SHAH ALAM - Kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2023 perlu menyediakan inisiatif dalam menangani isu penurunan nilai mata wang ringgit di negara ini.
Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Zaidel Baharuddin berkata, langkah tersebut berkaitan dengan situasi kos sara hidup dan harga barangan yang memberi kesan kepada semua masyarakat termasuk golongan belia.
Beliau berkata, perancangan dan pelaksanaan Bajet 2023 itu perlu meliputi langkah jangka masa panjang bagi meningkatkan keupayaan ekonomi negara.
"Keduanya, apakah cadangan kerajaan dalam membina industri dan peluang pekerjaan. Misalnya, apakah strategi kita untuk sektor pembuatan dan pembinaan kapasiti teknologi negara.
"Ketiga, adakah kerajaan akan membuat pelaburan ke atas sektor teknologi tinggi seperti kenderaan elektrik, penjanaan tenaga boleh diperbaharui. Adakah kita masih bergantung harap kepada industri gas dan minyak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Selain itu, ulas Zaidel, pembentangan Bajet 2023 juga perlu meliputi strategi mengurangkan ketagihan buruh murah asing di negara ini serta menyeragamkan gaji minimum untuk semua sektor pekerjaan.
"Sudah tentu peluang untuk masa depan yang lebih cerah buat belia Malaysia, bukan sahaja dari segi ekonomi seperti pekerjaan yang baik, gaji yang bermaruah serta bebas daripada kekangan dan bebanan hutang yang tinggi, malah turut mencakupi mempertahankan hak mereka sebagai seorang warganegara,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, pembentangan Bajet 2023 perlu memberi tumpuan ke arah permasalahan yang membelenggu golongan belia iaitu isu pengangguran dan pendidikan.
Menurutnya, situasi kadar pengangguran golongan belia yang membimbangkan di negara ini menunjukkan bahawa kerajaan memerlukan langkah-langkah penyelesaian jangka masa panjang.
"Sebagai contoh, pengangguran. Perlu ada inisiatif bagaimana untuk menanganinya. Di samping program reskilling dan upskilling, perlu juga kita lihat bagaimana mahu menarik pelaburan asing.
"Bukan sahaja pelaburan asing untuk pekerja berkemahiran rendah dan gaji rendah tetapi pelaburan yang membawa pembangunan modal insan bagi membangunkan bakat di negara kita,” katanya.
Ulas beliau, isu pendidikan juga menjadi kebimbangan apabila timbul tanggapan baharu kononnya pembelajaran tidak lagi penting dan memainkan peranan kepada golongan belia masa hadapan.
"Baru-baru ini keluar laporan bahawa ramai anak muda tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
"Ini merupakan satu kehilangan buat negara kalau tidak ditangani dengan segera. Kalau kita selesaikannya, pendidikan juga akan diutamakan oleh golongan belia,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca