Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka menyaksikan kemunculan banyak parti kecil yang mungkin terpaksa bertanding secara solo jika mereka tidak bergabung dengan beberapa parti utama. Dengan parti-parti dianggap gergasi di Malaysia seperti... Klik di sini untuk terus membaca

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka menyaksikan kemunculan banyak parti kecil yang mungkin terpaksa bertanding secara solo jika mereka tidak bergabung dengan beberapa parti utama.

Dengan parti-parti dianggap gergasi di Malaysia seperti BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah, parti kecil yang ada digelar parti ‘nyamuk’ perlu mencari formula untuk menarik hati pengundi.

Apatah lagi dengan percubaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyertai komponen masih dipandang sepi BN, bahkan terbaru Pemuda PKR menolak hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai PH menimbulkan persoalan bagaimanakah nasib parti-parti ini?

Beberapa penganalisis politik meramalkan ramai calon dari parti kecil seperti PBM dan Muda bakal kalah teruk dan hilang wang pertaruhan jika mereka gagal menyertai tiga gabungan utama sama ada BN, PH atau PN pada PRU15 nanti.

Malah pemimpin utama mereka seperti bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun mungkin ‘bungkus’ di Parlimen Ampang dan Muar jika mereka tidak mendapat ‘talian hayat’ daripada parti-parti besar ini.

Pemuda PKR sebelum ini menolak penyertaan Muda dalam PH. Permohonan PBM menyertai BN masih jadi tanda tanya

KALAH JIKA BERSENDIRIAN

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, parti ‘nyamuk’ atau parti kecil tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup dan menang mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mereka berjuang secara bersendirian pada PRU15 nanti.

Justeru, Mazlan berkata, parti kecil seperti Muda dan PBM terpaksa memohon bantuan ‘abang besar’ seperti BN, PH atau pun PN untuk membantu jentera kempen dan bersaing merebut kerusi diidamkan mereka pada PRU15 nanti.

"Jika parti ‘nyamuk’ ini gagal mendapat naungan, maka mereka mungkin tidak akan memberikan apa-apa impak besar dalam PRU15 nanti. Malah tidak mustahil sebahagian daripada calon termasuklah yang penyandang kerusi pada PRU14 akan tewas.

"Ini kerana kriteria rakyat memilih seseorang calon dan gabungan parti politik pada PRU15 nanti adalah berdasarkan keupayaan mereka untuk membentuk sebuah kerajaan stabil dan kuat.

"Jadi berdasar kajian dilakukan saya melihat hanya tiga gabungan iaitu BN, PH dan PN yang mampu membentuk kerajaan stabil dan kuat selepas PRU15 nanti.

"Parti lain termasuk Gerakan Tanah Air (GTA) sendiri walaupun menggabungkan tiga parti dan calon NGO, tetapi tiada keupayaan untuk mencabar,” katanya kepada wartawan Sinar Premium pada Isnin.

Dalam pada itu, Mazlan mengakui Muda menyedari tentang buruk baik bergerak solo kerana contoh terdekat ialah kemenangan Amira Aisya Abd Aziz di DUN Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Amira menang besar di Puteri Wangsa apabila parti itu bekerjasama dengan PH.

Namun, apabila Muda mengambil keputusan melanggar PKR, dengan turut menghantar calon di DUN Larkin, baik PKR mahupun Muda kedua-dua parti terpaksa berputih mata apabila sekadar mendapat 6,448 undi dan 4,948 undi. Kerusi tersebut dimenangi BN dengan 16,053 undi.

"Kalau Muda dapat bergabung dengan PH mungkin peluang Syed Saddiq mempertahankan kerusi Muar agak cerah, begitu juga dengan Zuraida jika beliau diberikan laluan oleh BN di Ampang, mungkin dia menang.

"Ini kerana berdasarkan kajian lapangan dilakukan mendapati PBM tidak mempunyai pengaruh dan sokongan kuat kepada pengundi di Selangor, apatah lagi di negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

GTA BERI CABARAN DI UTARA

Ditanya mengenai pengaruh GTA, Mazlan berpandangan gabungan parti yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan boleh menggugat dan memberi saingan kepada calon BN, PH dan PN di negeri utara tanah air terutama di Kedah, pada PRU15 nanti.

Mazlan juga menegaskan, GTA mempunyai kekuatan dan penyokong akar umbi yang jauh lebih ramai dan kuat jika dibandingkan dengan parti nyamuk seperti Muda dan PBM.

"GTA masih boleh memberi saingan kepada BN, PH dan PN kerana kita tidak boleh under estimate (memperkecilkan) pengaruh Tun Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO suatu ketika dulu.

"Malah, saya meramalkan GTA berpotensi menang beberapa kerusi di Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu, Kedah, selain boleh memecahkan undi di beberapa kerusi Parlimen lain pada PRU15,” katanya.

DRAMA REBUT KERUSI

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, parti kecil seperti Muda dan PBM sukar untuk ‘survive’ dan menang PRU15 kerana mereka bukan hanya tidak mempunyai kekuatan dan sokongan pengundi di peringkat akar umbi, malah hanya tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

Awang Azman memberi contoh parti Muda hanya tertumpu kepada golongan muda di bandar menyebabkan mereka terpaksa bersaingan dan bertembung dengan sayap PH lain seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).

Beliau berkata, cubaan PBM yang mahu memberikan fokus kepada undi pelbagai kaum menyebabkan mereka bertembung dengan kepentingan parti komponen BN lain seperti MIC dan MCA.

"PBM mahu menyertai BN kerana melihat gabungan berkenaan sebagai simbol kekuasaan, kematangan dan kestabilan berikutan sudah mempunyai pengalaman lebih 60 tahun mentadbir Putrajaya sebelum tewas kepada PH pada PRU14 lalu.

"Muda dan PBM masing-masing mahu menyertai gabungan PH dan BN kerana melihat ‘abang besar’ berkemampuan dan mereka sendiri tidak mungkin menang kerusi pada PRU15 tanpa pertolongan dan sokongan jentera parti lain,” kata bAwang Azman lagi.

Beliau menegaskan penolakan pemimpin tertentu dalam PH dan BN terhadap penyertaan Muda dan PBM ke dalam gabungan parti berkenaan kerana mereka enggan berkongsi dan menyerahkan kerusi tradisi masing-masing.

Klik di sini untuk terus membaca