BELANJAWAN atau bajet adalah proses sangat penting kepada pengurusan negara sehinggakan dalam sistem demokrasi berparlimen, kerajaan dianggap ‘jatuh’ sekiranya bajet ditolak oleh Parlimen. Ketika zaman Barisan Nasional (BN) mendominasi... Klik di sini untuk terus membaca

BELANJAWAN atau bajet adalah proses sangat penting kepada pengurusan negara sehinggakan dalam sistem demokrasi berparlimen, kerajaan dianggap ‘jatuh’ sekiranya bajet ditolak oleh Parlimen.

Ketika zaman Barisan Nasional (BN) mendominasi negara, bajet ditetapkan oleh menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, dengan kata putus daripada Perdana Menteri yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad (bermula 1998), Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suara pembangkang tidak didengari dalam proses perancangan. Begitu juga kebanyakan pemegang taruh dalam masyarakat. Kejatuhan kerajaan kerana Parlimen tidak bersetuju dengan bajet adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan.

Bajet yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada hari berkenaan akan menjadi undang-undang tanpa sebarang pengubahan daripada Parlimen. Daripada dominasi itu wujud keangkuhan.

Pada 1999, bajet telah dibentangkan oleh Dr Mahathir pada 29 Oktober tetapi Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999 ketika bajet masih diperdebatkan.

Maka, selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) dan Parlimen ke-11 bersidang, bajet dibentangkan sekali lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menerima desakan daripada partinya untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sehari selepas pembentangan bajet yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.

Apabila bajet dibentangkan tetapi tidak dibahaskan dan diluluskan, sebaliknya PRU diadakan, bajet dijatuhkan darjatnya daripada alat pentadbiran terpenting kepada prop berkempen pada pilihan raya.

Siapa yang boleh menjanjikan bahawa Perdana Menteri jika menang, akan membentangkan bajet yang sama selepas pilihan raya?

Malah, siapa boleh menjanjikan Perdana Menteri yang sama sekalipun partinya menang?

RISIKO TINGGI

Maka, apa yang dijanjikan dalam bajet berhayat sehari itu tidak menjanjikan manfaat kepada rakyat.

Sebaliknya, jika apa yang berlaku pada 1999 boleh menjadi rujukan, Parlimen akan terpaksa dipanggil serta-merta selepas pilihan raya untuk meluluskan sebuah bajet sementara supaya kerajaan dapat berfungsi.

Akan tetapi kerana pemanggilan Parlimen untuk bersidang memerlukan notis 14 hari, ia mungkin terpaksa dipanggil oleh kerajaan asal yang berfungsi sebagai ‘kerajaan sementara’ (caretaker government).

Ia tidak merumitkan keadaan pada 1999 kerana Dr Mahathir berjaya memenangi majoriti, malah dua pertiga pada PRU10.

Dalam keadaan sekarang yang dijangka PRU15 akan menghasilkan Parlimen tergantung dan perundingan untuk membentuk kerajaan campuran mengambil masa, siapa boleh memberi jaminan bahawa sebuah bajet baharu atau sekurang-kurangnya bajet sementara yang tidak akan ditewaskan di Parlimen dan memulakan kemelut politik yang baharu?

Jika berlaku banjir besar sekali lagi pada November seperti yang terjadi kepada Selangor dan Pahang tahun lalu, dan rakyat perlukan kerajaan memperuntukkan dana besar untuk pemulihan, dapatkah Parlimen meluluskan bajet baharu/sementara tanpa melalaikan tanggungjawab mereka dalam menelitinya?

Tidakkah kita mungkin terperangkap dalam ‘ribut sempurna’ (perfect storm) jika bencana alam, ketidaktentuan politik dan ketiadaan bajet baharu melanda pada masa yang sama pada penghujung November?

Persoalannya, sekalipun kita dapat mengatasinya pada akhirnya, perlukah kita meletak diri dalam keadaan yang begitu berisiko tinggi?

Keluarga Malaysia perlu meletak kepentingan seluruh rakyat Malaysia di atas kepentingan segelintir pemimpin UMNO.

Menerajui negara melalui bencana dan cabaran lebih penting daripada mendapat mandat baharu.

Ini masanya Ismail Sabri harus menunjukkan kepimpinan beliau dengan melengkapkan proses bajet secara profesional dan tidak tergopoh-gapah. Siapa yang boleh menjanjikan bahawa Perdana Menteri jika menang, akan membentangkan bajet yang sama selepas pilihan raya?

Buah liar jangan dimakan

Anak muda jangan diketepi

Buat kerja biar habiskan

Diberi mandat biar lengkapi

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca