SHAH ALAM - Wanita jangan takut untuk bangkit dan ubah hidup.
Itu pesanan pengasas syarikat produk kecantikan tempatan, Noir Health & Beauty Sdn Bhd, Eriyca Baiduri Abd Rashid khusus buat golongan wanita yang sedang berjuang untuk mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.
Wanita berusia 32 tahun yang lebih mesra disapa Madammu mengakui ketika ini masih ramai wanita tidak berani merebut segala peluang tersedia.
"Tiada siapa boleh ubah hidup kita. Wanita perlu bangkit untuk ubah hidup sendiri, keluarga dan orang-orang yang kita sayang.
"Mungkin hari ini peluang tidak begitu besar, tapi kena mula. Kalau tidak, anda tidak akan belajar.
"Saya dulu pun bermula dari bawah, budak kampung yang ada cita-cita nak ubah hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Eriyca Baiduri menambah, wanita perlu mengubah gaya pemikiran dan berhenti mencipta seribu satu alasan untuk berjaya.
"Kita mencipta terlalu banyak alasan dan kadang-kadang kita sabotaj diri sendiri. Peluang ada depan, tapi sabotaj.
"Misalnya, ada yang mencipta alasan mereka tidak pandai berniaga atau tidak ada modal. Sebenarnya kita kena ubah pemikiran. Jika anda boleh ubah cara berfikir dan menolak alasan seperti ini, insya-ALLAH anda boleh,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca