‘KERANA nila setitik, rosak susu sebelanga’. Perumpamaan itu amat sesuai dikaitkan dengan isu integriti penjawat awam yang sering diperkatakan atau tular dalam media sosial. Walaupun hanya segelintir yang terlibat, penularan isu-isu... Klik di sini untuk terus membaca

‘KERANA nila setitik, rosak susu sebelanga’. Perumpamaan itu amat sesuai dikaitkan dengan isu integriti penjawat awam yang sering diperkatakan atau tular dalam media sosial.

Walaupun hanya segelintir yang terlibat, penularan isu-isu sebegitu sedikit sebanyak mencalarkan imej dan kredibiliti keseluruhan penjawat awam di Malaysia.

Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman semasa amanat beliau pada 13 Januari 2021 telah menekankan tiga aspek penting yang perlu dihayati dan dipraktikkan penjawat awam dalam melaksanakan tugasan iaitu integriti, kepantasan serta profesionalisme.

Integriti adalah pegangan teguh kepada nilai-nilai murni secara konsisten yang dijelmakan menerusi komitmen menyeluruh, sama ada melalui perkataan ataupun tindakan.

Justeru, integriti bukan sahaja dilihat sebagai kunci utama yang mampu meningkatkan kecemerlangan diri, bahkan kecemerlangan perkhidmatan awam juga dapat dikekalkan.

Namun, tidak dinafikan masih terdapat isu pelanggaran integriti di pelbagai peringkat institusi awam. Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil penjawat awam yang terlibat dalam isu tersebut.

Hakikatnya, majoriti penjawat awam masih berpegang teguh kepada amanah dan ikrar Akujanji yang telah dimeterai.

Oleh demikian, isu pelang-garan integriti yang mencemarkan dan mencalarkan imej serta kredibiliti penjawat awam perlu dibanteras dan ditangani dengan baik.

Intervensi yang bersesuaian perlu dilaksanakan agar golongan minoriti itu tidak semakin bertambah dan menjadi punca kehilangan kepercayaan masyarakat umum kepada institusi awam.

Penjawat awam perlu sama-sama berusaha untuk menggalas dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang bersih serta berintegriti.

MARUAH PENJAWAT AWAM

Sekiranya usaha itu dapat dilakukan secara kolektif, tidak mustahil maruah penjawat awam yang tercalar dapat dikembalikan semula.

Selain itu, isu pelanggaran integriti penjawat awam bukan lagi isu individu atau isu dalaman organisasi tetapi boleh dianggap sebagai isu kita bersama. Tindakan segera perlu dilakukan agar ia tidak menjadi barah yang tidak boleh diubati.

Lantaran itu, sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’ sudah tidak relevan lagi. Kita seharusnya lebih cakna dan prihatin terhadap perlakuan rakan-rakan di sekeliling agar isu-isu tidak berintegriti dapat dicegah lebih awal.

Langkah tersebut adalah salah satu kaedah pencegahan kurang formal dan mudah untuk dilakukan oleh semua.

Selaku penjawat awam pula, kita perlu sentiasa menjaga diri dengan mengekalkan integriti secara istiqamah.

Antara yang boleh dilakukan adalah dengan menghindari diri daripada sebarang gejala rasuah, tidak amanah, salah guna kuasa atau perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika penjawat awam.

Amanah dan integriti seharusnya menjadi nilai utama serta pegangan hidup setiap insan khususnya penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan kehidupan, baik di dunia mahu pun di akhirat.

Sepertimana sabda Nabi SAW: "Tiada iman bagi orang yang tidak amanah dan tidak beragama orang yang tidak menunaikan janji.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Selain itu, Malaysia merupakan sebuah negara yang berada di kedudukan yang baik dalam beberapa indeks dunia, antaranya Institute for Economis and Peace tahun 2020 telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-20 dari 163 negara dalam Global Peace Index.

Carta Ease of Doing Business yang dilaksanakan oleh World Bank tahun 2019, telah merekodkan Malaysia berada di ke-dudukan ke-12 dari 190 negara.

Pencapaian tersebut tidak mampu dicapai tanpa usaha bersama penjawat awam.

Oleh itu, isu integriti tidak boleh dipandang remeh kerana ia mampu meranapkan sistem pentadbiran kerajaan yang berupaya merencatkan agenda pembangunan sesebuah negara.

Adakah kita sebagai penjawat awam tegar untuk melihat situasi tersebut berlaku dek kerana isu integriti? Tepuk dada tanya selera.

* Noor Azwani Asyikin Samad, Pegawai Eksekutif Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Teknologi Mara

Klik di sini untuk terus membaca