna Transit Aliran Massa (MRT) atau Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang sahaja.
Menurutnya, faktor terakhir adalah disebabkan asas kaedah cukai jalan boleh dibezakan.
"Contohnya, cukai jalan ini boleh dinaikkan kepada pemilik kenderaan berkuasa tinggi, tetapi tidak patut dinaikkan kepada pemilik kenderaan berkuasa rendah. Ini satu polisi yang perlu kajian mendalam.
"Pendapatan daripada cukai jalan boleh juga digunakan untuk membaiki jalan raya yang rosak untuk kegunaan semua pengguna di seluruh negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca