KUALA LUMPUR - Pemergian bekas Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu, 86, adalah satu kehilangan besar kepada negara khususnya masyarakat India di Malaysia. Bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, beliau berasa sedih selepas... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Pemergian bekas Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu, 86, adalah satu kehilangan besar kepada negara khususnya masyarakat India di Malaysia.

Bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, beliau berasa sedih selepas mendapat tahu mengenai pemergian Samy yang menjadi salah seorang negarawan yang banyak berjasa kepada masyarakat India di Malaysia selama ini.

Subramaniam berkata, mendiang Samy adalah pemimpin paling lama berkhidmat sebagai Presiden MIC iaitu selama 31 tahun dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput, Perak, selama 34 tahun.

Beliau berkata, mendiang juga menjadi antara pemimpin MIC paling lama memegang jawatan sebagai Ahli Kabinet selama 29 tahun di bawah tiga Perdana Menteri iaitu tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008.

Untuk rekod, Samy Vellu dilantik sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

"Sebagai Presiden, Samy Vellu banyak berjasa dan melakukan transformasi MIC daripada parti yang sering dikaitkan dengan keganasan dan pergaduhan kepada sebuah organisasi yang cintakan keamanan, tersusun dan terurus.

"Beliau juga membawa banyak muka baharu dan pemimpin muda serta profesional ke dalam MIC termasuklah saya sendiri. Malah, beliau adalah mentor agong yang sering memberikan panduan dan tunjuk ajar kepada saya dan rakan lain dalam MIC untuk membina keyakinan diri untuk terus maju dalam politik," katanya kepada Sinar Premium, pada Khamis.

S SUBRAMANIAM

Tambah Subramaniam, mendiang juga dikenang oleh ahli MIC sebagai bapa pendidikan masyarakat India menerusi komitment beliau menubuhkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.

"Hari ini, kami boleh berbangga kerana Universiti AIMST sudah berjaya melahirkan ramai pakar perubatan dan doktor yang mempunyai kepakaran tersendiri dalam bidang masing-masing.

"Beliau juga meninggal legasi dengan berjaya memimpin dan membantu masyarakat India terutama golongan berpendapatan rendah untuk menghadapi cabaran ekonomi dan masalah kemiskinan. MIED juga menyediakan dana kepada anak masyarakat India yang tidak mampu menampung kos untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan," katanya.

Subramaniam berkata, mendiang juga banyak berjasa dan berbakti kepada masyarakat pelbagai kaum dan negara sepanjang pembabitan beliau dalam politik dan memegang jawatan kabinet termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Kerja Raya serta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Pos.

Untuk rekod beliau dipilih menganggotai kabinet pertama kali pada 1979 dan dilantik sebagai Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dari tahun 1979 hingga 1989, beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Gambar kenangan Samy bersama pemimpin utama BN sebelum ini.

Kemudian dari tahun 1989 hingga 1995, beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga, Komunikasi dan Pos. Beliau kemudian memegang semula jawatan sebagai Menteri Kerja Raya sehingga 2008 berikutan kekalahan beliau pada pilihan raya umum.

Jawatan beliau sebagai Menteri Kabinet mewakili MIC digantikan oleh setiausaha parti tersebut, Subramaniam sebagai Menteri Sumber Manusia.

Terdahulu, Subramaniam dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, mengesahkan Samy meninggal dunia di kediamannya Kuala Lumpur, kira-kira jam 7 pagi tadi.

"Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari.

"Takziah kepada Toh Puan, Datuk Seri Vell Paari dan seluruh ahli keluarga atas kematiannya. Beliau menjalani sepenuhnya kehidupan yang mulia dan pergi dengan penuh penghormatan serta penghargaan," katanya.

Untuk rekod, Samy mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun pada 1959 apabila dia menyertai MIC Cawangan Batu Caves.

Menurut bekas setiausaha akhbar mendiang, Datuk E Sivabalan, upacara pembakaran mayat akan berlangsung pada jam 4 petang Jumaat di Jalan Kuari, Cheras.

Klik di sini untuk terus membaca