SHAH ALAM - Pemulihan sungai sudah dilaksanakan seperti di Sungai Gombak, Sungai Melaka dan Sungai Segget namun keberkesanannya sehingga kini masih lagi dipersoalkan. Pakar kualiti air, Dr Maketab Mohamed berkata, di Malaysia, pemulihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemulihan sungai sudah dilaksanakan seperti di Sungai Gombak, Sungai Melaka dan Sungai Segget namun keberkesanannya sehingga kini masih lagi dipersoalkan.

Pakar kualiti air, Dr Maketab Mohamed berkata, di Malaysia, pemulihan sungai sudah berlaku di beberapa tempat namun kurang berjaya kerana teknik yang salah.

"Pemuliharaan sungai sudah banyak dilakukan di luar negara dan berjaya seperti di Singapura iaitu Singapore River yang memakan masa selama 10 tahun.

"Pemulihan sungai yang paling besar di Malaysia ialah River of Life untuk Sungai Gombak di Kuala Lumpur yang menelan kos sehingga RM4 bilion namun belum mencapai tahap keadaan sungai dengan air yang jernih dan selamat bagi aktiviti riadah iaitu Kelas Dua B.

"Sungai Segget di Johor juga telah beberapa kali melalui status pemulihan tetapi airnya masih tercemar dan hanya tebing sungai saja yang kelihatan cantik. Sungai Melaka juga kurang berjaya yang mana tahap bakteria dan ammonia nitrogen masih tinggi,” katanya kepada Sinar Premium.

SISTEM PENGOLAHAN AIR SISA

Beliau yang merupakan bekas profesor Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air, Universiti Teknologi Malaysia berkata, yang paling penting pada permulaan projek untuk pemulihan sungai ialah inventori beban pencemaran.

"Beban pencemaran perlu dihentikan atau dikurangkan untuk memastikan air sungai sama tahap dengan sasaran kelas kualiti air. Air sisa yang tidak boleh dihentikan dari masuk ke sungai perlu melalui sistem pengolahan.

"Kebanyakan projek kurang berjaya di Malaysia adalah sama ada disebabkan inventori kurang tepat iaitu beban lebih tinggi dari anggaran atau beban pencemaran tidak ditangkap dengan betul untuk diolah dengan cara terbaik,” katanya.

Maketab berkata, punca-punca pencemaran yang berlaku di sungai berkemungkinan dari pada perladangan, industri dan sisa-sisa domestik seperti kumbahan.

"Punca-punca pencemaran adalah pelbagai jenis mengikut lembangan sungai dan aktiviti-aktiviti guna tanah dalam tadahannya. Pencemaran boleh berlaku dalam bentuk jangka pendek dan jangka panjang.

"Namun, kedua-duanya akan memberi mudarat kepada hidupan air seperti ikan, udang dan kerang. Impak pencemaran juga adalah kepada pengguna air lain-lain termasuk untuk perikanan, rekreasi, air minuman domestik serta untuk pengairan,” katanya.

Selain itu, Maketab berpandangan bahawa kerjasama kerajaan pusat melalui Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dan badan kawal selia air bagi kerajaan-kerajaan negeri adalah penting untuk menentukan punca pencemaran dipantau secara berterusan.

"Walaupun sampah mencemarkan sungai, ia tidak termasuk dalam pencemaran kualiti air kerana yang dikira dalam indeks kualiti air adalah dalam bentuk terlarut atau terampai dan bukan terapung.

"Namun, banjir dengan hakisan tanah yang tinggi menyebabkan pencemaran air dalam beberapa parameter utama iaitu Jumlah Pepejal Terampai dan Kekeruhan. Selalunya air banjir rendah dari segi pencemaran dalam bentuk organik seperti Nitrogen Ammonia,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca