SELEPAS tentera Rusia menceroboh Ukraine sejak 24 Februari lalu, satu lagi peperangan dibimbangi akan berlaku antara negara Azerbaijan dengan Armenia selepas kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada tahun 2020.
Sebelum ini, kedua-dua negara itu pernah berperang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1990an dan 2020 bagi merebut wilayah Nagorno-Karabakh yang menjadi milik Azerbaijan tetapi didiami oleh penduduk berketurunan Armenia.
Perang selama enam minggu berlaku pada musim luruh 2020 dan meragut nyawa lebih 6,500 askar dari kedua-dua pihak sebelum ia berakhir dengan perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Rusia tetapi ia kini menceroboh Ukraine.
Di bawah perjanjian itu, Armenia menyerahkan sebahagian besar wilayah yang dikuasainya itu selama beberapa dekad lalu manakala Moscow telah mengerahkan kira-kira 2,000 askar pengaman Rusia untuk mengawasi gencatan senjata yang rapuh itu.
Sebelum ini kumpulan pemisah etnik Armenia di Nagorno-Karabakh bertindak memisahkan wilayah tersebut dari Azerbaijan apabila Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1991 dan kini dikenali sebagai Rusia sehingga mencetuskan konflik yang melibatkan kira-kira 30,000 nyawa terkorban.
Berikutan pertempuran yang berlaku antara kedua-dua pihak yang menyebabkan sekurang-kurangnya 100 askar Azarbaijan dan Armenia terbunuh baru-baru ini, Rusia mengumumkan pada Selasa lalu bahawa ia telah merundingkan satu gencatan senjata yang baharu.
Namun, pada Rabu lalu, Kementerian Pertahanan Armenia berkata bahawa Azerbaijan melancarkan semula serangannya dengan menggunakan artileri, mortar dan senjata api berkaliber besar ke arah Jermuk serta Verin Shorzha di sempadan kedua-dua negara.
Kementerian Pertahanan Armenia menuduh tentera Azerbaijan melancarkan dron tempur ke arah pusat peranginan Armenia di Jermuk pada waktu malam dan memperbaharui tembakan dari artileri serta mortar pada waktu pagi ke arah kampung Jermuk dan Verin Shorzha berhampiran dengan Tasik Sevan.
Bagaimanapun, tentera Azerbaijan pula menuduh bahawa askar-askar Armenia melanggar gencatan senjata apabila mereka membedil kedudukannya di daerah Kalbajar dan Lachin di wilayah Narogno-Karabakh.
Peningkatan pertempuran pada Selasa lalu berlaku apabila sekutu Armenia, Rusia 'sibuk' dengan perang Ukraine yang masih belum berakhir selepas ia menghantar ribuan pasukan pengaman berikutan gencatan senjata dimeterai antara kedua-dua pihak sebelum ini.
Kesatuan Eropah (EU) pula telah mengetuai proses normalisasi antara Armenia dengan Azerbaijan yang melibatkan rundingan damai, persempadanan semula sempadan dan pembukaan semula rangkaian pengangkutan antara kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, menurut AFP, seorang pengalisis, Gela Vasadze dari Georgian Strategic Analysis Centre
berkata bahawa peningkatan pertempuran antara kedua-dua pihak telah membatalkan usaha yang diketuai EU sebelum ini untuk membawa Baku dan Yerevan lebih dekat kepada perjanjian damai.
"Perjanjian Brussels (EU) kini boleh dikatakan terbatal," katanya sambil menambah bahawa pertembungan itu telah meradikalisasikan lagi pendapat umum di kedua-dua negara.
Semasa rundingan EU di Brussels, Belgium pada Mei dan April 2020, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan bersetuju untuk memajukan perbincangan mengenai perjanjian damai.
Di Armenia pula, emosi memuncak di kalangan saudara-mara anggota tentera yang cedera ketika mereka berkumpul di luar hospital tentera di ibu negara itu, Yerevan pada malam Selasa berikutan pertempuran tersebut.
"Kita mesti berjuang untuk tanah kita, untuk tanah air kita dan untuk negara kita. Kemenangan akan menjadi milik kita, jika tidak hari ini, maka esok. Kita tidak boleh dipecah-pecahkan," kata salah seorang saudara anggota tentera tersebut, Sokrat Khachaturyan, 65, kepada AFP.
Seorang lagi pakar ekonomi, Arman Mkhitaryan berkata bahawa perang baharu sudah tentu dijangkakan akan berlaku berdasarkan kepada pengumpulan askar-askar Azerbaijan di sempadan.
Berikutan pertempuran baharu yang meletus sekali gus menyambung semula permusuhan antara kedua-dua negara yang berlaku selama berpuluh-puluh tahun, Turkiye menyatakan dalam komennya bahawa ia akan terus menyokong Azerbaijan dan menyeru Armenia untuk menghentikan provokasinya itu.
Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Azerbaijan, Zakir Hasanov dan menekankan bahawa Ankara sentiasa menyokong negara tersebut yang bersaudara.
Turkiye yang merupakan sekutu rapat Azerbaijan menyokong usaha negara tersebut untuk mengusir kumpulan pemisah etnik Armenia dari Nagorno-Karabakh pada tahun 2020 termasuk menyediakan dron-dron bersenjata untuknya.
Sehubungan itu, apa sudah pasti ialah gencatan senjata antara kedua-dua pihak telah musnah dan ia berlaku ketika Turkiye yang merupakan sekutu Azerbaijan telah meningkatkan hubungan dengan sekutu Armenia, Rusia di tengah-tengah sekatan Amerika Syarikat (AS) serta sekutu-sekutunya termasuk EU ke atas Moscow. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca