MENJELANG pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini, anak-anak muda antara yang menanti dengan penuh harapan kemungkinan insentif disediakan kerajaan untuk mereka. Kos sara hidup yang semakin meningkat memungkinkan golongan belia berdepan... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini, anak-anak muda antara yang menanti dengan penuh harapan kemungkinan insentif disediakan kerajaan untuk mereka.

Kos sara hidup yang semakin meningkat memungkinkan golongan belia berdepan cabaran lebih besar dalam memastikan kelangsungan hidup pada tahun hadapan.

Sinar Harian mendapatkan pandangan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik mewakili belia berhubung perkara tersebut, selain mendengar sendiri permintaan anak-anak muda menerusi satu tinjauan.

Berdasarkan temu bual itu, terdapat 10 perkara yang mereka mahukan. Ikuti laporan wartawan Sinar Harian MUKHRIZ MAT HUSIN, MUHAMMAD AMNAN HIBRAHIM, MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY dan MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALIK berhubung isu ini.

SHAH ALAM - Kerajaan menerusi Bajet 2023 disaran supaya menyediakan lebih banyak insentif kepada golongan belia di negara ini yang dijangka berdepan cabaran besar akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berpandangan, kemerosotan ekonomi dan kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini turut memberi impak kepada generasi muda untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

"Hari ini mungkin mereka mempunyai pendapatan, tetapi disebabkan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang tinggi, ia menyebabkan mereka terhimpit dan tersepit untuk berbelanja,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Selain itu, Muhammad Faisal berkata, Bajet 2023 juga perlu menyediakan peruntukan menghadapi isu perubahan iklim dalam negara yang berkait dengan bencana alam seperti banjir besar.

Ujarnya, bencana banjir besar yang berlaku hampir setiap tahun di seluruh negara turut menjejaskan ekonomi serta kehidupan masyarakat termasuk golongan belia.

"Kalau kita tengok dalam konteks bencana ini, banjir berlaku hampir setiap tahun. Bukan sahaja (terjadi) di Kelantan, tetapi juga di Kuala Lumpur, Selangor dan lain-lain kawasan.

"Isu ini menyentuh juga kehidupan anak muda sebab mereka juga terlibat. Mereka melihat seolah-olah kerajaan tidak ada perancangan khusus untuk menyelesaikan masalah ini secara mampan.

"Jadi, dalam Bajet 2023 ini perlu beri peruntukan bagi memperbaiki sistem sedia ada serta pelan mitigasi bencana dan pelan jangka panjang untuk menjaga kelestarian alam sekitar,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan inisiatif Bajet 2023 juga perlu merangkumi aspek peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Jelasnya, bantuan tersebut seiring dalam menyelesaikan masalah utama yang dihadapi oleh generasi muda dan memastikan masa depan mereka lebih terjamin untuk jangka masa panjang.

"Isu utama Bajet 2023 ini saya fikir perlunya ia menjawab keperluan-keperluan perubahan semasa khususnya dalam konteks memastikan institusi-institusi membuat penyesuaian supaya anak-anak muda ini mempunyai masa depan yang lebih baik.

"Harapan besar kita ialah Bajet 2023 menjadi bajet yang mampan, berlanjutan dan bersifat jangka panjang khususnya untuk golongan anak muda,” kata beliau.

JAMINAN PEKERJA

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Abu Kadir Mubarak Ali berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini perlu memberi fokus kepada usaha meningkatkan jaminan peluang pekerjaan kepada anak muda terutama graduan lepasan universiti.

Katanya, inisiatif itu membantu kemasukan anak muda ke dalam pasaran pekerjaan memerlukan pelaksanaan program bersifat jangka panjang.

Beliau berkata, program latihan sedia ada seperti Short-Term Employment Programme (MySTEP) hanya perancangan jangka pendek dan tidak berupaya memberikan jaminan pekerjaan kepada graduan.

Muhammad Abu Kadir

"Program latihan ini bersifat jangka pendek iaitu dalam tempoh enam bulan ke setahun. Bagaimanapun, selepas tamat program latihan, mereka masih sukar mendapatkan kerja walaupun sudah ada pengalaman.

"Jadi, itu yang kita cadangkan kepada kerajaan supaya adakan satu program jaminan pekerjaan dengan memfokuskan kepada penempatan untuk jangka masa panjang.

"Ini kerana, kita sudah latih dan mengeluarkan kos yang tinggi untuk memberi latihan serta gaji kepada graduan ini. Tapi selepas tamat latihan, mereka tidak ada peluang pekerjaan yang agak terjamin,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Berikutan itu, beliau berkata, Bajet 2023 perlu memberikan galakan terhadap syarikat di dalam negara termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menyerap graduan sebagai pekerja.

Menurutnya, dianggarkan terdapat lebih kurang 30,000 graduan dihasilkan di dalam negara dan bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu memberikan penekanan terhadap usaha bagi memperkenalkan perlindungan sosial lebih holistik kepada golongan muda termasuk kepada mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig dan bebas.

Selain itu, Muhammad Abu berkata, inisiatif sokongan dan bantuan dana terhadap anak muda yang terlibat dalam perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diperluaskan lagi.

Ujarnya, sistem sokongan itu tidak tertakluk hanya kepada bantuan dana tetapi dalam bentuk latihan dan panduan untuk memastikan kejayaan perniagaan mereka.

"Kita faham Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) ada berikan program tertentu kepada anak muda terutama untuk bumiputera. Tapi bagi saya, ia perlu diperluaskan lagi berbanding had kuota ditetapkan pada ketika ini,” kata beliau.

HARAP LEBIH BANYAK INSENTIF

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati rata-rata anak-anak muda meluahkan harapan agar Bajet 2023 memberi khabar gembira buat mereka.

Mohamad Hafiz Mezaazman, 33, yang merupakan eksekutif makmal berkata, kos sara hidup yang meningkat ketika ini amat membebankan golongan belia, terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Mohamad Hafiz

"Ramai golongan M40 yang menetap di bandar terkesan kos sara hidup dan komitmen tinggi. Sebab itu, kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak insentif.

"Selain itu, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga sedikit sebanyak membebankan belia. Sudah pasti akan menyukarkan kami untuk membeli rumah pertama. Jika masih menyewa rumah, kemungkinan sewa akan dinaikkan,” ujarnya.

Bagi Rahmat Ridzuan, 26, penawaran gaji yang lebih kompetitif perlu dibuat untuk memastikan sektor pekerjaan kritikal seperti makanan dan minuman (F&B) dapat diisi belia.

Rahmat Ridzuan

Pekerja gig itu berkata, gaji permulaan rendah sekitar RM1,500 yang ditawarkan kebanyakan syarikat menyebabkan ramai golongan muda lebih selesa bekerja dalam industri ekonomi gig.

"Gaji RM1,500 sebenarnya kecil berbanding kos sara hidup sekarang. Rumah sewa sekitar Kuala Lumpur atau Selangor pun sudah mencecah RM800 sebulan.

"Kami sendiri pun bukan mahu berada dalam industri gig ini untuk selamanya kerana kena fikirkan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Anam Salamon, 33, yang merupakan peniaga mengharapkan kerajaan dapat mengawal harga barangan di pasaran.

Mohamad Anam

"Ketika pandemik Covid-19 baru-baru ini, ramai golongan belia yang mula menceburi bidang perniagaan terutama makanan.

"Namun, selepas kenaikan barang yang berlaku sejak awal tahun ini, ramai peniaga berfikir dua kali untuk meneruskan perniagaan. Kalau naikkan harga, pembeli akan lari. Kalau tidak naikkan harga, mereka akan rugi," katanya.

Suri rumah, Syamimi Hazirah Mohd Saadom, 31, pula berkata, kerajaan perlu melihat kembali sektor pekerjaan di negara ini agar relevan untuk golongan muda yang akan menamatkan pengajian di universiti.

Syamimi Hazirah

"Kalau tidak, sia-sia golongan muda yang belajar tinggi-tinggi tetapi tak mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka. Ini akan menyebabkan masalah pengangguran,” katanya.

Bagi pelajar institusi pengajian awam, Nur Rabiah Nordin, 21, dia mengharapkan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada pelajar.

"Sebenarnya kami tidak mengharapkan bantuan one off, sebaliknya bantuan berbentuk konsisten setiap bulan.

"Ramai pelajar yang kurang berkemampuan terpaksa ikat perut untuk berjimat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca