MEDIA-media di negara-negara Barat memuji tentera Ukraine kerana merampas semula sejumlah bandar-bandar di wilayah timur laut negara itu, Kharkiv sehingga Isnin lalu daripada askar-askar Rusia.
Kejayaan itu dianggap sebagai serangan balas taktikal yang berjaya menghasilkan keputusan terbaik dalam perang yang bermula sejak 24 Februari lalu.
Beberapa media Barat seperti CNN menyifatkan serangan balas itu sebagai transformasi medan perang yang menakjubkan di timur Ukraine kerana tentera negara tersebut telah menawan semula lebih daripada 3,000 kilometer persegi wilayah dengan kebanyakannya pernah ditawan tentera Rusia sebelum ini.
Majalah The Economist menyiarkan satu artikel yang mengemukakan persoalan adakah tentera Rusia cabut lari kerana serangan mengejut Ukraine di Kharkiv yang bermula pada 6 September lalu iaitu jauh lebih banyak daripada yang telah ditawan Rusia dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Ia juga melaporkan terdapat askar-askar Rusia yang berundur dan panik, unit-unit tentera negara tersebut dikepung dan sejumlah besar perkakasan tentera ditinggalkan manakala penawanan semula dua hab logistik iaitu Izyum dan Kupyansk berjaya menamatkan rancangan besar Moscow untuk menguasai seluruh wilayah timur Ukraine, Donbas.
TIBA MASA KEMENANGAN
Portal berita The Atlantic juga menyiarkan tajuk utama yang menyatakan 'Sudah tiba masanya bersedia untuk kemenangan Ukraine' dengan mendakwa bahawa kejutan terbesar dalam pertempuran di wilayah tersebut adalah kerana tindak balas askar-askar Rusia yang tidak menunjukkan tentangan hebat.
Kiev telah pun mengumumkan penawanan semula Izyum di timur negara itu manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata pada Isnin lalu bahawa tentera negaranya berjaya merampas semula lebih 6,000 kilometer persegi dari kawalan Rusia dalam bulan ini.
Kementerian Pertahanan Ukraine pula menyatakan bahawa saiz kawasan yang ditawan semula tentera negara itu adalah sama dengan negeri Delaware di Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov memberitahu akhbar Perancis, Le Monde dalam wawancara pada Isnin bahawa perang telah memasuki fasa baharu dengan bantuan senjata daripada negara-negara Barat.
Bagaimanapun, sebuah badan pemikir AS, Study of War atau Institut Kajian Perang membuat ciapan di Twitter dengan menyatakan bahawa serangan balas tidak akan menamatkan perang itu.
Pengunduran tentera Rusia dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini telah melegakan penduduk tempatan termasuk di bandar Izyum yang strategik tetapi mengalami kerosakan teruk akibat pertempuran antara kedua-dua pihak.
Menurut AFP, seorang penduduk, Yuriy Kurochka yang berusia 64 tahun meluahkan perasaan gembiranya ekoran askar-askar Rusia yang bertindak berundur dari medan pertempuran manakala Moscow akhirnya mengesahkan pengunduran askarnya dari medan perang di seluruh wilayah Kharkiv.
Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun menegaskan bahawa pengunduran itu adalah sebagai usaha untuk mengumpulkan semula tentera negara itu.
Menurut Institute for the Study of War atau Institut Kajian Perang milik AS, kejayaan Ukraine berlaku daripada rancangan kempen dan memaksimumkan penggunaan sistem senjata Barat seperti sistem roket HIMARS buatan negara Uncle Sam itu.
Serangan balas itu tidak bermakna bahawa tentera Rusia akan terus kehilangan daya juangnya terutamanya apabila ia mengumpulkan semula askar-askarnya untuk menuju ke arah bandar raya Donetsk, kata beberapa pakar.
Tentera Ukraine melakukan serangan balas yang berjaya kerana memahami kekurangan tentera Rusia di Kharkiv tetapi ia hanya bermakna pada peringkat taktikal dan bukannya untuk keseluruhan konflik tersebut, kata Cui Heng iaitu penolong penyelidik dari Pusat Pengajian Rusia, Universiti Normal China Timur.
Beliau memberikan komen bahawa Kharkiv berhampiran dengan sempadan Rusia dan walaupun Ukraine menawan semula beberapa wilayah, mereka masih tidak lagi boleh menyerang negara tersebut dan jika tenteranya melakukan serangan melintasi sempadan, ia akan mendorong Moscow untuk menggerakkan pertempuran lebih besar.
Bagi Ukraine, matlamatnya cukup jelas kerana ia bertujuan untuk menawan semula bukan sahaja Kharkiv tetapi juga wilayah Donbas dan Crimea, tetapi tempat-tempat itu dianggap Rusia sebagai amat strategik, kata seorang lagi pakar hal ehwal antarabangsa yang berpangkalan di Beijing.
Walaupun terdapat sambutan meluas mengenai kemenangan Ukraine itu, pegawai-pegawai AS tahu Presiden Rusia, Vladimir Putin masih mempunyai tentera dan sumber untuk digunakan dan pasukannya masih mengawal kawasan di timur dan selatan negara itu dalam jumlah yang besar.
SERANGAN BALAS
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, serangan balas ke atas tentera Rusia masih berlaku di peringkat awal tetapi tentera Ukraine telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pertempuran tersebut.
Beliau juga menganggap kemenangan yang dicapai tentera Ukraine adalah disebabkan sokongan daripada AS dan negara-negara lain dari segi peralatan ketenteraan yang diperlukan untuk melakukan serangan balas tersebut.
Bagaimanapun, dalam perang di Ukraine yang telah berlanjutan lebih lima bulan itu, pemenang mutlaknya masih lagi belum diketahui kerana tentera Rusia bukannya berundur dari ngara tersebut cuma berundur untuk mengumpulkan semula kekuatan askar-askarnya.
Masih terlalu awal untuk mendakwa bahawa Ukraine sudah mencapai kemenangan dalam perang itu kerana ia masih lagi berlaku dan belum berakhir lagi dan mungkin melibatkan tempoh masa yang lebih panjang lagi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca