PORT DICKSON - Detik cemas diekori rapat secara berbahaya oleh sebuah lori besar ketika melakukan tinjauan kali pertama di sungai paling tercemar di Malaysia, Sungai Rambai terletak di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Pada hari kejadian, kru Sinar Premium seramai lima orang sibuk dengan tugasan masing-masing seperti yang telah ditetapkan.
Ada yang mengambil gambar, merakam video serta mendokumentasi segala pemerhatian di Sungai Rambai yang berwarna hitam pekat dan dipenuhi sampah sarap.
Hujan lebat menambahkan lagi bau tidak enak di sepanjang Sungai Rambai namun ia tidak menghalang usaha kami untuk terus melakukan tinjauan walaupun hanya dari dalam kereta.
Beberapa ketika menyusuri jalan kampung di sepanjang Sungai Rambai, di kiri dan kanan kami melihat banyak kandang haiwan (khinzir) yang seperti sudah lama ditutup atau ditinggalkan.
Timbul persoalan, ke mana semua haiwan tersebut pergi atau mungkinkah ia ‘disembunyikan’ di tempat lain bagi mengelak daripada dikesan? Apa sebenarnya yang berlaku di Sungai Rambai?
Semua persoalan ditinggalkan sebentar dan perjalanan diteruskan namun kami tiba-tiba dikejutkan jeritan salah seorang kru yang duduk di bahagian belakang. Rupa-rupanya dia ternampak sebuah longkang kecil yang mengalirkan air berwarna merah persis darah pekat!
Jiwa ‘detektif’ kami teruja untuk menyiasat lebih lanjut perihal longkang tersebut namun ketika mahu memberhentikan kereta, kami didatangi sebuah lori besar yang dipandu laju dari arah belakang kereta kami naiki.
Lori besar tersebut mengekori rapat seolah-olah mahu ‘mengusir’ kami dari lokasi. Walaupun keadaan menjadi agak kelam-kabut, kru masih sempat merakam lokasi air berwarna merah tersebut melalui dalam kereta yang sedang bergerak.
Kami kemudian membuat keputusan beredar dari lokasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Mengimbas insiden tersebut, jurukamera, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari mengakui ia antara pengalaman mendebarkan pernah dihadapinya sepanjang bertugas.
"Sampai di satu ‘check point’, saya perasan di satu parit terdapat air seperti darah memancut keluar dari sebuah longkang. Dan sewaktu saya sedang merakam dengan telefon, saya perasan di belakang kereta kami ada sebuah lori besar tiba-tiba muncul dengan laju.
"Lori tersebut memang laju dan seolah-olah merapati kami, mulanya kami ingatkan lori tersebut mahu pergi ke tempat lain tetapi ternyata ia mengikuti kami dengan sangat rapat dan laju, seperti mahu mengugut atau mengancam kami.
"Hanya apabila kami beredar dan menghampiri kawasan kediaman penduduk baru lori tersebut mula perlahan dan akhirnya hilang dari pandangan,” katanya.
Insiden dikejar lori besar ketika di Sungai Rambai itu juga diakui agak menakutkan kerana ia pertama kali berlaku kepada kru sepanjang melakukan tugas tinjauan.
Sempat terlintas di fikiran, adakah lori besar tersebut milik orang yang 'menjaga' Sungai Rambai? Ini kerana ada dakwaan, terdapat 'gengster' yang mengawal lokasi terbabit.
"Waktu itu memang sangat takut, kerana lori itu datang dekat dengan sangat laju dan rapat. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan berlaku kepada kami waktu itu dan untuk mengelak apa-apa yang tidak diingini berlaku kami ambil keputusan beredar dari situ.
"Alhamdulillah, tiada apa-apa yang buruk terjadi,” ujar seorang lagi kru Sinar Premium, Liza Mokhtar yang turut berada di lokasi ketika kejadian.
Sejak dari kejadian tersebut, kru Sinar Premium sudah tiga kali kembali ke Sungai Rambai untuk pemantauan namun syukur tiada lagi insiden dikejar rapat oleh lori tidak dikenali.
Klik di sini untuk terus membaca