SHAH ALAM - Sebut sahaja nama Mat Kilau, pasti semua rakyat Malaysia mengenali beliau sebagai seorang pahlawan gagah berani menentang penjajah British daripada menakluki bumi Pahang. Lebih-lebih lagi apabila filem Mat Kilau: Kebangkitan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebut sahaja nama Mat Kilau, pasti semua rakyat Malaysia mengenali beliau sebagai seorang pahlawan gagah berani menentang penjajah British daripada menakluki bumi Pahang.

Lebih-lebih lagi apabila filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan pengarah terkenal, Syamsul Yusof berjaya pecah panggung dengan kutipan mencecah RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Mat Kilau atau nama sebenarnya Mohamad Rasu Abdul Salam lahir di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang sekitar tahun 1865 atau 1866.

Sejarah menceritakan, sejak kecil lagi, Mat Kilau telah didedahkan dengan pendidikan agama oleh bapanya, Tok Gajah dan Mufti Pahang, Osman Senik atau Haji Muntuk.

Selain dikenali sebagai seorang yang kuat agamanya, Mat Kilau juga mahir dalam ilmu persilatan yang tiada tolok tandingan.

Disebabkan Mat Kilau digelar sebagai penderhaka oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya kembali bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang.

Semenjak 1930, Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya beberapa kali dan akhirnya memakai nama Mat Siam.

Gambar semasa pengisytiharan Mat Kilau di Batu 5, Paya Besar, Kuantan pada tahun 1969.

Bersyukur jaga Mat Kilau

Cucu daripada isteri terakhir Mat Kilau yang menetap di Batu 5, Paya Besar, Kuantan, Pahang, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, dia bersama keluarganya merupakan insan yang bertuah kerana berpeluang menjaga Mat Kilau pada akhir hayatnya.

"Mak saya iaitu Jaleha Mohamad merupakan anak kepada Mat Kilau (yang menggunakan nama Mohamad Ibrahim ketika itu) bersama isteri yang terakhir. Mak dan ayah saya yang menjaga Mat Kilau sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 16 Ogos 1970 jam 6.45 pagi.

Selain mewarisi hubungan darah, Mohd Alhamadi juga meneruskan warisan persilatan Mat Kilau menerusi persilatan Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau.

"Ramai yang berminat untuk belajar silat Mat Kilau. Ilmu warisan Mat Kilau tidak ada rahsia dan ia sama seperti warisan lain yang mesti disebarkan. Ilmu warisan ini berbentuk fizikal dan amalan-amalan agama,” jelasnya.

Berbalik kepada sejarah, sebelum Dato Bahaman memutuskan untuk menyerah diri kepada kerajaan Siam, tujuh individu termasuk Mat Kilau telah melakukan satu sumpah rahsia untuk tidak mendedahkan siapa diri mereka sampai bila-bila di Kampung Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, Kelantan.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, mengapa Mat Kilau berani melanggar sumpah dan keluar daripada persembunyiannya pada bulan Disember 1969.

Mohd Alhamadi mendedahkan ia sebenarnya untuk mengelakkan anak-anaknya daripada berkahwin sesama sendiri.

"Apabila Mat Kilau pulang ke Pahang, beliau berkahwin lagi dan mempunyai tiga isteri malah beliau turut menggunakan nama lain. Oleh itu, beliau risau sekiranya anak-anak berkahwin sesama sendiri.

"Itu merupakan punca utama mengapa beliau mengisytiharkan diri walaupun sudah bersumpah. Sebelum meninggal, beliau juga mahu mengumpulkan semua anak dan warisnya,” katanya.

Pegang pesan aki

Mohd Alhamadi yang merupakan anak keempat daripada lima orang adik-beradik berkata, antara kata-kata atau tindakan Mat Kilau yang diingati dan dipegang sehingga kini adalah perjuangan agama, bangsa dan negara yang perlu diteruskan.

"Walaupun beliau sudah lama tiada, kami harus menjaga amanah dan meneruskan perjuangan arwah ‘aki’, Mat Kilau.

"Antaranya beliau pesan untuk menjaga agama, bangsa dan negara. Jangan sampai satu hari nanti bangsaku tiada negara,” katanya.

Mohd Alhamadi bersama keris yang diwarisi daripada Mat Kilau.

Biarpun Mat Kilau dikatakan seorang pahlawan yang gagah dan tegas sehingga beliau sangat disegani pengikut-pengikutnya, Mohd Alhamadi mendedahkan Mat Kilau sebenarnya seorang yang lemah lembut dan bersopan santun.

"Apabila sebut sahaja gagah, ramai orang yang tidak faham dan menganggap orang seperti ini bersikap panas baran. Namun berbeza dengan Mat Kilau, beliau seorang yang lemah lembut.

"Mat Kilau ini orang yang kuat agama dan mengamalkan amalan berzikir serta mengaji sehingga akhir hayat. Beliau juga seorang hamba yang selalu ingin mendekati ALLAH SWT dan setiap percakapannya seperti diatur. Beliau juga menyayangi keluarga,” ceritanya.

Sebagai waris kepada tokoh perjuangan negara, pastinya Mohd Alhamadi berasa bangga namun tidak dinafikan ia juga satu cabaran untuk mengekalkan nama baik Mat Kilau.

"Saya berasa bangga tetapi dalam masa yang sama, menjaga nama baik Mat Kilau juga merupakan satu cabaran. Kami bimbang sekiranya nama Mat Kilau ini terlampau dikomersialkan.

"Di media massa pula, terdapat banyak fakta yang tidak betul dan tidak langsung keluar daripada mulut atau perbuatan Mat Kilau. Contohnya, khabar angin yang mengatakan Mat Kilau ini kebal,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca