SHAH ALAM - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi bagi penyelenggaraan motosikal kepada penunggang p-hailing dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan bulan depan.
Presiden Penghantar, Zulhelmi Mansor berkata, permintaan itu dibuat bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung dari segi penyelenggaraan kerana kenderaan tersebut adalah punca rezeki mereka.
"Kami mohon kerajaan beri lebih perhatian terhadap aspek kebajikan penunggang perkhidmatan p-hailing ini agar nasib kami lebih terbela. Salah satu perkara yang kami hendak adalah pemberian subsidi selenggara motosikal."Kami juga harap kerajaan dapat teruskan pemberian perlindungan skim keselamatan sosial yang diperkenalkan dalam bajet tahun lalu. Skim ini perlu terus diperkasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Zulhelmi menegaskan, saranan itu mengambil kira risiko penunggang yang sentiasa terdedah kepada bahaya sekali gus membuatkan mereka perlu mempunyai perlindungan ketika bekerja.
Selain itu, beliau turut menyuarakan rungutan dalam kalangan penunggang p-hailing yang sukar membuat pinjaman bank bagi membeli kereta atau rumah.
"Memang pekerjaan ini bukanlah bersifat tetap yang menyebabkan mereka sukar untuk mendapat kelulusan pinjaman bank.
"Tetapi mereka dalam masa yang sama mempunyai impian untuk memiliki aset seperti rumah atau kereta.
"Jadi saya berharap kerajaan cuba sedaya upaya membantu kami keluar daripada masalah ini,” ujarnya.
Tambahnya, kebajikan para penunggang p-hailing tersebut sangat penting untuk diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan perkhidmatan itu sudah banyak memudahkan urusan masyarakat selama ini.
Klik di sini untuk terus membaca